Monday, July 13, 2020

EMPAT INOVASI YANG BOLEH DIGUNAKAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMUDAHCARAAN BAGI MATA PELAJARAN PENDIDIKAN MORAL DI MALAYSIA

                                        HMS3013 PENDIDIKAN MORAL DI MALAYSIA

 

 

 

TUGASAN INDIVIDU SOALAN 4:

HURAIKAN EMPAT INOVASI YANG BOLEH DIGUNAKAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMUDAHCARAAN BAGI MATA PELAJARAN PENDIDIKAN MORAL DI MALAYSIA

 

 

 

 

NAMA

NO. MATRIK

1. FATIHAH BINTI MAHAZAN

D20172080754

2. NUR ATIRAH BINTI RAMLI

D20172080747

 

 

KUMPULAN KULIAH: B

PENSYARAH: PUAN ROBE’AH BINTI YUSUF

 

 

 

 

 

 

 

 

SEMESTER 2 SESI 2019/2020


 

PENDAHULUAN

Pendidikan Moral boleh didefinisikan sebagai satu program yang mendidik murid supaya menjadi insan yang bermoral atau berakhlak mulia dengan menekankan aspek perkembangan pemikiran moral, perasaan moral dan tingkah laku moral. Pendidikan Moral adalah diwajibkan kepada pelajar bukan beragama islam. Pendidikan Moral ini di ajar secara berasingan dengan pelajar yang beragama islam yang lain. Pendidikan Moral turut didakan peperiksaan dan penilaian sama seperti Pendidikan Islam. Pendidikan Moral ini diajar bermula dari sekolah rendah dan seterusnya sehingga sekolah menengah.

Menurut Sufean Hussin (2001) inovasi pula boleh di ertikan dengan pembaharuan, modifikasi, atau membaiki idea, benda, ilmu dan ciptaan seni budaya tamadun dengan tujuan memenuhi fungsi-fungsi tertentu atau memenuhi cita rasa tertentu atau memenuhi pasaran tertentu. Inovasi ini perlu di buat kepada sesuatu kebiasaan lama kepada yang baru supaya mendapat hasil yang lebih baik dan berkualiti. Inovasi dalam pendidikan bukanlah sesuatu perkara baru. inovasi ini telah banyak dilakukan dalam pendidikan di Malaysia. Dalam sistem pendidikan secara berpusat yang diamalkan di Malaysia, pelaksanaan inovasi pendidikan adalah bersifat menjunam melalui proses dari atas ke bawah. Proses yang perlu dilalui untuk menyebarkan inovasi kepada penerima adalah panjang dan berliku, melibatkan beberapa peringkat penyebaran tertentu. Lazimnya, penyebaran inovasi itu dilaksanakan secara stereotaip melalui mesyuarat, kursus, bengkel, seminar dan sebagainya. Berdasarkan cara ini beberapa kekurangan dikenal pasti.

Antara inovasi yang dilakukan dalam pendidikan adalah seperti penggunaan kaedah pembelajaran koperatif, pembelajaran secara atas talian, pembelajaran secara “Blended Learning”, penggunaan teknologi maklumat seperti penggunan “internet”, pembelajaran berdasarkan video yang di tayangkan oleh guru didalam kelas dan banyak lagi. Begitu juga dengan mata pelajaran Pendidikan Moral, pasti banyak inovasi yang boleh dilakukan terhadap cara pengajaran dan pemudahcaraan agar para pelajar dapat memahami isi pelajaran dengan lebih baik.

 

 

 

 

KURIKULUM PENDIDIKAN MORAL

Mata pelajaran Pendidikan Moral merupakan satu usaha untuk mendidik murid supaya menjadi insan yang bermoral dan berakhlak mulia dengan menekankan aspek perkembangan penaakulan moral, emosi moral dan perlakuan moral. Mata pelajaran ini diharap dapat menghasilkan murid yang berpengetahuan, berperwatakan mulia, dan mengutamakan perpaduan serta bersemangat patriotik ke arah menyumbang secara produktif terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara. Pendidikan Moral mampu membentuk jati diri yang tinggi dalam diri murid jika ia diajar dengan cara yang betul.

            Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (2017), kurikulum mata pelajaran ini direalisasikan melalui Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) di mana ia merupakan dokumen wajib yang perlu dirujuk oleh guru untuk merancang dan mentaksir pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu merancang bagi menterjemahkan DSKP ini dengan bijak supaya pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan dan menarik. Di samping itu, guru perlu memahami tahap penguasaan yang digariskan dalam DSKP yang telah ditetapkan oleh KPM dan sentiasa memastikan tahap-tahap penguasaan ini dikuasai oleh murid. Hal ini bertujuan untuk memastikan murid dapat menguasai topik yang diajar pada hari berkenaan dengan baik.

            Kurikulum ini juga memberi pemahaman, penghayatan serta memastikan murid mengamalkan nilai-nilai universal yang terdapat dalam agama, tradisi dan adat resam pelbagai kaum serta perundangan di negara ini. Kurikulum ini turut menyediakan satu panduan kepada murid untuk membuat keputusan dan tindakan yang membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab moral dan sosial terhadap masyarakat, negara dan global. Ia juga selaras dengan tiga prinsip moral iaitu altruistik, autonomi dan keadilan bagi membina dan mengekalkan masyarakat yang bermoral dan beretika.

            DSKP yang disediakan bagi mata pelajaran Pendidikan Moral ini juga menekankan kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid bagi menyediakan mereka menghadapi cabaran dalam Abad Ke-21 melalui proses pengajaran dan pemudahcaraan Pendidikan Moral. Penguasaan kemahiran-kemahiran tersebut akan membantu murid membina daya tahan diri dengan berkeyakinan dan bertanggungjawab dalam kehidupan seharian. Manakala pelbagai strategi pengajaran dan pembelajaran turut disarankan kepada guru bagi memastikan murid menguasai kurikulum Pendidikan Moral lebih bermakna. DSKP Pendidikan Moral juga menumpukan kepada pemahaman tentang nilai-nilai perpaduan dan hubungan baik sesama insan agar melahirkan warganegara yang sejahtera dan harmonis.

Perlaksanaan kurikulum Pendidikan Moral di Malaysia dapat dilihat menerusi sistem pentafsiran bersepadu murid untuk mengetahui kebolehupayaan pemahaman mereka dalam setiap ilmu yang disampaikan oleh guru di dalam kelas. Sistem pentafsiran bersepadu Pendidikan Moral di Malaysia dilihat berdasarkan kepada pentafsiran berorientasikan peperiksaan yang menentukan seseorang pelajar itu memahami atau tidak memahami apa yang dipelajari dalam mata pelajaran Pendidikan Moral di peringkat sekolah rendah atau sekolah menengah. Bagi peringkat menengah atas iaitu bagi mereka yang menduduki tingkatan 4 dan juga tingkatan 5, murid-murid akan diuji keberkesanan pemahaman moral yang dipelajari menerusi sistem peperiksaan awam yang menentukan gred terakhir yang bakal diperoleh oleh murid-murid yang mengambil subjek Pendidikan Moral di sekolah. Peperiksaan awam tersebut akan berlangsung semasa murid menduduki pada fasa terakhir sekolah menengah atasan pada tingkatan 5 yang diberi nama Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Walau bagaimanapun, guru-guru juga turut menjalankan projek-projek berkumpulan kepada murid bagi membuat penilaian dan memberi gred kepada mereka untuk dicatatkan di dalam laporan tahunan.


 

 

EMPAT INOVASI (4) DALAM PENGAJARAN DAN PEMUDAHCARAAN BAGI MATA PELAJARAN PENDIDIKAN MORAL DI MALAYSIA

1.      Penggunaan Kaedah Demontrasi

Menurut Nurdyansyah & Andiek Widodo (2015), demonstrasi adalah kaedah yang digunakan untuk mengajar murid-murid dengan memberitahu dan menunjukkan langkah dalam mengerjakan atau melakukan sesuatu. Demonstrasi adalah amalan yang ditunjukkan kepada murid-murid agar mereka dapat memahami dengan lebih mudah dan mendalam tentang sesuatu yang diperkatakan oleh guru mereka. Guru tidak seharusnya hanya menceritakan semata-mata tentang sesuatu perkara, tetapi juga perlu menunjukkan demonstrasi kepada murid agar mereka dapat melihat gambaran yang cuba disampaikan oleh guru mereka dalam mata pelajaran Pendidikan Moral yang penuh dengan nilai yang baik dalam membentuk murid untuk menjadi insan yang berakhlak mulia dan terdidik. Oleh hal yang demikian, demonstrasi yang dikongsikan oleh guru kepada murid mempunyai dua objektif yang utama iaitu proses pemahaman langkah demi langkah dan demonstrasi hasil iaitu untuk menunjukkan atau memaparkan hasil proses. Contohnya, guru melakonkan amalan-amalan nilai murni yang dilakukan dalam kehidupan seharian mereka dengan dibantu oleh pelajar bagi menunjukkan gambaran kepada murid tentang sesuatu nilai murni yang telah dilakukan dalam kehidupan seharian mereka sama ada mereka sedar atau tanpa sedar.

            Teknik atau kaedah demonstrasi yang dilakukan oleh guru sudah semestinya akan menarik minat murid untuk mempelajari tentang sesuatu perkara kerana kesungguhan dan kegigihan yang ditunjukkan oleh guru memberi mereka inspirasi atau semangat dalam pengajaran dan pemudahcaraan. Teknik demonstrasi ini wajar digunakan dalam pengajaran dan pemudahcaraan kerana murid akan dapat memahami dengan lebih terperinci apabila guru menunjukkan sendiri di depan mata mereka tentang ilmu yang perlu didalami oleh mereka terutamanya dalam mata pelajaran Pendidikan Moral. Hal ini demikian kerana, Pendidikan Moral bukanlah semata-mata tentang nilai sahaja, tetapi ia lebih daripada itu. Pendidikan Moral mampu membentuk jati diri seorang murid jika ia diajar dengan betul oleh para pendidik. Oleh itu, para pendidik perlulah melaksanakan pengajaran dan pemudahcaraan dalam Pendidikan Moral dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab serta tidak mengajarkannya hanya untuk memenuhi syarat jadual waktu sahaja. Para pendidik perlulah menggunakan pendekatan yang tersendiri untuk menarik minat murid untuk fokus semasa sesi demonstrasi yang digunakan agar pengajaran dan pemudahcaraan akan menjadi lebih menarik dan ilmu yang disampaikan kepada murid jelas dan dapat difahami oleh mereka.

2.      Penggunaan Kaedah Blended Learning

Penggunaan kaedah blended learning wajar digunakan secara meluas dalam bidang pendidikan pada masa kini di Malaysia selari dengan arus peredaran zaman yang semakin berkembang maju. Penggunaan kaedah blended learning merupakan salah satu jenis pembelajaran elektronik. Blended learning merupakan gabungan pembelajaran secara dalam talian dan juga interaksi bersemuka. Perkembangan teknologi yang semakin pesat telah mengharuskan inovasi di dalam sesuatu pembelajaran. Inovasi merupakan idea, konsep, strategi baru yang lebih baik dari yang lama dan yang boleh mempertingkatkan sesuatu amalan terutamanya dalam mata pelajaran Pendidikan Moral yang sering dipandang sebagai subjek yang tidak begitu penting berbanding subjek-subjek teras yang lain. Inovasi ini seharusnya dilakukan bagi mengelakkan para pendidik selesa dengan cara penyampaian ilmu yang lama dan tidak seiring dengan perkembangan semasa. Oleh itu, inovasi yang jitu perlulah dilakukan dalam Pendidikan Moral agar murid yang mengambil subjek ini akan lebih menyerlah dan mampu memahami isi mata pelajaran dengan lebih jelas. Menurut Shahfiezul Shahaimi dan Fariza Khalid (2016), blended learning merupakan antara inovasi yang memungkinkan sesuatu pembelajaran menjadi lebih menarik dan efektif.

            Blended Learning merupakan satu konsep penggabungan model pembelajaran secara konvensional dengan pembelajaran secara maya melalui teknologi maklumat komunikasi. Melalui konsep blended learning ini, pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran menerusi pelbagai teknik penyampaian melalui persekitaran maya dapat diaplikasikan oleh guru kepada murid. Penggabungan atau percampuran pembelajaran tesebut seharusnya dapat menarik perhatian murid agar tidak merasa bosan dan hilang fokus terhadap mata pelajaran Pendidikan Moral yang dipelajari oleh mereka. Menurut Shahfiezul Shahaimi dan Fariza Khalid (2016), secara etimologi istilah blended learning ini terdiri dari dua perkataan iaitu blend dan learn. Menurut Kamus Dewan Edisi Ke 4, blend bermaksud campuran, mengadun atau kombinasi manakala learn pula membawa maksud belajar. Berdasarkan daripada kedua-dua maksud tersebut dapat ditafsirkan bahawa konsep blended learning ini merupakan pola pembelajaran yang mengandungi unsur percampuran atau penggabungan antara satu pola dengan pola pembelajaran yang lain iaitu pembelajaran secara bersemuka di dalam kelas dan pembelajaran secara atas talian yang juga disebut sebagai online learning.

            Blended learning merupakan inovasi kepada pembelajaran secara tradisional di mana pembelajaran secara tradisional hanya berlaku di dalam kelas sahaja dan murid tidak dapat bertanya atau mengakses maklumat setelah tamat waktu pembelajaran dan pemudahcaraan. Namun, bagi blended learning pula murid dapat belajar di dalam bilik darjah secara bersemuka dengan rakan-rakan dan guru mereka serta murid dapat belajar atau mengakses maklumat setelah tamat PdPc di rumah mereka menggunakan bahan atau maklumat yang telah dikongsikan oeh guru mereka melalui aplikasi-aplikasi yang terkini yang banyak membantu dalam memudahkan perkongsian ilmu. Sewaktu berada di dalam bilik darjah, murid-murid dapat berbincang sesama mereka dan dipantau oleh guru sewaktu PdPc berlaku. Namun, bagi blended learning pula, guru dan murid dapat meneruskan sesi pembelajaran dan pemudahcaraan seperti biasa walaupun masing-masing berada di tempat yang berbeza pada waktu yang sama. Perbincangan boleh dilakukan seperti di dalam bilik darjah tetapi perbincangan yang lebih serius seperti percanggahan idea tidak sesuai dibincangkan dalam blended learning kerana guru perlu menjelaskan tentang perkara tersebut dengan lebih terperinci. Walaubagaimanapun, blended learning ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri di mana ianya fleksibel dan boleh diakses di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja apabila terdapat komputer dan talian internet.

            Tuntasnya, blended learning banyak memberi manfaat kepada murid dan juga guru kerana mereka dapat melakukan perbincangan tentang topik-topik dalam mata pelajaran Pendidikan Moral dengan lebih terperinci. Mereka bukan sahaja dapat berkomunikasi di dalam kelas, tetapi juga dapat berkomunikasi melalui aplikasi-aplikasi tertentu yang dijadikan sebagai medan perkongsian ilmu seperti Google Classroom, WhatsApp dan sebagainya setelah tamat PdPc. Tambahan pula, murid dapat mengakses maklumat secara berulang kali tentang sesuatu perkara apabila mereka terlupa kerana maklumat tersebut telah pun dikongsikan oleh guru mereka dalam online learning. Blended learning ini seharusnya dimanfaatkan dengan sebaik mungkin dalam mata pelajaran Pendidikan Moral kerana murid dapat menuntut ilmu dengan lebih mudah dan berkesan. Namun begitu, blended learning ini juga mempunyai kelemahan di mana murid perlu mempunyai rangkaian internet bagi membolehkan mereka berhubung dalam online learning dan memudahkan mereka untuk mengakses maklumat.


 

 

3.      Penggunaan Teknologi Baharu

Perkataan teknologi merupakan sebuah perkataan yang berasal daripada bahasa Yunani “techne” yang membawa maksud kemahiran menggunakan pengetahuan secara sistematik. Teknologi bukanlah semata-mata sebuah alat yang dapat memudahkan pekerjaan manusia sehari-hari namun teknologi juga merangkumi proses dan idea. Kekuatan teknologi terletak terutamanya pada proses dan idea, manakala kejayaan untuk mencapai sesuatu maksud atau objektif terletak pada alat (Heinich, Molenda dan Rusell, 1969). Menurut Naim Hj. Ahmad (1990) teknologi pemdidikan boleh di definisikan sebagai  satu perkaedahan atau pendekatan yang memadukan secara harmonis, fungsi-fungsi pengurusan (organisasi dan personel), pengembangan (penyelidikan, teori reka bentuk, penerbitan, penilaian, pemilihan, logistik, penggunaan dan penyebaran dan sumber ( mesej, manusia, bahan, alat, teknik dan cara penyediaan secara sistematik untuk penyelesaian kepada masalah-masalah yang dihadapi dalam pengajaran dan pembelajaran manusia. Namun, menurut Yusuf Hashim (1997) pula berkata teknologi pendidikan ialah satu proses merancang, membina, mereka bentuk, melaksana dan menilai aktiviti-aktiviti pembelajaran secara sistematik dengan tujuan meningkatkan serta memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran. Keadaan pelajar juga ditekankan sebagai sebahagian daripada teknologi pendidikan kerana hal ini boleh mempengaruhi keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, teknologi pendidikan ini dapat menjadi salah satu inovasi yang boleh diterapkan dalam Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PDPC) bagi mata pelajaran Pendidikan Moral di Malaysia.

            Teknologi pendidikan ini banyak memberi manfaat bukan sahaja pada para pelajar malah pada guru juga. Dengan menggunakan teknologi dalam pendidikan ianya dapat memudahkan guru dalam menyampaikan isi pelajaran kepada pelajar dengan mudah dan berkesan. Bagi para pelajar pula, teknologi pendidikan ini bukan sahaja dapat membantu para pelajar untuk memahami isi pelajaran malah dapat mewujudkan susana pembelajaran yang ceria dan menyeronokkan berbanding pembelajaran secara “Chalk & Talk”. Kemajuan teknologi ini telah berkembang dengan sangat maju, bukan sahaja dalam sektor ekonomi, politik kebudayaan dan seni, malah kemajuan teknologi ini telah menjangkau hebat dalam sektor pendidikan juga. (Nurdyansyah, 2017). Pembelajaran berasakan teknologi ini bukan sahaja tertumpu kepada pembelajaran secara online dengan menggunakan internet malah penggunaan teknologi secara offline juga boleh digunakan. Sebagai contoh, guru boleh menggunakan power point  untuk mengajara. Penggunaan multimedia seperti ini dapat menarik minat pelajar untuk belajar kerana ianya tidak cuma membaca dari buku teks semata. Selain itu, guru boleh menggunakan kaedah secara animasi dengan menayangkan video kepada pelajar. Banyak animasi-animasi yang memberi banyak pengajaran dan membuka minda para pelajar terutama sekali pelajar yang mengambil mata pelajaran pendidikan moral.

            Menurut Munir (2008), melalui I Ketut Sudarsana (2018), telah menyatakan bahawa perkembangan teknologi internet yang sangat pesat ke pelusuk dunia telah banyak di manfaatkan oleh berbagai negara dalam banyak sektor termasuklah dalam sektor pendidikan juga yang mana teknologi ini memberi banyak manfaat dan kepentimgan kepada pendidikan. Hal ini demikian kerana, penggunaan internet dan teknologi dalam sektor pendidikan ini adalah bertujuaan untuk mengembangkan dan meningkatkan mutu pendidikan dan pembelajaran. Akan tetapi perkembangan sistem dan model pembelajaran berasaskan teknologi informasi secara “online” mahupun “offline” ini perlu dipertimbangan dan dinilai dari segi kecekapan seorang tenaga pengajar mengendalikannya, kos operasi dan banyak lagi (Warsita, 2008 melalui I Ketut Sudarsana, 2018)

            Dalam melakukan inovasi ini, peranan guru di sini amatlah penting dalam memastikan tujuan inovasi ini berkesan dan memberi impak yang baik kepada para pelajar yang mengambil mata pelajran Pendidikan Moral ini. Menurut Kamus Dewan, (2013) guru bermaksud orang yang mengajar, pengajar atau pengasuh. Untuk memastikan inovasi ini berjaya guru perlulah cekap dalam mengendalikan teknologi ini agar apa yang di sampaikan kepada pelajar mudah untuk difahami. Kebanyakan guru novis sekrang sangat cekap dalam mengendalikan teknologi dalam pendidikan ini akan tetapi segelintir guru senior masih belum mampu untuk menguasai dan mengendalikan teknologi ini dengan baik. Akan tetapi menurut Suguneswary, (2016) dalam abad ke-21, bebanan tugasa guru lebih mencabar, selain tugas mengajar guru juga dibebani dengan tugas-tugas perkeranian, fasilitator, motivator, perancang, penasihat kokurikulum, pemimpin kelab, persatuan, unit beruniform, jurulatih sukan dan banyak lagi, oleh itu, sudah semestinya para guru mampu untuk menggunakan teknologi maklumat ini dengan sangat baik. Hasil kajian yang dilakukan oleh Suguneswary, (2016) telah menyatakan bahawa majoriti guru bersikap positif terhadap kepentigan penggunaan teknologi maklumat di dalam bilik darjah. Oleh itu, sudah tentu inovasi ini pastinya boleh dijalankan dengan sangat baik seterusnya dapat melahirkan lebih banyak pelajar cemerlang dalam mata pelajaran Pendidikan Moral ini.

4.      Penggunaan Kaedah Kooperatif

Menurut Effandi Zakaria (1998) melalui Azizi Yahaya dan Intan Sapinas Bahuri dalam artikel yang bertajuk Pembelajara Koperatif menyatakan bahawa pembelajaran koperatif adalah suatu strategi pengajaran dimana pelajar-pelajar dapat saling membantu antara satu sama lain dalam kumpulan kecil. Dengan wujudnya kumpulan-kumpulan kecil seperti ini para pelajar dapat bekerjasama antara satu sama lain. Pelajar dapat berkongsi idea, saling bertukar pendapat dan juga saling membantu rakan-rakan lain. Dalam kumpulan kecil seperti ini, guru seharusnya meletakkan pelajar dengan berbagai tahap kebolehan. Guru juga akan lebih mudah untuk memantau para pelajar. Pelajar yang lemah juga senang memberi tumpuan dan belajar apabila mereka dibantu oleh rakan-rakan lain yang lebih berkebolehan.

            Bagi mata pelajaran pendidikan moral, model pembelajaran koperatif ini adalah sangat baik untuk dijalankan. Seiring dengan kemajuan pembelajaran di Malaysia kaedah ini adalah sangat di galakkan. Pembelajaran koperatif ini sangat memberi manfaat kepada pelajar. Menurut kajian yang dilakukan oleh Azieyana Azizi dan Christina Andin (2018), yang bertajuk Penggunaan Strategi Pembelajaran Koperatif untuk Meningkatkan Tahap Kemahiran Berfikir Aras Tinggi Pelajar (KBAT) meyatakan bahawa hasil kajian mendapati peningkatan KBAT dalam kumpulan rawatan menunjukkan penggunaan strategi pembelajaran koperatif membolehkan pelajar berupaya membentuk pendapat dan hujah sendiri, membuat rumusan, mengemukakan pendapat, menganalisis, mensintesis serta membuat keputusan dengan kerjasama daripada rakan kumpulan sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Hal ini dapat membuktikan bahawa penggunaan kaedah pembelajaran koperatif ini sangat membantu para pelajar untuk berfikiran terbuka dan lebih meluas. Menurut Azieyana Azizi dan Christina Andin (2018), hasil kajian juga mendapati bahawa sampel pelajar yang belajar secara tradisional pula hanya dapat menyelesaikan permasalahan secara individu dan tidak dapat mengembangkan cara penyelesaian masalah tersebut mereka hanya memiliki hanya satu kaedah penyelesaian.

Antara kebaikan lain pembelajaran secara koperatif ini ialah, pembelajaran tersebut akan menjadi menarik dan tidak membosankan. Pelajar akan lebih banyak melakukan aktiviti bersama kumpulan kecil mereka yang mana perkara ini mampu mengatasi rasa bosan berbanding dengan hanya mendengar guru mengajar di hadapan dan hanya berpandukan buku teks tanpa mengeluarkan dan mencurahkan idea masing-masing.menurut Azizi Yahaya dan Intan Sapinas Bahuri (2016) menyatakan bahawa pembelajaran koperatif ini dapat memotivasiakan seseorang untuk lebih berjaya. Hal ini kerana pelajar buian sahaja mencapai kejayaan untuk diri sendiri sahaja malah kejayaan tersebut dicapai bersama-sama dengan rakan-rakan sekumpulan juga. Keadaan ini meyebabkan pelajar memberi sepenuh tumpuan pada tugas dan akan meningkatkan pembelajaran. Seterusnya, pelajar yang lemah akan dapat belajar dengan pelajar yang cemerlang. Meraka boleh belajar bagaimana untuk meningkatkan strategi pembelajaran mereka melalui rakan mereka sendiri untuk mendapatkan strategi pembelajaran yang lebih berkesan.  Kaedah ini juga dapat meningkatkan keyakian seorang pelajar. Melalui kumpulan-kumpulan kecil ini para pelajar akan mudah bersosial sesama mereka dan dapat meningkatkan keyakinan diri mereka. Hal ini membuktikan kaedah ini sangat baik untuk dijadikan sebagai satu inovasi dalam mata pelajaran Pendidikan Moral.

Satu lagi kaedah pembelajaran koperatif yang sangat menarik untuk digunakan adalah kaedah pembelajaran koperatif jenis Jigsaw. Kaedah pembelajaran jenis Jigsaw ini merupakan satu kaedah yang memerlukan setiap individu dalam kumpulan perumah berpecah kepada kumpulan sementara untuk mereka kutip sebanyak mana maklumat yang mereka boleh perolehi dan memerlukan mereka mahir dalam sesuatu tajuk yang di bincangkan dalam kumpulan sementara itu. Pada kebiasaanya guru akan mewujudkan kumpulan kecil yang memiliki empat ke enam orang ahli didalamnya yang di panggil sebagai kumpulan perumah. Kemudian setiap ahli dalam kumpulan perumah akan di pecahkan dan masuk kedalam kumpulan perbincangan atau kumpulan sementara. Tujuannya adalah untuk pelajar tersebut berbincang tentang tajuk yang diberikan kepada mereka. Mereka perlu mengitup sebanyak maklumat yang boleh untuk mereka bawa pulang ke kumpulan perumah untuk mereka ceritakan kembali kepada ahli kumpulan perumah yang lain.

Kaedah pembelajaran Jigsaw ini membantu pelajar untuk lebih fokus dan memahami isi pelajaran dengan baik. Hal ini kerana mereka perlu membawa pulang ilmu yang mereka dapat untuk diceritakan kepada ahli kumpulan yang lain. Sekiranya mereka kurang fokus pasti mereka akan ketinggalan dan tidak dapat menerangkan isi pelajaran kepada ahli kumpulan perumah yang lain. Menurut Nur Syaza Farha Diyazid, Shamsudin Othman dan Azhar Md Sabil (2017) menyatakan bahawa Kaedah pembelajaran koperatif Jigsaw II adalah salah satu kaedah pembelajaran yang amat digalakkan untuk digunakan dalam PAK-21. Malahan, dalam KSSR dan KSSM serta Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DKSP) ada menyebut mengenai koperatif dan sebagainya. Ternyatalah bahawa penggunaan kaedah pembelajaran koperatif khususnya teknik Jigsaw II banyak membantu dalam meningkatkan kefahaman pembelajaran.oleh itu, kaedah ini dilihat dapat membantu pelajar untuk lebih memahami isi pelajaran dengan baik dan dapat menjadi satu inovasi baru kepada guru yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Moral untuk memanfaatkan kaedah ini untuk meningkatkan tahap pembelajaran dan kefahaman pelajarnya.

KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, setiap inovasi yang dilakukan adalah berdasarkan manfaat yang akan diperoleh oleh murid dan juga guru. Inovasi dalam pembelajaran dan pemudahcaraan dalam Pendidikan Moral adalah lebih tertumpu untuk memberi manfaat kepada murid agar mereka dapat menguasai ilmu Pendidikan Moral dengan lebih terperinci. Inovasi-inovasi yang telah dijelaskan di atas seperti penggunaan kaedah demontrasi, penggunaan kaedah blended learning, penggunaan teknologi baharu dan penggunaan kaedah kooperatif yang telah diisytiharkan dalam bidang pendidikan perlulah dilaksanakan dalam mata pelajaran Pendidikan Moral di sekolah-sekolah seluruh Malaysia. Inovasi-inovasi ini dilaksanakan bertujuan untuk melahirkan lebih ramai murid yang cemerlang dan berpengetahuan luas. Tambahan pula, mereka juga tidak lagi perlu bergantung kepada bahan buku teks semata-mata kerana mereka telah dapat mengakses maklumat yang disampaikan oleh guru mereka melalui blended learning yang dikongsikan dalam aplikasi-aplikasi tertentu oleh guru mereka. Selain itu, guru juga dapat menyampaikan ilmu dan maklumat dengan lebih baik untuk mencapai tahap kepuasan dalam pembelajaran dan pembelajaran Pendidikan Moral. Pengajaran Pendidikan Moral akan menjadi lebih unik dan interaktif serta murid akan lebih seronok untuk belajar serta menuntut ilmu. Inovasi-inovasi yang telah dinyatakan tersebut sudah pasti mempunyai kelebihannya yang tersendiri dan menjadi murid lebih bermotivasi untuk meningkatkan ilmu pengetahuan mereka.


 

RUJUKAN

Aziz, A., & Andin, C. (2018). Penggunaan Strategi Pembelajaran Koperatif untuk Meningkatkan Tahap Kemahiran Berfikir Aras Tinggi Pelajar (The use of cooperative learning strategies to improve students’ higher order thinking skills). Jurnal Pendidikan Malaysia, 43(01). http://ejournals.ukm.my/jpend/article/view/43.01-01/7870

 

Azizi Yahaya, & Intan Sapinas Bahuri. (2016). Pembelajaran Koperatif. Universiti Teknologi Malaysia. http://eprints.utm.my/id/eprint/10378/1/28.9_PEMBELAJARAN_KOPERATIF.pdf

 

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2017). Pendidikan Moral: Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran. Diperoleh daripada https://www.malaysian-ghost-research.org/wp-content/uploads/2017/03/dskp-pendidikan-moral-tingkatan1.pdf

Nur syaza farha diyazid, shamsudin othman, & azhar md sabil. (2017). Penggunaan kaedah pembelajaran koperatif jigsaw ii terhadap pencapaian pembelajaran teks puisi tradisional dalam kalangan pelajar kolej vokasional. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 7(2), 41-50. http://spaj.ukm.my/jpbm/index.php/jpbm/article/view/149/134

 

Nurdyansyah. (2017). Sumber Daya dalam Teknologi Pendidikan. Universitas Negeri Surabaya, 1-22. http://eprints.umsida.ac.id/1625/1/Sumber%20Daya%20dalam%20Teknologi%20Pendidikan.pdf

Nurdyansyah, M.Pd. & Andiek Widodo, M.M. (2015). Inovasi Teknologi Pembelajaran. Nizamia Learning Center. Diperoleh daripada http://eprints.umsida.ac.id/305/

 

Rosyidah, U. (2016). Pengaruh model Pembelajaran Kooperatif Tipe jigsaw terhadap Hasil Belajar Matematika Siswa Kelas VIII SMP Negeri 6 metro. SAP (Susunan Artikel Pendidikan), 1(2). https://doi.org/10.30998/sap.v1i2.1018https://journal.lppmunindra.ac.id/index.php/SAP/article/view/1018/999

 

Shahfiezul Shahaimi dan Fariza Khalid. (2016). Pengintegrasian Blended Learning dalam Pembelajaran Persekitaran Maya Frog (VLEFROG). https://www.researchgate.net/profile/Fariza_Khalid/publication/301678142_Pengintegrasian_Blended_Learning_dalam_Pembelajaran_Persekitaran_Maya_Frog_VLEFROG/links/5721793a08aea92aff8b2e0c/Pengintegrasian-Blended-Learning-dalam-Pembelajaran-Persekitaran-Maya-Frog-VLEFROG.pdf

Siti Hajar Halili. (2016). Penerimaan guru terhadap penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi berasaskan model tam dalam pengajaran mata pelajaran bahasa tamil. Jurnalkurikulum & pengajaran asia pasifik, 4(2), 31-41. https://juku.um.edu.my/article/view/8197/5670

 

Sudarsana, I. K. (2018). Optimalisasi Penggunaan Teknologi Dalam Implementasi Kurikulum Di Sekolah. Jurnal Ilmu Pendidikan, 1(1), 8-15. http://jayapanguspress.penerbit.org/index.php/cetta/article/view/41/40

 

No comments:

Post a Comment

HUBUNGAN ANTARA PENAAKULAAN MORAL, EMOSI MORAL DAN PERLAKUAN MORAL KE ARAH MELAHIRKAN INSAN BERAKHLAK MULIA

    NAMA KURSUS PENDIDIKAN MORAL DI MALAYSIA KOD KURSUS HMS3013 KUMPULAN   ...