Friday, June 12, 2020

4 INOVASI YANG BOLEH DIGUNAKAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMUDAH CARAAN BAGI MATAPELAJARAN PENDIDIKAN MORAL

 

PENDIDIKAN MORAL DI MALAYSIA (HMS3013)

TUGASAN INDIVIDU

HURAIKAN 4 INOVASI YANG BOLEH DIGUNAKAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMUDAH CARAAN BAGI MATAPELAJARAN PENDIDIKAN MORAL

 

BIL

NAMA

NO. MATRIK

1.

MUHAMMAD AMIRUL NA’IM BIN ABDOL AZIZ

D20181083886

2.

AHMAD SYAZWAN BIN AHMAD SHUKOR

D20181083911

 


BIL

PERKARA

MUKA SURAT

1.

MUKA DEPAN

I

2.

ISI KANDUNGAN

II

3.

PENGENALAN

1

4.

INOVASI YANG BOLEH DIGUNAKAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMUDAH CARAAN BAGI MATAPELAJARAN PENDIDIKAN MORAL DI MALAYSIA.

ISI PERTAMA

* Nyanyian

2-5

5.

INOVASI YANG BOLEH DIGUNAKAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMUDAH CARAAN BAGI MATAPELAJARAN PENDIDIKAN MORAL DI MALAYSIA.

ISI KEDUA

*Bercerita

5-6

6.

INOVASI YANG BOLEH DIGUNAKAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMUDAH CARAAN BAGI MATAPELAJARAN PENDIDIKAN MORAL DI MALAYSIA.

ISI KETIGA

*

7-8

7.

INOVASI YANG BOLEH DIGUNAKAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMUDAH CARAAN BAGI MATAPELAJARAN PENDIDIKAN MORAL DI MALAYSIA.

ISI KEEMPAT

*

8-10

8.

KESIMPULAN

10

9.

RUJUKAN

11


PENGENALAN

Pendidikan Moral ialah satu program yang mendidik murid supaya menjadi insan yang bermoral atau berakhlak mulia dengan menekankan aspek perkembangan pemikiran moral, perasaan moral dan tingkah laku moral.

     Dalam kehidupan, seseorang individu perlu melalui berbagai proses perkembangan sehingga kematangan. Salah satu proses yang dialami ialah proses perkembangan moral. Mengikut Berk (2000), proses perkembangan moral melibatkan tiga komponen kendiri moral individu. Beliau menyenaraikan komponen-komponen tersebut sebagai penaakulan moral (moral reasoning), emosi moral (moral feelings) dan tingkah laku moral (moral behavior). Ketiga-tiga komponen tersebut adalah berbeza tetapi saling berkait. Penaakulan moral dan emosi moral mempengaruhi tingkah laku moral individu. Dalam usaha melahirkan insan yang bermoral, Pendidikan Moral memainkan peranan yang penting.

     Pendidikan Moral di sekolah rendah memberi tumpuan kepada usaha memupuk kekuatan kerohanian dan kemoralan murid melalui penghayatan dan amalan nilai- nilai murni masyarakat Malaysia yang terdapat dalam agama, tradisi dan adat resam pelbagai kaum di negara ini. Dengan itu murid dapat membina satu panduan hidup yang membolehkan mereka menjadi insan yang bermoral. Ini membolehkan mereka menjadi individu yang bertanggungjawab moral dan sosial terhadap segala keputusan dan tindakan yang dilakukan dan disebabkan itu pelbagai bentuk dan cara yang digunakan oleh guru-guru bagi mengajar matapelajaran pendidikan moral ini kepada pelajar.


 

2.0 INOVASI YANG BOLEH DIGUNAKAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMUDAH CARAAN BAGI MATAPELAJARAN PENDIDIKAN MORAL DI MALAYSIA.

2.1 Nyanyian

 

Menurut Koo Kee Peng dan Tan Chee Yee (1996) nyanyian merupakan salah satu daripada aktiviti pembelajaran yang amat digemari oleh pelbagai peringkat umur terutama murid sekolah rendah. Teknik nyanyian amat menghiburkan pelajar dan dapat mengurangkan ketegangan  setelah berjam-jam berada di sekolah. Nyanyian lagu boleh digunakan sebagai set induksi, sebagai isi pembelajaran dan untuk melengkapkan aktiviti penutup. Dalam Pembelajaran Koperatif yang dipelopori oleh Kagan, teknik nyanyian boleh diselitkan bersama-sama dalam aktiviti ‘Brain Breaks’. Nyanyian lagu yang pendek, lucu dan menghiburkan dapat mengurangkan rasa bosan di kalangan murid sekolah rendah dan menjadi tarikan kepada murid-murid untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran guru tersebut. Contohnya dalam pengajaran dan pembelajaran 60 minit, aktiviti ‘Brain Breaks’ boleh diselitkan antara langkah 2 dengan langkah 3. Masanya ialah 5 minit sahaja. Aktiviti ini perlu diselitkan bersama-sama dengan pergerakan psikomotor yang sederhana ketika murid-murid berdiri di tempat masing-masing.

Adakah anda tahu bahawa banyak lirik lagu yang sesuai digunakan dalam pengajaran Pendidikan Moral. Antaranya ialah lagu-lagu patriotik. Lagu-lagu patriotik amat sesuai dijadikan set induksi, isi pelajaran atau penutup untuk menyemaikan semangat patriotik dan cinta akan negara.

 

Berikut ialah senarai lagu patriotik yang boleh dijadikan bahan pengajaran guru.  

 

  • Sejahtera Malaysia                
  • Malaysia Boleh
  • Keranamu Malaysia
  • Inilah Barisan Kita
  • Jalur Gemilang
  • Putera Puteri
  • Dirgahayu Tuanku
  • Kampungku
  • Tanggal 31
  • Malaysia O Tanahairku

 

Pemilihan lagu hendaklah mengambil kira lirik atau seni kata lagu dengan tema dan isi pelajaran, usia murid, bangsa dan pelbagai unsur yang boleh membantu keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Lagu-lagu juga boleh diubah seni katanya sesuai dengan tajuk yang hendak diajar. Contohnya lagu Trek... Tek...Tek

 

 

 

 

Lagu Trek... Tek...Tek...

(Lirik asal)

 

Kalau roboh Kota Melaka, trek... tek...tek...

Papan di Jawa saya dirikan, trek... tek...tek....

Kalau sungguh, bagai dikata.....

Badan dan nyawa saya serahkan, trek... tek...tek....

 

 

 

Lirik lagu ini boleh diubahsuaikan mengikut tema / nilai yang dirancang oleh guru. Contoh: jika guru mengajarkan nilai 1.1  Kepercayaan kepada Tuhan.

 

 

Lagu Trek...Tek...Tek....

(Lirik yang diubah)

 

Buah pinang buah pelaga, trek... tek....tek.....

Bawa ke pekan denganlah rakit, trek....tek....tek....

Cintai kebersihan, amalan mulia,

Dapat hindarkan segala penyakit, trek....tek...tek

 

 

 

   Lagu 1 2 3 4

 

Satu kasih nan abadi

Tiada tandingi Dia yang satu

Dua kasih berpanjangan

Membawa ke syurga

Kasihnya ibu.

Tiga lapar dan dahaga

Rela berpayahan setianya ayah

Empat mudah kau ketemu

Berhati selalu beza antara

Kasih dan kekasih

 

Ibu ku ingat selalu

Menyisir rambutku

Kemas selalu

Ayah menghantar ke sekolah

Bergunalah ilmu bila dewasa

 

Sayang dengarlah lagu ini

Untuk kau sandarkan lagu ini

Buat pedoman

 

Jangan manis terus ditelan

Pahit terus dibuang

Itu bidalan

Harus kau renungkan

 

Andai kau beroleh bahagia

Ingat itu bukan

Untuk selamanya

Andai kau dalam sengsara

Ingat itu bukan untuk selamanya

Hidup ini sementara

 

Lagu ini amat sesuai jika guru mengajar tentang nilai berkaitan dengan diri dan keluarga yang subnilainya berkisar tentang tanggungjawab terhadap keluarga.  Cara pengelolaan aktiviti boleh dibuat dengan meminta murid pejamkan mata semasa guru putarkan lagu.  Murid diminta menghayati seni kata lagu ini dan membuat refleksi tentang budi ibu bapa yang telah anda terima selama ini.  Apakah pula tanggunjawab anda terhadap mereka? Latihan berikutnya ialah penulisan refleksi berhubung dengan budi baik ayah dan ibu atau membuat kad ucapan hari jadi ibu atau bapa atau sempena dengan Hari Ibu atau Hari Bapa, tulislah sebuah sajak untuk mereka.

Garis Panduan Teknik Nyanyian :-

1)    Tampal senikata lagu di papan hitam atau edarkan lirik lagu.

2)    Guru memainkan lagu yang telah dirakam atau nyanyikan lagu itu sendiri.  (Guru perlu ada pelan B iaitu guru menyanyikan lagu jika pita rakaman rosak atau gangguan elektrik, perlu sediakan bateri sebagai alternatif)

3)    Guru mengajar murid menyanyi lagu mengikut rakaman.  ( Guru boleh mengadakan pertandingan antara kumpulan mengubahsuai lirik lagu seperti dalam contoh lirik trek...tek...tek... Pastikan senikata lagu itu mengandungi pengajaran nilai moral ).

4)    Guru boleh meminta murid membuat ulasan tentang lagu atau berbincang mengenai nilai yang murni yang terdapat dalam lagu.

5)    Sebagai  penutup, guru menerangkan nilai moral yang terkandung dalam lagu itu dan meminta pelajar menghayati dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.

 

2.2 BERCERITA

Menurut Som Hj. Nor dan Mohd Dahalan Mohd Ramli (2000) bercerita merupakan suatu teknik yang boleh menarik minat kanak-kanak.  Biasanya murid-murid akan lebih cepat menumpukan perhatian terhadap penceritaan guru. Bercerita menjadikan pengajaran pembelajaran lebih menarik dan berkesan. Pelbagai jenis cerita berunsur moral boleh didapati dengan mudah daripada akhbar, majalah, internet dan lisan. Bercerita boleh merangsangkan minda dan menimbulkan minat murid jika guru melaksanakannya secara berkesan. Banyak pengajaran dan nilai moral dapat dicungkil daripada cerita-cerita yang mengandungi unsur moral. Antara langkah yang harus diambil kira oleh guru dalam persediaan teknik bercerita ialah:

Garis Panduan Teknik Bercerita

1)      Pilih cerita yang sesuai dengan umur, kecerdasan, minat, dan ada kaitan dengan isi pelajaran yang hendak disampaikan. Pastikan objektif pengajaran dan pembelajaran ada kaitan dengan cerita tersebut

2)      Kaji isi kandungan cerita itu terlebih dahulu dan selitkan nilai-nilai murni yang bersesuaian dengan tema.

3)      Semasa bercerita guru boleh menggunakan gambar, objek-objek sebenarnya seperti patung wayang kulit, pelbagai jenis ‘pupet’, gambar kartun dan alat-alat bantu mengajar yang bersesuaian.

4)      Tempoh masa bagi sesuatu pelajaran sama ada 30 minit atau 60 minit turut mempengaruhi peruntukan masa untuk bercerita

5)      Tahap kebolehan murid dan pengetahuan sedia ada murid amat mempengaruhi guru dalam pemilihan cerita

6)      Cerita boleh diselang-seli dengan latar belakang muzik dan unsur bunyi kehidupan alam yang menarik. Contoh: bunyi air, api, hujan, guruh dll.

7)      Kepelbagaian penekanan nada dan intonasi guru, semasa bercerita menjadikan penyampaian cerita lebih berkesan.

8)      Gerak-geri guru haruslah sesuai dengan isi cerita.

9)      Guru haruslah menggunakan bahasa serta istilah yang mudah agar semua murid dapat memahami cerita yang menjadi isi pelajaran.

10)  Mewujudkan peluang untuk murid-murid mengambil bahagian atau turut serta dalam proses penceritaan tersebut.

11)  Guru tidak boleh menumpukan perhatian kepada sebahagian murid atau kelompok tertentu sahaja. Sebaliknya cuba memandang kepada keseluruhan kelas secara bergilir-gilir.

12)  Akhiri cerita dengan kemas dan berikan suatu kepuasan  kepada murid di samping mengutamakan unsur pengajaran pembelajaran.

13)  Murid juga boleh ditugaskan untuk bercerita dengan garis panduan yang diberikan oleh guru.

14)  Memasukkan unsur pertandingan bercerita secara spontan/berstruktur. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di dalam kelas Pendidikan Moral. Jangka masa bercerita perlu ditetapkan supaya guru dapat mengawal masa.

15)  Merakamkan sesi bercerita dan menayangkannya kembali kepada murid. 

16)  Selepas mendengar cerita daripada pelbagai pendekatan, minta murid tuliskan sinopsis cerita yang diperolehi daripada cerita itu.

Jika murid dalam kelas yang anda mengajar kelihatan terlalu jemu dan ramai yang kelihatan letih dan mengantuk. Anda boleh menggunakan Brain Breaks untuk meleraikan kebonsanan atau selitkan nyanyian ke dalam langkah pengajaran dan pembelajaran. Sesekali guru boleh mencuba kelainan dengan menyelitkan lagu patriotik dalam semua langkah pengajaran iaitu dalam sesi set induksi, langkah 1, 2, 3 dan sesi penutup. Cara ini samalah seperti kita menonton filem muzikal. Sesekali membuat kelainan dari segi strategi sudah tentu murid seronok dan ternanti-nanti untuk mengalami pembelajaran sedemikian sekali lagi. Sudah tentu kenangan-kenangan manis ini akan  menjadi ingatan dan menyebabkan murid menggemari kelas Pendidikan Moral.


 

2.3       SIMULASI

Kaedah pengajaran yang menarik mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang efisien. Kaedah simulasi adalah salah satu pemudahcara yang boleh digunakan dalam sesi pengajaran bagi matapelajaran Pendidikan Moral khususnya. Melalui kaedah ini, para guru mampu mencapai objektif pembelajaran dari aspek isi kandungan, konsep, kemahiran pelajaran dan juga sikap mereka.

Simulasi adalah kaedah dimana satu situasi yang sebenar diwujudkan. Kemudian, pelajarini akan menjalankan latihan penyelesaian masalah didalam situasi yang diwujudkan secara terkawal. Melalui aktiviti lakonan dan pemikiran yang kritis sambil dibantu oleh guru-guru, para pelajar akan mengemukakan cara penyelesaian bagi setiap masalah yang wujud. Melalui kaedah ini, pelajar mampu menguasai beberapa kemahiran seperti:

       Kemahiran bertutur : Kaedah simulasi melatih para pelajar untuk bercakap secara spontan melalui pelbagai aktiviti seperti berlakon.

       Kemahiran pemikiran : Semasa menjalankan aktiviti, para pelajar dikehendaki untuk berfikir dan menyusun idea secara teratur bagi menyelesaikan masalah yang wujud

       Kemahiran Adaptasi : Konsep membawa kehidupan sebenar didalam bilik darjah berlaku apabila situasi dan masalah diwujudkan dan direka didalam kaedah pengajaran ini.

 

Jenis Simulasi

Kaedah pengajaran ini boleh dilakukan dengan pelbagai cara bergantung kepada keadaan bilik darjah dan keupayaan para pelajar. Terdapat dua jenis kaedah simulasi iaitu sosiodrama dan main peranan.

1.        Sosiodrama

Aktiviti ini ialah satu latihan lakonan yang berdasarkan cerita atau pengambaran situasi dan isu berkonflik. Oleh kerana sosiodrama merupakan satu aktiviti lakonan yang lengkap dan mempunyai jalan cerita, skrip lakonan kebiasaannya akan disediakan terlebih dahulu oleh guru sebelum para pelajar mendapat watak masing-masing.

2.        Main Peranan

Main peranan ialah satu sesi lakonan yang spontan melibatkan sekumpulan pelajar tanpa menggunakan sebarang skrip. Namun, konflik dan masalah didalam situasi lakonan tersebut tetap wujud dan mereka perlu berfikir secara spontan. Sebelum aktiviti ini dilakukan, para  guru akan menghurakan terlebih dahulu ciri-ciri setiap watak yang berperanan didalam lakonan ini.

 

Langkah-langkah Perlaksanaan Kaedah Main Peranan

       Reka situasi secara terperinci sebelum diperkenalkan kepada murid

       Wujudkan perbincangan bersama murid berkenaan situasi tersebut

       Terangkan dan huraikan peranan kepada murid yang terlibat

       Berikan masa untuk mereka berbincang tentang isu dan konflik yang ada

       Pelajar lain haruslah membuat pandangan tentang peranan yang dilakonkan

       Penilaian peranan haruslah dibuat selepas sesi lakonan

       Wujudkan susasana yang selamat tanpa pengaruh emosi yang sukar dikawal

 

Kaedah ini jelas boleh dilakukan didalam subjek Pendidikan Moral kerana secara tidak lansung ia mampu mengaitkan isi pelajaran dengan aspek afektif. Para pelajar mampu menghayati nilai-nilai moral dan sikap rakan-rakan mereka ketika sesi ini berlaku. Secara tidak lansung, sikap positif juga dapat dipupuk sepanjang aktiviti penyelesaian masalah dilakukan.

 

2.4       Visualis

Menggunakan pengajaran melalui video adalah efektif dimana murid akan dapat melihat dengan jelas dan lebih memahami tatacara gerak kerja sesuatu kemahiran itu diajar atau ditunjukkan . Pendekatan ini merangsang murid ingin mencuba dan melaksanakannya kepada semua aspek pengajaran dan pembelajaran yang terdapat dalam semua bidang. Para pelajar lebih memahami dengan cara menunjukkan cara sesuatu kemahiran itu diajar dan lebih terangsang dan faham dengan menampakkan sesuatu langkah kerja itu dilakukan.

Prinsip pendekatan menggunakan video ini ialah sebarang bentuk paparan yang hendak ditunjukkan hendaklah jelas dan tidak mengelirukan , jaraknya yang hampir dengan murid, diterangkan dengan jelas dan jika perlu dilakukan berulang-ulang dan cahaya yang cukup terang serta bentuk paparan itu dengan memilih warna yang sesuai. Ciri-ciri pendekatan visualais ini ialah:

       Hasil pembelajaran perlu ditentukan

       Aktiviti pengajaran dan pembelajaran lebih berfokus

       Aktiviti pembelajaran disusun mengikut urutan dari yang mudah kepada yang lebih kompleks

       Bahan pengajaran dan pembelajaran mesti sesuai dengan tahap penguasaan murid dan berkaitan dengan kemahiran yang dipelajari

       Sesuatu kemahiran itu diajar dengan kaedah tunjuk cara yang boleh dilihat oleh mereka

       Murid lebih faham dan mudah mengikut apa yang dipaparkan kepada mereka

 

Peranan Penggunaan Video Dalam Pengajaran

       Maklumat lebih realistik : Video mampu mempersembahkan sesuatu mesej dalam keadaan yang lebih realistik atau menyerupai keadaan yang sebenar. Ini mampu memberikan perasaan kepada pelajar yang mana mereka seolah-olah berada dalam situasi atau keadaan yang sebenar.

       Mampu merangsang pelbagai deria : Video merupakan satu media dinamik hasil jalinan pelbagai media yang lain seperti audio, grafik dan sebagainya. Ini secara tidak langsung mampu meningkatkan lagi keberkesanan proses penyampaian sesuatu mesej kerana video bersifat dinamik dan mampu meransang pelbagai deria seperti pendengaran dan penglihatan.

       Memudahkan proses pengulangan : Menerusi penggunaan video, sesuatu penerangan yang perlu dilakukan secara berulang-ulang boleh dilakukan dengan lebih mudah.

       Meningkatkan keberkesanan proses pengajaran : Video mampu menjadikan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan kerana ianya mampu meningkatkan kefahaman murid. Murid juga boleh belajar secara individu atau kumpulan tanpa kehadiran guru.

 

KESIMPULAN

Pendidikan Moral merupakan matapelajaran yang penting yang dapat membentuk tingkah laku moral pelajar-pelajar bukan beragama islam di Malaysia. Bagi pelajar muslim di Malaysia, matapelajaran Pendidikan Islam menjadi agent pembentukan nilai-nilai murni manakala bagi pelajar bukan beragama islam, matapelajaran Pendidikan Moral dibentuk untuk membentuk nilai-nilai moral dalam diri pelajar di Malaysia. Pembentukan matapelajaran ini amat memberi impak yang besar kepada pelajar-pelajar bukan sahaja depam membantu para pelajar untuk mendapat nilai gred yang baik dalam pendidikan namun membantu pelajar bukan beragama islam untuk membentuk keperibadian yang lebih baik dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

Tetapi matapelajaran ini mengalami masalah di mana para pelajar mula memandang matapelajaran Pendidikan Moral hanya sebagai subjek nilai “A” sahaja dan nilai-nilai moral di dalam matapelajaran ini tidak diterapkan dalah kehidupan seharian mereka. Disebabkan itu, terdapat pelbagai kaedah atau pemudahcara yang diwujudkan oleh guru-guru atau pensyarah bagi menarik minat para pelajar untuk mempelajari matapelajaran ini dan menghayatinya dalam kehidupan seharian. Kaedah atau pemudah cara yang dihuraikan dalam tugasan ini hanya sebahagian kecil sahaja. Terdapat pelbagai jenis kaedah atau pemudahcara yang dapat digunakan oleh guru-guru untuk mengajarkan matapelajaran Pendidikan Moral ini kepada pelajar. Selain itu juga, guru-guru boleh mencipta kaedah yang baharu menggunakan daya kreativiti seperti Alat Bantu Mengajar (ABM). Selaras dengan hasrat Menteri Pendidikan Malaysia iaitu YB Dr. Maszlee bin Malik untuk membentuk pendidikan abad ke-21, guru-guru perlu kreatif dalam mendidik para pelajar. (KPM, 2019)

 


 

RUJUKAN

Berk. (2000). Child development. Boston: Allyn and Bacon.

Koo Kee Peng dan Tan Chee Yee (1996), Pendidikan Moral. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Som Hj. Nor dan Mohd Dahalan Mohd Ramli (2000), Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif (KBKK) Longman Kuala Lumpur.

Poh Swee Hiang (1997), Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif, Penerbit Kumpulan Budiman, Kuala Lumpur.

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (2019), SEMBANG SANTAI PEMBELAJARAN ABAD KE-21: Bahagian News and Activities. Dipetik pada 20 Oktober 2019 daripada https://www.moe.gov.my/en/menumedia/electronic-media/news-and-activities/sembang-santai-pembelajaran-abad-ke-21

 

HUBUNGAN ANTARA PENAAKULAAN MORAL, EMOSI MORAL DAN PERLAKUAN MORAL KE ARAH MELAHIRKAN INSAN BERAKHLAK MULIA

    NAMA KURSUS PENDIDIKAN MORAL DI MALAYSIA KOD KURSUS HMS3013 KUMPULAN   ...