Tuesday, May 5, 2020

Tugasan 2 : Rencana Ringkas Tentang Pendidikan Moral Di Malaysia

TAJUK NO.5 :


ULAS EMPAT (4) STRATEGI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN YANG SESUAI DILAKSANAKAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN MORAL BESERTA CONTOH-CONTOH YANG RELEVAN.

Nama Pelajar
No. Matrik
FARAH NURHAFIZA BINTI SHAMSUL ANUAR
D20181083899
NAJIHA BINTI MOHBOB
D20181083927



PENGENALAN

Kurikulum Pendidikan Moral digubal sebagai suatu usaha untuk mendidik dan menghasilkan murid yang berpengetahuan, berperwatakan mulia, dan bersemangat patriotik serta mengutamakan perpaduan. KSSM Pendidikan Moral adalah bertujuan untuk membolehkan murid untuk mencapai objektif supaya murid dapat mengetahui dan memahami konsep moral dan isu-isu moral dalam kehidupan seharian. Selain itu, KSSM ini juga adalah untuk memastikan murid dapat menghayati dan mengamalkan nilai universal untuk berakhlak mulia. Guru Pendidikan Moral perlu memastikan bahawa segala nilai yang terdapat di dalam KSSM Pendidikan Moral ini dapat dilaksanakan supaya nilai-nilai ini dapat diterapkan, dihayati dan diamalkan dalam kalangan murid sekolah menengah. Dengan ini, murid yang mempelajari Pendidikan Moral dapat merungkai dan mencari penyelesaian bagi sebarang isu atau delima moral yang dihadapi oleh mereka dengan menggunakan nilai-nilai yang telah dipelajari oleh mereka. Nilai yang diajar ini secara tidak langsung dapat mengajar murid untuk mengamalkan satu tingkah laku yang amanah, adil dan juga rasional. 
Pengajaran Pendidikan Moral ini juga adalah bertujuan untuk memupuk murid lebih bersifat terbuka, bertoleransi dan boleh bekerjasama dengan baik bersama rakan yang berlainan bangsa dan agama. Melalui ini, murid dapat memupuk semangat perpaduan dengan menerima, menghormati dan mengurus kepelbagaian. KSSM Pendidikan Moral juga menggalakkan murid untuk menyertai secara aktif dan interaktif dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran. Penyertaan murid secara aktif dapat membentuk insan yang menyeluruh. KSSM ini juga dapat memberi peluang kepada murid untuk menyoal, berkomunikasi dan berinteraksi antara satu sama lain. Selain itu, ia juga dapat membolehkan murid untuk memahami, mengkaji peranan serta tanggungjawab mereka sebagi seorang warganegara Malaysia dan juga global. Antara strategi Pengajaran dan Pembelajaran yang dicadangkan KSSM Pendidikan Moral adalah seperti Pembelajaran Aktif, Pembelajaran Penyelesaian Masalah, Pembelajaran Khidmat Masyarakat dan Pembelajaran Berasaskan Projek.

STRATEGI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

1.0 PEMBELAJARAN AKTIF

Pembelajaran aktif dalam Pendidikan Moral akan membolehkan murid untuk memahami peranan dan tanggungjawab murid sebagai seorang ahli yang berkesan dalam pelbagai kumpulan sosial. Kumpulan sosial ini adalah seperti keluarga, sekolah, rakan, komuniti tempatan, agama, negara dan juga global. Perkara ini dikatakan demikian adalah kerana pembelajaran aktif ini akan melibatkan penyertaan dalam kalangan murid bagi satu proses pembelajaran sama ada melalui proses pembelajaran “hands-on” atau “minds-on”. Melalui kaedah pembelajaran ini, murid akan diberi peluang untuk mengembangkan kemahiran dan nilai dalam diri mereka serta mereka juga dapat mengaplikasikan kaedah ini kepada modal insan yang menyeluruh. Terdapat pelbagai aktiviti pembelajaran aktif yang boleh digunakan oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Pendidikan Moral ini iaitu seperti melakukan aktiviti perbincangan dalam satu kumpulan kecil, aktiviti sumbang saran, simulasi, debat dan juga forum.
Sebagai contoh, cara pembelajaran secara aktif adalah seperti guru boleh menggunakan cara yang kreatif sebelum memulakan suatu pengajaran di dalam kelas. Kaedah yang boleh digunakan adalah seperti aktiviti “ice breaking”. Aktiviti “ice breaking” ini bertujuan untuk menggalakkan murid untuk berkenalan dan berinteraksi secara aktif dengan ahli kumpulan. Aktiviti seperti ini sesuai untuk dilaksanakan semasa permulaan program pendidikan luar pembelajaran dilakukan. Hal ini dilaksanakan adalah untuk membolehkan ahli kumpulan berinteraksi dan bekerjasama dengan baik antara satu sama lain.
Selain itu, pelaksanaan aktiviti ini juga adalah untuk memberi maafaat kepada pelajar yang mempunyai masalah. Aktiviti yang dilakukan secara berkumpulan ini dapat membolehkan pelajar membantu antara satu sama lain dalam kumpulan mereka dan dengan ini secara tidak langsung, pelajar yang bermasalah atau lemah dalam sesuatu pembelajaran dapat memperbaiki diri mereka dengan adanya bantuan daripada rakan-rakan yang lain. Pendekatan aktiviti seperti ini juga merupakan satu pendekatan yang terbaik bagi pelajar untuk meluahkan emosi mereka. 
Selain itu, teknik pembelajaran aktif juga boleh dilakukan menggunakan kaedah “probing-prompting”. Teknik pembelajaran ini adalah seperti aktiviti sumbang saran yang memerlukan guru menyajikan serangkaian pertanyaan yang sifatnya menggali sehingga terjadi proses berfikir dalam kalangan murid yang akan menyebabkan murid mengaitkan pengetahuan sedia ada mereka dengan pengetahuan yang baharu bagi setiap individu. Dalam hal ini, murid akan dibimbing untuk memperoleh maklumat melalui strategi kognitif dan tingkah laku. Aktiviti ini akan meningkatkan kesedaran kendiri kepada murid dan dapat membantu murid membuat keputusan dengan baik.

2.0 PEMBELAJARAN PENYELESAIAN MASALAH

Pembelajaran secara penyelesaian masalah ini adalah bertujuan untuk mendidik murid supaya dapat menyelesaikan masalah dengan baik sama ada mereka menyelesaikan masalah tersebut secara peribadi mahupun secara sosial. Kaedah pembelajaran ini juga adalah amat penting bagi membimbing murid dalam kemahiran penyelesaian masalah, sama ada mereka menghadapi masalah kepada diri sendiri atau persekitarannya. Hal ini dikatakan sedemikian kerana, masalah moral yang akan dikaji dan keputusan yang akan diambil akan menjadi lebih bermakna dan relevan jika keputusan ini boleh diaplikasikan ke dalam kehidupannya.
 Secara amnya, pembelajaran penyelesaian masalah dalam Pendidikan Moral akan melibatkan murid itu sendiri untuk mencari jawapan mereka terhadap sesuatu masalah. Dengan ini, murid dapat mengenalpasti dan dapat menghuraikan sesuatu masalah itu dengan baik. Selain itu, mereka juga akan dapat menentukan pelbagai alternatif yang baik untuk menyelesaikan sesuatu masalah dengan mengambil kira fakta, pandangan dan perasaan seseorang. Contoh aktiviti pembelajaran ini adalah seperti perundingan meja bulat, peta minda, perbincangan kumpulan dan debat. Pembelajaran seperti ini dalam Pendidikan Moral akan menjadi asas kepada murid untuk memahami dan menangani perubahan yang berlaku dalam kehidupan dan persekitarannya dengan bertanggungjawab dan juga berkesan.
Pembelajaran penyelesaian masalah ini dapat dilaksanakan dengan cara guru melaksanakan aktiviti seperti sesi soal jawab yang dapat menggalakkan interaksi antara guru dan juga murid ketika sesi pembelajaran di dalam kelas. Selain itu, guru juga boleh melakukan aktiviti perbincangan kumpulan. Guru boleh melaksanakan aktiviti ni dengan cara guru memperkenalkan dahulu topik pembelajaran kepada murid, kemudian murid akan mengadakan perbincangan tentang topik tersebut di dalam satu kumpulan kecil kemudian murid dapat menjelaskan kefahaman mereka tentang topik tersebut kepada rakan-rakan yang lain. Bagi menggalakan murid dapat menyelesaikan sesuatu masalah dengan baik, guru juga boleh menjelaskan tentang penguasaan dan pemahaman terhadap prinsip-prinsip moral. Penguasaan dan pemahaman prinsip moral ini dapat memberikan murid agar lebih rasional dalam membuat sesuatu keputusan moral.
Di samping itu, guru juga boleh menggunakan kaedah peta minda semasa sesi pembelajaran di dalam kelas berlangsung. Penggunaan peta minda ini dapat membantu pelajar meningkatkan kefahaman terhadap isi pengajaran yang diajar. Kesan penggunaan peta minda ini adalah untuk membantu pelajar mengeluarkan isi penting yang dapat membantu pelajar untuk mengeluarkan isi-isi penting dan juga secara tidak langsung peta minda ini juga dapat memudahkan pelajar untuk mengingat fakta serta dapat menghuraikannya dengan lebih sistematik. Sebagai contoh, guru boleh menggunakan kaedah peta minda yang sangat efektif dan padat dengan maklumat iaitu memperkenalkan penggunaan “smart mind map” kepada murid.
Penggunaan smart mind map ini adalah untuk memberi layanan kepada murid untuk mengakses modul lengkap bagi setiap topik yang dibaca dan juga turut dapat memudahkan murid untuk menjawab semua soalan pengukuhan yang sangat interaktif dalam bentuk soalan subjektif mahupun dalam bentuk soalan objektif. Hal ini dapat memudahkan murid kerana penggunaan smart mind map ini adalah dengan menggunakan QR Code. Penggunaan smart mind map ini berbentuk lebih interaktif dan inovatif. Dengan itu, ia dapat memacu pelajar untuk meminati Pendidikan Moral kerana smart mind map ini menyediakan pelbagai manfaat kepada pelajar untuk meningkatkan kualiti pembelajaran mereka dan dapat meningkatkan pencapaian akademik pelajar.

3.0 PEMBELAJARAN KHIDMAT MASYARAKAT

Strategi pengajaran dan pembelajaran yang seterusnya sepertimana yang telah digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Pendidikan Moral adalah Pembelajaran Khidmat Masyarakat. Dalam konteks ini, khidmat masyarakat memberi definisi sebagai kerja-kerja kemasyarakatan yang dilaksanakan secara berkumpulan dan mempunyai matlamat serta beberapa tujuan yang tertentu. Kerja-kerja kemasyarakatan dilaksanakan adalah untuk meringkan bebanan, memberi manfaat, dan kesejahteraan kepada komuniti-komuniti tertentu. Aktiviti ini amat digalakkan dilakukan secara berkumpulan terutamanya dalam kalangan pelajar dan berkala untuk memberi hasil dan impak kepada komuniti yang menerima. Khidmat masyarakat adalah suatu aktiviti yang amat penting untuk memupuk nilai muhibah antara komuniti dan pelajar.
Bagi mengimbangi tiga dimensi moral, pelajar-pelajar Pendidikan Moral didedahkan dengan cara pembelajaran berasaskan khidmat masyarakat. Melalui strategi ini, pelajar akan dapat menjalankan tanggungjawab dan kepimpinan semasa aktiviti bersama masyarakat. Ia dilihat sebagai satu medium mengeratkan hubungan pelajar dengan komuniti dengan penglibatan yang aktif. KPM menetapkan bahawa melalui pembelajaran ini, pelajar akan dapat mengaplikasikan pengetahuan, kemahairan serta nilai dalam menyelesaikan sebarang masalah sosial yang berlaku di sekolah, komuniti, negara dan peringkat global.
Selain itu, KPM turut beranggapan jika Pembelajaran Khidmat Masyarakat ini, para pelajar yang mengambil Pendidikan Moral dapat menerapkan nilai-nilai murni yang dipelajari daripada komuniti masyarakat. Secara amnya, strategi Pembelajaran Khidmat Masyarakat ini amat memerlukan sokongan yang padu daripada pelbagai pihak, penglibatan penuh daripada golongan ibu bapa serta komuniti tempatan. Oleh itu, agen penyampai atau dalam erti kata lain guru Pendidikan Moral perlulah mewujudkan jalinan “partnership” atau kolaboratif dengan agensi-agensi komuniti tempatan supaya memudahkan penyertaan para pelajar dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. 
Menurut Hasnuddin Ab Rahman, Hailrudin Jaafar & Badrun Nisah Mohamed Nasiruddin menjelaskan bahawa keterlibatan belia dalam pelbagai bidang kesukarelawanan seperti khidmat komuniti, kesukarelawanan dalam bentuk teknikal, sukan penerbitan, seni budaya dan sebagainya dapat meningkatkan jati diri belia. Selain itu, semangat khidmat masyarakat amat dituntut dalam kalangan belia kerana dengan penglibatan mereka dapat mencerminkan jati diri yang baik dan semangat sebagai seorang warganegara yang bertanggungjawab, prihatin serta saling membantu tidak mengira agama, kaum, dan warna kulit.
Antara aktiviti Pembelajaran Khidmat Masyarakat yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Moral seperti yang digariskan di dalam DSKP adalah melibatkan pelajar dengan memberi perkhidmatan secara langsung seperti melakukan gotong-royong di kawasan tempat tinggal, membantu warga sekolah untuk membersihkan taman sekolah atau membantu penghuni di rumah orang tua. Selain itu, para pelajar juga boleh didedahkan dengan perkhidmatan secara tidak langsung seperti melibatkan mereka untuk membantu sesebuah organisasi yang bertanggungjawab dalam perkhidmatan seperti mengutip derma bagi mangsa bencana alam.
Sebagai guru Pendidikan Moral juga sewajarnya menerapkan dan mendedahkan kepada pelajar supaya menunjukkan sikap bertanggungjawab dan prihatin dengan mengambil tindakan secara bersama dengan komuniti bagi menangani kes kekurangan kemudahan awam yang sesuai untuk golongan yang kurang bernasib baik. Langkah ini boleh diketengahkan dengan menulis surat atau aduan kepada pihak berwajib. Perkara ini selaras dengan pernyataan Tengku Almi Azlina et al (2015) yang menegaskan bahawa pembelajaran khidmat masyarakat amat berkait rapat dengan kemahiran sosial yang merangkumi aspek pengaruh, komunikasi, pengurusan konflik, kepimpinan, pemangkin perubahan, membina hubungan, kolaborasi dan kerjasama. Lapan aspek ini dianggap sebagai asas perhubungan antara manusia kerana dapat membantu pelajar-pelajar terutamanya pelajar Pendidikan Moral berhadapan dengan situasi persekitaran sosial dari segi kebolehan. Dalam konteks ini, ia meliputi aspek berunding, memujuk, memimpin, menyelesaikan masalah dan konflik serta semangat dalam pasukan. 

4.0 PEMBELAJARAN BERASASKAN PROJEK

Bagi strategi pembelajaran yang akhir seperti yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia adalah pembelajaran berasaskan projek. Secara amnya, pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Moral adalah berorientasikan dan berpusatkan murid dan amat memerlukan dimensi moral yang mengetengahkan perlakuan atau tingkah laku moral dipupuk secara implisit dan holistik dengan menggunakan pelbagai kaedah pembelajaran. Pembelajaran Berasaskan Projek dalam Pendidikan Moral merupakan satu proses pembelajaran yang berfokuskan tugasan amali secara sistematik ataupun terancang dalam tempoh dan jangka masa yang tertentu. Strategi pembelajaran ini juga biasanya melibatkan para pelajar untuk melakukan aktiviti seperti melakukan kutipan serta menganalisis data dan membuat persediaan satu laporan bertulis yang lengkap. KPM juga menegaskan bahawa dengan kaedah Pembelajaran Berasaskan Projek ini dapat menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan lebih berkesan serta menjadikan proses lebih menarik dan menyeronokkan pelajarnya.
Menurut Md Baharuddin Ab Rahman menjelaskan bahawa Pembelajaran Berasaskan Projek membawa definisi sebagai kaedah pembelajaran yang bersistematik yang berorientasikan pelajar dalam menghasilkan projek yang dirancang oleh pelajar secara terarah. Strategi pembelajaran ini juga sering dirujuk kepada proses penghasilan projek, pemahaman dalam proses pembangunan projek, ilmu pengurusan projek, perancangan dan pelaksanaan projek serta penyelesaian masalah dan pendekatan yang digunakan ini dapat memudahkan proses pembelajaran dan penilaian kemahiran pelajar.
Dalam melaksanakan strategi Pembelajaran Berasaskan Projek dalam pengajaran Pendidikan Moral ini, sememangnya banyak prosedur yang perlu ditempuh. Dalam konteks ini, pelajar akan diberi tugasan tertentu yang menuntut mereka perlu diselesaikan secara individu ataupun secara berkumpulan dan mengikut tahap kebolehan mereka. Seterusnya, pelajar perlu mendapatakn maklumat daripada pelbagai sumber dan mengumpulkannya untuk menyiapkan dan menyelesaikan projek yang telah diberi. Semasa proses menyiapkan tugasan, guru hendaklah sentiasa memberikan bimbingan serta konsultasi secara terarag kepada para pelajar. 
Selain itu, bagi menjayakan strategi pembelajaran ini, guru perlu memainkan peranan yang amat penting dimana mereka perlu memantau proses penyediaan projek pelajarnya secara berterusan dan berkesinambungan. Hal ini bagi mengelakkan projek yang dilaksanakan selari dengan perkara yang telah dirancang dan akan membantu penulisan laporan dengan baik. Oleh sebab itu, strategi ini melibatkan empat tahap utama iaitu mengumpul maklumat, memproses maklumat, melaporkan hasil projek dan membuat refleksi kendiri. Sehubungan dengan itu, guru-guru perlu sentiasa memastikan bahawa pelajarnya mudah dihubungi pada setiap masa bagi melaksanakan proses pemantauan projek. Oleh yang demikian, projek-projek yang dilaksanakan perlu dipastikan oleh guru agar pelaksanaannya dilibatkan dan dikaitkan dengan tiga domain Pendidikan Moral iaitu penaakulan moral, emosi moral dan tingkah laku moral. Bagi mencapai tujuan tersebut, guru-guru yang mengajar Pendidikan Moral amat digalakkan untuk menggunakan cadangan-cadangan aktiviti yang telah dinyatakan dalam DSKP Pendidikan Moral.
Di samping itu, guru juga digalakkan untuk membuka dan memberi peluang serta pilihan kepada pelajarnya untuk menghasilkan kerja-kerja projek mereka berdasarkan kreativiti dan inovasi berkaitan tajuk-tajuk yang telah diajar. Sehubungan dengan itu, guru-guru juga perlu membentuk keyakinan dan kemahiran interpersonal melalui strategi pembelajaran ini yang memerlukan aktiviti perbincangan bagi menyelesaikan tugasan. Antara contoh Pembelajaran Berasaskan Projek yang boleh dilaksanakan oleh guru-guru Pendidikan Moral adalah membuat projek inovasi tentang sesuatu tajuk, membina satu model instruksional yang menggunakan kemahiran tertentu yang dapat menghasilkan sesuatu produk atau artifak yang autentik, projek-projek hasil tangan, projek lawatan, projek kempen kesedaran dan sebagainya.
Strategi Pembelajaran Berasaskan Projek ini sesuai dilaksanakan di peringkat sekolah seperti yang dinyatakan oleh Roslina Abd Karim & Zanaton Iksan (2015), di mana mereka menjelaskan Pembelajaran Berasaskan Projek ini sesuai diimplementasikan dalam kurikulum di Malaysia. Selain itu, strategi ini juga dianggap sebagai pemangkin kepada perkembangan dan penggunaan kaedah pembelajaran abad ke 21. Dalam konteks dunia pendidikan yang kian mencabar, gaya pembelajaran ini sememangnya wajar dilaksanakan seiring dengan kemajuan teknologi maklumat. 
Antara kelebihan melaksanakan strategi pembelajaran berasaskan projek ini adalah dapat melahirkan pelajar yang berkemahiran dalam pemikiran kritis untuk menghasilkan projek dan berupaya melahirkan sumber tenaga yang berkualiti dan profesional dalam menjamin kemajuan dan perkembangan sesebuah negara. Di samping itu, kelebihan lain adalah dapat mengalakkan pelajar Pendidikan Moral mengembangkan kemahiran diri dalam mengembangkan hujah, pendapat, menyoal serta menyelesaikan masalah serta dapat memupuk minat pembelajaran, daya kreatif pelajar serta mengembangkan kemahiran psikomotor.
Selain itu, strategi ini juga dapat menjadikan suasana pembelajaran lebih menyeronokkan, lebih berkesan dan bermakna serta memberikan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai yang positif kepada pelajar pada masa hadapan. Selain itu juga, dapat mendedahkan pelajar kepada kemahiran berorganisasi dan pengurusan masa, meningkatkan komitmen pelajar dalam melaksanakan tugasan, berkeupayaan menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi dan meningkatkan pencapaian akademik.
Namun perkembangan dunia pendidikan yang kian mencabar turut memberi impak kepada pelajar. Oleh itu, beberapa kelemahan turut dikenal pasti dalam pelaksanaan Pembelajaran Berasaskan Projek ini. Antaranya adalah memerlukan banyak tenaga dan masa untuk menyiapkannya, pelajar perlu berhadapan dengan kekangan kewangan kerana pembelajaran ini memerlukan perbelanjaan yang banyak untuk membeli peralatan dan bahan serta mengurangkan fokus pelajar terhadap pengajaran yang dijalankan.

KESIMPULAN

Tuntasnya, strategi-strategi yang telah disebutkan diatas iaitu Pembelajaran Aktif, Pembelajaran Penyelesaian Masalah, Pembelajaran Khidmat Masyarakat dan Pembelajaran Berasaskan Projek seperti yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia amat wajar dilaksanakan dalam pengajaran Pendidikan Moral di sekolah. Hal ini kerana, mata pelajaran Pendidikan Moral dianggap bosan oleh segelintir pelajar kerana terpaksa berpandukan sepenuhnya kepada buku teks. Dengan adanya strategi pembelajaran yang telah disusun secara sistematik, ia dapat membantu guru-guru yang mengajar Pendidikan Moral untuk menyampaikan maklumat dengan berkesan serta dapat memupuk kemahiran yang berkaitan. Keempat-empat strategi pembelajaran ini telah mengambil kira dan menitikberatkan tiga domain moral iaitu penaakulan moral, emosi moral dan perlakuan moral. Bagi merealisasikan hasrat KPM, guru merupakan agen penyampai yang terpenting dalam menjayakan keempat-empat strategi pembelajaran ini. Mereka perlu memastikan penglibatan pelajar di dalam setiap strategi pembelajaran yang telah diperkenalkan. Sehubungan dengan itu, keterlibatan semua pelajar di dalam kelas amat penting bagi menjadikan strategi yang dipilih menunjukkan keberkesanannya.
Secara amnya, strategi-strategi pembelajaran ini turut memberi peluang kepada pelajar untuk lebih berkerjasama dan menumpukan perhatian di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Penguasaan terhadap nilai-nilai dalam strategi yang telah diterangkan akan dapat membantu pelajar Pendidikan Moral untuk membuat keputusan yang rasional pada masa hadapan dan dapat menguasai tahap pengetahuan umum mengenai Pendidikan Moral seperti yang tertakluk dalam Dokumen Standard Kurikulum Pentaksiran. Oleh itu, pelaksanaannya di setiap peringkat di sekolah perlu dilakukan secara berterusan dan holistik supaya dapat menghasilkan insan yang lebih cemerlang serta dapat membantu perkembangan dan kemajuan negara.


RUJUKAN

Aziz, A., Siraj,S., Darusalam,G., & Ladin,C. (2019). Aplikasi
Pemikiran Kritis Semasa Pembelajaran Berasaskan Projek Pendidikan Seni Visual dalam Kalangan Guru Pelatih. Jurnal Melayu Sedunia, 2(1), 352 - 379. Diperoleh daripada
https://ejournal.um.edu.my/index.php/jurnalmelayusedunia/article/view/21838
Basir, N., Mohd Isa Hamzah & Abd Razak, K. (2017). Sikap dalam
Pembelajaran Berasaskan Projek terhadap Pencapaian Pelajar di Politeknik Perak. Tinta Artikulasi Membina Ummah, 3(1), 1-14. Diperoleh daripada
Ettikan, K., Nur Surayyah., & Umi Kalthom. (2015). Guru Cemerlang Pendidikan Moral : Keperluan Menguasai Aspek Kandungan dalam Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Moral dan Implikasinya, International Journal of Education and Training (InJET). 1(2), 1-8. Diperoleh daripada
Hasnuddin Ab Rahman, Hailrudin Jaafar & Badrun Nisah Mohd Nasiruddin (2018).
Keterlibatan Mahasiswa dalam Aktiviti Kesukarelawanan dan Hubungannya dengan Kemahiran Sosial. 4th International Conference of Information Technology & Society. Diperoleh daripada
Kementerian Pendidikan Malaysia, (2018). Dokumen Standard Kurikulum Pentaksiran Pendidikan Moral.
Krishnan, A., Hussin, Z., & Balakrishnan, V. (2019). Transformasi Guru dalam Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Moral di Sekolah Penjara, Jurnal Penyelidikan Pendidikan 20(3), 25-35. Diperoleh daripada
Md. Baharuddin Abd Rahman, (2015). Kesan Pemantauan Interaktif Bersistematik
Pembelajaran Berasaskan Projek (PBP) terhadap Motivasi Pembelajaran, Regulasi Kendiri dan Metakognisi dalam Kalangan Pelajar Politeknik
. Diperoleh daripada
Raja Ismail, R.A., & Ismail, D. (2018). Aplikasi ‘Konsep 4C’ Pembelajaran Abad Ke-21 dalam Kalangan Guru Pelatih Pengajian Agama Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail. Asian People Jurnal (APJ), 1(1), 45-65. Diperoleh daripada

 Roslina Abd Karim & Zanaton Iksan. Keberkesanan Pembelajaran Berasaskan Projek keatas Pengetahuan, Sikap dan Tingkah Laku Murid Tahun 5 terhadap Tajuk Tenaga. Diperoleh daripada
Saili. J. (2018). Penggunaan Smart Mind Map dalam PdP Pendidikan Moral, National Innovation and Invention Competition Through Exhibition. Diperoleh daripada
Siti Saleha Samsuri, (2019). Konsep Pembelajaran Berasaskan Projek Dalam Aktiviti
Pembelajaran Bersepadu Di Kelas Prasekolah
. Diperoleh daripada

6 comments:

  1. Jika terdapat individual/pelajar yang menghadapi masalah emosi, apakah jenis pembelajaran yang patut diaplikasikan dalam PDPC dan cadangan aktiviti apakah yang sesuai dilaksanakan?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jenis pembelajaran yang patut diaplikasikan dalam PDPC sekiranya terdapat individu atau pelajar yang menghadapi masalah emosi adalah dengan menggunakan kaedah pembelajaran secara aktif dan pembelajaran secara penyelesaian masalah.

      Hal ini kerana, cara pembelajaran secara aktif akan membuatkan pelajar yang mempunyai masalah emosi ini dapat bercampur dengan rakan-rakan sekelas yang lain. Pembelajaran secara aktif dapat membantu pelajar yang mempunyai masalah untuk lebih mudah memahami sesuatu perkara yang diajar oleh guru kerana mereka akan dibantu oleh rakan-rakan mereka. Antara aktiviti yang boleh dilaksanakan oleh guru adalah dengan melaksanakan aktiviti dalam satu kumpulan kecil atau sumbang saran. Melalui aktiviti seperti ini, pelajar dapat berinteraksi secara aktif dengan ahli kumpulan. Pelajar yang mempunyai masalah emosi ini selalunya merupakan pelajar yang merasakan diri mereka lemah dalam sesuatu subjek atau pelajaran yang membuatkan mereka tertekan jika mereka tidak dapat membuat sesuatu tugasan, atau seorang pelajar yang mempunyai masalah keluarga yang menyukarkannya untuk fokus dalam menyelesaikan sesuatu tugasan yang diberi oleh guru. Oleh itu, pembelajaran secara aktif ini dapat memberikan pelajar kefahaman yang lebih jelas kerana ahli kumpulan akan membantu mereka dalam memberikan maklumat dan menerangkan perkara yang tidak difahami oleh mereka dengan lebih jelas.

      Selain itu, penggunaan cara pembelajaran secara penyelesaian masalah. Aktiviti secara penyelesaian masalah yang dilaksanakan oleh guru ini juga adalah penting bagi membimbing pelajar dalam menyelesaikan masalah tidak kira masalah itu daripada diri sendiri atau masalah yang datang daripada persekitaran. Dengan aktiviti yang dilakukan, pelajar dapat mempelajari cara penyelesaian masalah dengan betul dan rasional. Cara pelajar menyelesaikan masalah ini juga dapat membantu mereka dalam mengaplikasikan kaedah ini ke dalam kehidupanya dengan membantu mereka membuat sesuatu keputusan yang relevan. Antara contoh aktiviti yang boleh dilaksanakan oleh guru adalah seperti perundingan meja bulat, peta minda, perbincangan kumpulan dan debat. Pembelajaran seperti ini dalam Pendidikan Moral akan menjadi asas kepada pelajar untuk memahami dan menangani perubahan yang berlaku dalam kehidupan dan persekitarannya dengan bertanggungjawab dan juga berkesan. Aktiviti seperti sesi soal jawab juga boleh dilaksanakan oleh guru bagi menggalakkan interaksi antara pelajar dengan guru menjadi lebih baik.

      Kesimpulannya, aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh guru seperti aktiviti berkumpulan, sesi soal jawab dan sumbang saran ini merupakan satu aktiviti yang kreatif dan dapat menggalakkan pelajar berinteraksi dengan lebih baik terhadap rakan sekelas dan juga guru. Aktiviti seperti ini dapat mempengaruhi emosi pelajar ke arah yang lebih baik kerana mereka dapat bercampur bersama rakan sekelas dan menyelesaikan perkara yang diberikan oleh guru dengan lebih baik. Pelajar juga akan lebih memahami dengan lebih baik sesuatu topik pembelajaran kerana terdapat rakan-rakan yang membantu mereka. Dengan itu, pelajar yang mempunyai masalah emosi disebabkan tidak memahami perkara yang diajar oleh guru dapat diatasi.

      Delete
    2. Alhamdulillah, nampaknya ahli kumpulan ini menguasai topik ini...terbaik!

      Delete
  2. Saya amat tertarik dengan strategi PdP yang kedua iaitu Pembelajaran Berasaskan Penyelesaian Masalah. Pengaplikasian dilema moral dalam sesi PdP amatlah sesuai bagi pelajar peringkat menengah untuk membuka minda mereka tentang perkara yang baik dan buruk, keperluan dan kehendak serta wajib atau tidak wajib. Selain itu, saya juga menyokong penggunaan Smart Mind Map yang menggunakan aplikasi Qr Code untuk pembelajaran kendiri. Ianya lebih mudah untuk pelajar mengakses maklumat-maklumat menggunakan Qr Code di samping risiko kehilangan bahan mengajar dan rujukan juga adalah amat tipis.

    Persoalannya di sini ialah sejauhmanakah dilema moral mampu membantu murid untuk memupuk nilai-nilai moral di dalam diri mereka? Hal ini kerana sesetengah murid hanya akan memberikan jawapan yang 'betul' di dalam kelas atau di atas kertas peperiksaan untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang tetapi dalam kehidupan yang sebenar mereka tidak mampu melakukan perbuatan atau tindakan seperti yang tertera di kertas peperiksaan. Apakah cara yang paling efektif untuk membendung masalah tersebut?

    ReplyDelete
  3. Salam Sejahtera, saudari.
    Bagi menjawab persoalan anda iaitu sejauh manakah dilema moral mampu membantu murid untuk memupuk nilai-nilai moral di dalam diri mereka ialah guru perlu menggunakan kaedah pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah dan juga guru juga boleh menggunakan pelbagai inisiatif lain untuk mebuat aktiviti pembelajaran kelihatan lebih menarik dan seterusnya dapat menarik minat pelajar terhadap sesuatu pembelajaran. Dalam konteks ini, guru merupakan orang yang berperanan dalam membina iklim moral di dalam kelas. Guru perlu menerangkan kepada pelajar tentang keperluan pelajar dalam membuat sesuatu keputusan yang baik apabila berada di dalam sesuatu delima.

    Antara nilai moral yang sangat penting yang boleh diajarkan oleh guru kepada para pelajar ialah kebaikan penggunaan nilai-nilai moral di dalam kehidupan. Tiga nilai moral ini amat penting dalam membantu pelajar dalam membuat keputusan yang baik sekiranya mereka menghadapi sesuatu delima. Nilai moral ini terdiri daripada tiga dimensi moral yang terdiri daripada penaakulan moral, emosi moral dan tingkah laku moral.

    Penaakulan moral yang diajar oleh guru di sekolah dapat membantu murid untuk membuat sesuatu keputusan dengan baik kerana mereka akan berfikir dengan baik terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu perkara. Mereka akan lebih memikirkan tentang sesuatu akibat yang akan berlaku sebelum mereka membuat sesuatu keputusan. Yang kedua adalah emosi moral. Emosi moral ini dapat memastikan para pelajar tidak melakukan sesuatu keputusan mengikut emosi mereka sekiranya berhadapan dengan sesuatu delima. Hal ini kerana sesuatu keputusan yang dilakukan mengikut emosi akan membawa kepada permasalahan yang lain. Yang terkahir adalah tingkah laku moral. Pelajar akan mengaplikasi nilai moral dalam kehidupan seharian mereka dan setiap tingkah laku mereka akan dipengaruhi dengan tingkah laku yang biak. Jadi, mereka tidak akan melakukan pelbagai perkara yang negatif.

    Kesimpulannya, tiga dimensi moral ini amat penting untuk diterapkan ke dalam PdP moral bagi mengatasi delima yang dihadapi oleh pelajar. Dengan ini, pelajar dapat melakukan setiap perbuatan dan tindakan dengan rasional sama ada di dalam sekolah ataupun apabila mereka menempuh dunia kerjaya.


    ReplyDelete

HUBUNGAN ANTARA PENAAKULAAN MORAL, EMOSI MORAL DAN PERLAKUAN MORAL KE ARAH MELAHIRKAN INSAN BERAKHLAK MULIA

    NAMA KURSUS PENDIDIKAN MORAL DI MALAYSIA KOD KURSUS HMS3013 KUMPULAN   ...