Wednesday, July 15, 2020

HUBUNGAN ANTARA PENAAKULAAN MORAL, EMOSI MORAL DAN PERLAKUAN MORAL KE ARAH MELAHIRKAN INSAN BERAKHLAK MULIA

 

 

NAMA KURSUS

PENDIDIKAN MORAL DI MALAYSIA

KOD KURSUS

HMS3013

KUMPULAN 

B

NAMA TUGASAN

TUGASAN 2: HUBUNGAN ANTARA PENAAKULAAN MORAL, EMOSI MORAL DAN PERLAKUAN MORAL KE ARAH MELAHIRKAN INSAN BERAKHLAK MULIA

NAMA PENSYARAH

ROBE’AH BINTI YUSUF

NAMA PELAJAR

ANIS SURIA BINTI MOHD DAUD (D20181082819)

NUR ADILAH BINTI JAAFAR (D20181082815)

 

 

 

 

 


1.0     Pengenalan

Moral berkait rapat dengan perbuatan, kelakuan, serta tabiat yang ditunjukkan oleh seseorang individu. Moral boleh difahami sebagai apa-apa sahaja bentuk tingkah laku yang sesuai dengan adat, undang-undang atau peraturan sesuatu golongan masyarakat di mana mereka bertindak sebagai penentu terhadap setiap tindakan tersebut. Malahan, menurut kamus Oxford Advanced Learner’s edisi ke enam, moral bermaksud kesedaran tingkah laku betul dan salah, apa yang perlu dipatuhi dan ditinggalkan serta bersifat praktikal. Noor Hisham Mohd Nawi (2010) juga berpandangan bahawa insan bermoral tidak merujuk kepada aliran pemikiran atau agama tertentu secara khusus tetapi bermaksud suatu faham tentang konsep insan yang memiliki ciri-ciri tertentu yang membawa kepada pengiktirafan memiliki keperibadian tinggi dan mulia yang diakui oleh ajaran agama, akal yang sihat, norma masyarakat tempatan dan antarabangsa secara global. Justeru, dapat kita fahami bahawa moral merupakan bentuk disiplin yang dapat menjelaskan sesuatu sistem moral yang diamalkan dan dihayati dalam kalangan masyarakat. Oleh yang demikian, masyarakat yang memiliki kesedaran moral yang tinggi amat signifikan dalam melahirkan sebuah negara yang aman dan tenang di mana setiap rakyat akan sentiasa berasa selamat dan sejahtera.

            Saban hari, kita dapat menyaksikan tanda-tanda keruntuhan moral dalam kalangan masyarakat. Berbagai kejadian yang merunsingkan berlaku sama ada di hadapan mata ataupun yang disiarkan di kaca televisyen dan akhbar. Dari kes jenayah sehinggalah ke isu yang dianggap remeh. Kesemua ini berkait rapat dengan aspek moral dalam diri seseorang. Maka, dapat dilihat bahawa kesedaran moral hendaklah difahami dan dihayati oleh masyarakat terutamanya dalam kalangan generasi muda. Hal ini kerana masa depan negara akan ditentukan oleh anak muda pada zaman sekarang. Pembentukan moral sebenarnya harus dimulakan dari akar umbi. Salah satu cara bagi memupuk kesedaran moral dalam kalangan generasi muda adalah menerusi sistem pendidikan yang berkesan. Di negara kita, Pendidikan Moral adalah mata pelajaran rasmi yang diperkenalkan di sekolah rendah sejak tahun 1982 dan di peringkat sekolah menengah pada tahun 1989. Mata pelajaran Pendidikan Moral yang diwujudkan mempunyai tujuan untuk mendidik murid agar menjadi insan bermoral atau berakhlak mulia dengan menekankan aspek perkembangan pemikiran moral, perasaan moral serta tingkah laku moral.

Menurut Campbell (2008), objektif Pendidikan Moral terletak pada keupayaan dalam perkembangan perasaan seseorang individu dengan individu yang lain serta menjadikan seseorang itu komited terhadap tanggungjawab peribadi dan tindakan yang diambil. Tambahan lagi, generasi yang memiliki keperibadian terpuji dapat dilahirkan dengan memberi fokus terhadap tiga dimensi moral iaitu, penaakulan moral, emosi moral dan perlakuan moral. Sejajar dengan itu, Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Kementerian Pendidikan Malaysia telah menggariskan hubungan antara penaakulan moral, emosi moral dan perlakuan moral ke arah melahirkan insan berakhlak mulia. Menurut Abdul Rahman Aroff dan Chang Lee Hoon (1994), penaakulan moral merujuk kepada satu sistem perlakuan yang berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang dianggap benar, baik dan patut dilakukan. Penaakulan moral juga boleh difahami apabila seseorang memiliki keupayaan mental dalam menaakul sesuatu situasi yang kabur atau berkonflik untuk mengenal pasti perlakuan betul atau salah. Keupayaan ini seterusnya membawa kepada jalan peyelesaian yang berteraskan kepada prinsip-prinsip moral. Justeru, penaakulan moral adalah penting dalam proses perkembangan seseorang murid.

Manakala, emosi moral adalah perasaan seseorang yang mengandungi nilai simpati, empati, prihatin serta bermotivasi. Seseorang yang memiliki kesedaran emosi moral mempunyai sifat mengambil berat dan peduli yang menyebabkan mereka akan berasa gembira apabila membuat perkara yang betul serta berasa amat bersalah dan menyesal sekiranya melakukan perkara yang tidak betul. Maka, emosi moral adalah signifikan dalam pengawalan tingkah laku dan tindakan seseorang individu. Perlakuan moral pula adalah rentetan dari penaakulan moral dan emosi moral. Menurut Azrina Jonit (2004), perlakuan moral berkaitan dengan tindakan dan tingkah laku seseorang hasil daripada sesuatu keputusan yang telah dibuat dengan penuh tanggungjawab oleh penaakulan yang bebas dan rasional. Maka, setiap individu perlulah memiliki pengawalan diri yang baik supaya dapat bertindak secara bermoral.

Penaakulan moral, emosi moral dan perlakuan moral adalah saling berhubung dalam memupuk generasi yang berakhlak mulia. Malah, Azizi Yahaya (2017) berpendapat bahawa ketiga-tiga dimensi ini mesti saling “berinteraksi” atau “mempengaruhi” antara satu sama lain untuk membina satu insan yang bermoral. Maka, kefahaman moral murid hendaklah diperkukuhkan seiring dengan perkembangan dimensi-dimensi moral sebelum mereka membuat keputusan akhir dalam menyelesaikan masalah. Hal ini sememangnya penting bagi mengelakkan murid dari melakukan tindakan yang salah dan seterusnya akan memberi kesan bukan sahaja kepada diri sendiri malah orang di sekeliling.

 

2.0     Faktor-faktor yang Mempengaruhi Pembentukan Akhlak

Terdapat pelbagai faktor yang boleh memberi kesan terhadap pembentukan akhlak seseorang insan. Antaranya adalah faktor keluarga, rakan sebaya, agama dan kepercayaan serta kemajuan teknologi.

 

2.1       Keluarga

Detik kehidupan seseorang insan bermula dengan sebuah keluarga. Pembentukan keluarga yang bahagia dan penyayang mendatangkan kesan postif dalam pembentukan insan berakhak mulia. Sejak dari lahir, ibu bapa adalah golongan yang paling rapat dengan anak-anak. Pertalian darah antara anak-anak dengan ibu bapa adalah sangat dekat dimana anak-anak memperoleh kasih sayang, kebajikan dan perlindungan. Menurut Azizi Yahaya (2017), ramai daripada ibu bapa pada masa kini telah menyisihkan anak-anak mereka daripada pendidikan moral. Mereka beranggapan bahawa dengan hanya memenuhi keperluan material anak-anak, ini sudah memenuhi tanggungjawab mereka sebagai orang tua. Hal tersebut akan mendatangkan kesan yang negatif kerana setiap ibu bapa mempunyai peranan penting dalam mencorakkan peribadi anak-anak.

Sebelum ibu bapa mengajarkan anak-anak berkaitan perkara yang betul dan salah, mereka haruslah mendidik diri agar memiliki personaliti yang baik. Ianya adalah asas utama supaya setiap ibu bapa dapat menjadi contoh kepada anak-anak. Seperti yang kita ketahui, anak-anak akan memerhati serta mengingati segala kelakuan ibu bapa dan mereka lebih cenderung untuk melakukan semula perbuatan tersebut. Tingkah laku yang dilihat mungkin menjadi amalan dan tabiat dalam kehidupan seharian. Mereka juga paling kerap berkomunikasi dan berhubungan dengan ahli keluarga.  Oleh itu, perkara yang diucapkan dan dipelajari dari ibu bapa akan menjadi ikutan. Sama ada baik atau buruk, ianya bergantung kepada didikan ibu bapa. Maka, tidak dapat dinafikan bahawa keluarga membawa pengaruh yang kuat dalam pembentukan akhlak seseorang.

 

2.2       Rakan Sebaya

            Rakan sebaya adalah antara golongan yang paling mempengaruhi akhlak     seseorang terutamanya dalam kalangan remaja. Hal ini dapat dibuktikan apabila          berlakunya peningkatan kes junava pada setiap tahun berpunca dari pengaruh rakan sebaya. Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman (2018), “Daripada 26 pelajar sekolah ditahan atas pelbagai kesalahan penyalahgunaan dadah, 80 peratus adalah disebabkan pengaruh rakan sebaya manakala selebihnya akibat keinginan untuk mencuba, tekanan hidup, kurang pengawasan dan disiplin diri tidak kukuh. Justeru, kita dapat melihat bahawa rakan sebaya mampu mendorong seseorang untuk melakukan pelbagai perkara biarpun tindakan tersebut melebihi batas normal manusia.

Oleh itu, amat penting bagi seseorang untuk sentiasa berhati-hati dan bijak dalam memilih rakan. Ini kerana rakan yang berakhlak mulia akan memberi impak yang postif dalam proses pembentukan personaliti. Mereka akan lebih mudah tertarik dan mengikut dengan perbuatan baik yang ditunjukkan oleh rakan-rakan. Malah, Muhd. Mansur Abdullah et al (1988) berpendapat bahawa dengan mencontohi rakan sebayanya, belia kita akan dapat belajar satu tingkah laku baru yang cuba diserap dan disesuaikan pula ke dalam personaliti. Maka, rakan sebaya merupakan faktor kritikal yang mempengaruhi pembentukan akhlak seseorang.

 

2.3       Agama dan Kepercayaan

Agama dan kepercayaan merupakan suatu asas dalam pembentukan akhlak seseorang insan. Hal ini kerana proses pembangunan akhlak meliputi keseluruhan aspek jasmani dan rohani. Di sini, agama memainkan peranan yang signifikan dalam mempengaruhi cara pemikiran, pandangan dan perbuatan manusia. Agama berupaya untuk membimbing seseorang ke arah yang lebih baik. Seseorang yang didik dengan ajaran agama akan sentiasa mengamalkan perintah yang dituntut dan meninggalkan larangan yang perlu dijauhi. Justeru, dengan kepercayaan yang dimiliki, manusia akan berasa bersalah sekiranya melanggar pegangan agama kerana percaya kewujudan dosa dan pahala bagi setiap perbuatannya.

Menurut Siti Norlina Muhamad dan Mohd Dani Muhammad (2004), pembentukan akhlak masyarakat berasaskan ajaran agama akan menjamin kualiti insan yang lebih beretika dan berakhlak tinggi. Agama merupakan panduan hidup bagi setiap manusia di dunia ini. Jamaluddin Mohd. Ali, Azizan Baharuddin & Wan Zailan Kamaruddin Wan Ali (2017) berpendapat bahawa diperlukan usaha untuk melahirkan, meningkatkan dan mengekalkan sifat baik yang ada dalam diri manusia dalam bentuk potensi. Oleh itu, penghayatan nilai agama yang seiring dengan amalan yang berterusan akan melahirkan insan yang berjaya dalam pelbagai aspek kehidupan. Maka, didikan agama yang mencukupi perlulah dititikberatkan dalam membentuk insan berakhlak mulia.

 

2.4       Kemajuan Teknologi

Pada era serba moden ini, kehidupan manusia dipenuhi dengan pelbagai gajet dan peranti yang canggih. Oleh yang demikian, kemajuan teknologi yang pesat dilihat sebagai salah satu faktor yang mempengaruhi pembentukan akhlak seseorang. Bahan-bahan elektronik dan aplikasi media sosial memaparkan pelbagai berita tidak kira sama ada baik ataupun buruk. Maklumat mengenai semua perkara begitu cepat disebarkan dengan hanya sentuhan dihujung jari. Abdullah Sulong & Mawaddah Abdullah (2010) berpandangan bahawa media merupakan satu alat yang mampu merangsang dan mempengaruhi sikap serta tingkah laku individu atau masyarakat merangkumi semua aspek kehidupan.

Kanak-kanak dan remaja adalah golongan yang paling mudah terpengaruh dengan perkara yang dilihat oleh mereka melalui media massa. Hal ini dapat disaksikan apabila berlakunya keruntuhan akhlak dalam kalangan generasi muda akibat penyalahgunaan teknologi moden. Mereka terlalu leka dan senang terikut akan budaya tidak sihat yang dilayari di media sosial. Abdullah Sulong & Mawaddah Abdullah (2010) juga berpendapat bahawa pendedahan kepada hiburan yang keterlaluan menyebabkan golongan remaja banyak membuang masa tanpa memikirkan hala tuju dan masa depan. Justeru, isu ini mendatangkan impak negatif terhadap perkembangan peribadi seseorang. Oleh itu, setiap individu hendaklah bijak dalam mengawal diri serta memanfaatkan kemajuan teknologi sedia ada.

 

3.0     Kepentingan Hubungan antara Dimensi Moral dalam Melahirkan Insan Berakhlak Mulia

Penaakulaan, emosi dan tindakan moral yang bergerak seiring mampu menjadikan perkembangan moral menjadi lebih menyeluruh dan sempurna. Ketiga-tiga dimensi moral ini telah dinyatakan di dalam dokumen Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Moral Tingkatan Empat yang diwakili oleh Model Insan Menyeluruh. Model Insan Menyeluruh ini merangkumi fokus terhadap tiga dimensi moral yang sememangnya saling berkaitan dan berhubung antara satu sama lain. Melalui Model Insan Menyeluruh ini juga, menekankan bahawa dalam melahirkan perwatakan seseorang yang positif yang merujuk kepada insan yang berakhlak mulia perlulah lengkap dengan penerapan ketiga-tiga dimensi moral ini. Dimensi moral ini juga seharusnya diterapkan dan dihayati secara seiring bagi menjamin perkembangan moral seseorang dengan seimbang. Oleh itu, dapat dilihat bahawa hubungan antara dimensi moral sama ada secara langsung atau tidak langsung amat penting dalam melahirkan insan berakhlak mulia.

 

3.1       Memastikan Pelajar Memiliki Perkembangan dan Penghayatan Setiap Dimensi Moral dengan Seimbang

Kini, dunia telah menyaksikan banyak perkara yang berlaku yang terjadi di luar batas pemikiran manusia.  Seiring dengan kepesatan perkembangan era digital nilai-nilai kemanusiaan hanya tinggal sebagai bahan jenaka dan hanya digunakan untuk mengejar pengaruh dan perhatian marhaen atau lebih tepat lagi marhaen digital iaitu, ‘netizen’. Menurut Muhammad Chowdury (2016) perkembangan pantas dalam bidang sains dan teknologi menjadikan masyarakat semakin berkembang dengan pelbagai bentuk dan formasi yang mana dalam pada masa yang sama mengenggelamkan kepentingan moral, nilai dan etika serta manfaatnya kepada masyarakat. Norma masyarakat dan dunia sudah tidak lagi dijadikan sebagai sempadan dan batasan apatah lagi yang melibatkan rasional akal budi atau ‘common sense’ yang hanya setakat dilafazkan bukan diamalkan. Namun, ia agak sedikit tidak adil apabila kita melihat pada konsep umum. Pemahaman dan pemikiran seseorang secara moral terhadap sesuatu perkara adalah amat subjektif dan tidak boleh diukur dengan menetapkan norma masyarakat atau undang-undang sejagat sebagai indikator utama. Keadaan sekeliling, keluarga, masyarakat dan lain-lain faktor pendorong mempengaruhi corak pemikiran dan persepsi serta adaptasi seseorang terhadap sesuatu perkara secara moral. Seseorang itu mestilah memiliki dan memenuhi elemen yang diwakili oleh Model insan Menyeluruh. Dengan memenuhi elemen dalam Model Insan Menyeluruh, menjadi seorang manusia yang berakhlak mulia tidak lagi menjadi sesuatu yang mustahil.

Jika dinilai dalam konteks moral, tidak semua orang mampu untuk memenuhi ketiga-tiga dimensi moral. Sesetengah manusia mungkin hanya memiliki atau memenuhi satu daripada tiga atau dua daripada tiga dimensi moral. Faktor pendorong seperti persekitaran, keluarga, masyarakat dan lain-lain menjadikan pengadaptasian dan asimilasi seseorang terhadap dimensi moral itu berbeza. Sesetengah manusia hanya dapat merasai dan menghayati sesuatu konflik moral secara emosi namun tidak dapat melengkapkan atau menyelesaikan konflik moral tersebut kerana kurang memenuhi kriteria dalam dimensi moral secara penaakulaan dan tindakan. Perkara inilah yang menyebabkan berlakunya keadaan seperti seseorang itu hanya merasa kasihan apabila melihat haiwan jalanan kelaparan namun ianya hanya terhenti setakat itu sahaja tanpa tindakan yang lanjut seperti memberi makan kepada haiwan tersebut. Identiti dan emosi moral mempunyai perkaitan lanjut secara langsung terhadap penaakulaan moral dimana perkaitan lanjut antara emosi moral dan penaakulaan moral ini menjadi jambatan penghubung kepada tindakan moral yang seterusnya membawa kepada identiti moral yang baik (Septiana, 2017). Oleh itu, pentingnya hubungan antara ketiga-tiga dimensi moral ini bagi melahirkan identiti moral yang baik yang membawa kepada insan berakhlak mulia.

 

3.2       Memastikan Penerapan 18 Nilai Universal Moral dengan Kukuh

Nilai universal dalam Pendidikan Moral merupakan pendekatan asas yang dijadikan sebagai wahana dalam melahirkan insan berakhlak mulia. 18 nilai universal ini merupakan nilai-nilai yang menjadi pegangan utama dalam Pengajaran dan Pembelajaran subjek Pendidikan Moral. Nilai ini merupakan nilai-nilai yang diterima secara sejagat terutamanya dalam norma dan budaya masyarakat Malaysia. Nilai-nilai ini merupakan nilai yang menepati dan mematuhi batasan budaya atau sebarang anutan dan kepercayaan masyarakat di Malaysia. Bagi memastikan pelajar-pelajar di Malaysia terdidik dengan 18 nilai universal ini, proses Pengajaran dan Pembelajaran subjek Pendidikan Moral ini mestilah bergerak melalui ketiga-tiga dimensi moral iaitu emosi, penaakulaan dan tindakan moral. 18 nilai universal moral ini adalah kepercayaan kepada tuhan, baik hati, bertanggungjawab, berterima kasih, hemah tinggi, hormat, kasih sayang, keberanian, kejujuran, kerajianan, kerjasama, kesederhanaan, toleransi, berdikari, harga diri, kebebasan, patriotisme dan rasional. Nilai-nilai ini sememangnya diajar secara formal di dalam kelas melalui proses Pengajaran dan Pembelajaran namun, ianya tidak dapat memastikan sama ada pelajar memahami konsep dan pengamalan nilai ini di luar. Pelajar mungkin dapat mempelajari dan menguasainya nilai- nilai secara teori, namun sesetengah daripada mereka hanya membataskan nilai yang dipelajari di sekolah itu kepada sesuatu yang dipelajari di sekolah sahaja. Mereka mungkin hanya dapat merasai nilai-nilai tersebut secara emosi namun tidak dapat mengaplikasikan konsep nilai tersebut ketika menghadapi konflik atau dilema moral. Tahap moral seseorang itu adalah berdasarkan kepatuhannya terhadap nilai universal moral dan juga tidak melanggar norma budaya (Tangney, Stuewig & Mashek, 2007).

Dalam situasi ini, nilai-nilai yang dipelajari hanya dapat diterapkan secara teori dan emosi namun tidak dari segi penaakulaan dan tindakan moral. Menurut Jamaluddin Mohd. Ali, Azizan Baharuddin dan Wan Zailan Kamaruddin Wan Ali (2017) manusia secara kebiasaanya membuat pertimbangan moral tanpa mereka sedari dan kebanyakan pertimbangan yang dibuat adalah berdasarkan intuisi atau gerak hati semata-mata jika konflik moral yang dihadapi itu adalah sesuatu yang mereka tidak pernah mereka hadapi. Oleh itu pentingnya hubungan antara dimensi moral supaya nilai-nilai universal yang diterapkan itu dapat diaplikasikan pelajar dalam menyelesaikan sebarang konflik moral atau dilema moral secara menyeluruh agar dapat memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.

 

4.0     Penutup

Kesimpulannya, bagi memastikan supaya insan berakhlak mulia itu tidak hanya menjadi sebuah matlamat tanpa hasil, penekanan secara senada perlulah diberikan terhadap ketiga-tiga dimensi moral ini. Keupayaan murid dalam menguasai nilai moral dari segi satu dimensi sahaja tidak boleh menjadi kayu penyokong kepada matlamat dalam melahirkan insan berkahlak mulia yang juga mempunyai standard dan identiti moral yang cemerlang. Intipati ketiga-tiga dimensi moral ini perlulah sentiasa dihubungkaitkan dan dijadikan sebagai pedoman dalam mencapai standard dan identiti moral yang baik. Hubungkait antara ketiga-tiga dimensi moral ini juga penting bagi memastikan setiap murid dapat memiliki perkembangan moral yang seimbang dan lengkap terutamanya dari segi emosi, pemikiran dan tindakan seseorang secara moral.

Penerapan ketiga-tiga dimensi moral ini bukan hanya berkisarkan kepada peranan ibu bapa, keluarga, masyarakat atau individu itu sendiri tetapi juga melibatkan instusi pendidikan yang bertanggungjawab terhadap pendidikan secara formal. Disebabkan itu, pentingnya peranan pendidikan formal dalam menyampaikan pengajaran nilai dan moral kepada pelajar iaitu, melalui kaedah pengajaran yang bersesuaian. Kaedah pengajaran yang sesuai ini akan membolehkan pelajar untuk menggunakan atau mengaplikasikan pembelajaran mengenai nilai dan moral yang dipelajari di sekolah sebagai prinsip hidup yang seterusnya menjadi pedoman di masa hadapan. (Nurlaela Sari, 2013).

5.0     Rujukan

Berita Harian. (2018, August 2). Pengaruh Rakan Sebaya Faktor Utama Terjebak Dadah. Retrieved from https://www.bharian.com.my/node/456932/amp

Campbell, E. (2008). Teaching ethically as a moral condition of professionalism.  In D. Narváez & L. Nucci (Eds.), The international handbook of moral and character education (pp. 601‐617). New York, NY:  Routledge.

Eva Septiana. (2017). The Relationship between Moral Emotions of Shame, Guilt, and
             Moral Identity among Undergraduate Students in Indonesia. Advances in Social
             Science, Education and Humanities Research, 135
, 245-252.

Hornby, A. S., Cowie, A. P., & Lewis, J. W. (1974). Oxford Advanced Learner's Dictionary of   
             Current English
(6th ed.). London, United Kingdom: Oxford University Press.

Jamaluddin Mohd Ali, Azizan Baharuddin & Wan Zailan Kamaruddin Wan Ali. (2017). Kritikan terhadap Teori Moral Barat: Analisis ke atas Faktor-faktor yang Mempengaruhi Pertimbangan Moral. Jurnal Peradaban, 10, 84-118.

Mohammad Chowdury. (2016). Emphasizing Morals, Values, Ethics, And Character
             Education in Science Education and Science Teaching. The Malaysian Online
             Journal of Educational Science, 4
(2), 1-16.

Noor Hisham Mohd Nawi. (2010). Konsep Insan Moral Menurut Acuan Malaysia. Jurnal Perspektif, 2(1), 108-125.

Nurlaela Sari. (2013). The Importance of Teaching Moral Values to The Students. Journal
            of English and Education,
1(1), 154-162.

Tangney, J.P., Stuewig, J., & Mashek, D.J. (2007). Moral Emotion and Moral Behavior. Annual                      Review of Psychology, 58, 345-372.

 

 

 

No comments:

Post a Comment

HUBUNGAN ANTARA PENAAKULAAN MORAL, EMOSI MORAL DAN PERLAKUAN MORAL KE ARAH MELAHIRKAN INSAN BERAKHLAK MULIA

    NAMA KURSUS PENDIDIKAN MORAL DI MALAYSIA KOD KURSUS HMS3013 KUMPULAN   ...