Friday, May 22, 2020

Tugasan 2 : Kronologi Pengenalan Pendidikan Moral di Malaysia


SOALAN :
KRONOLOGI YANG MEMBAWA KEPADA PENGENALAN MATA PELAJARAN PENDIDIKAN MORAL SEBAGAI MATA PELAJARAN RASMI DI SEKOLAH-SEKOLAH DI MALAYSIA.


NAMA
NO. MATRIK
NORASHIKIN BINTI JEMAT
D20171077646
BRENDA GYLE POULUS
D20171077649
NURUL IZZAH BINTI BADARAL ZAMAN
D20181082823
 

    
Sistem pendidikan negara kita telah bermula sebelum penjajahan British lagi. Sejarah perkembangan pendidikan di Malaysia boleh dibahagikan kepada dua pecahan iaitu pendidikan sebelum kemerdekaan dari zaman penjajahan British sehinggalah tahun 1956 dan pendidikan kedua selepas kemerdekaan negara pada tahun 1957.

Pendidikan moral adalah sebahagian daripada pendidikan nilai, yang mana pendidikan nilai terawal di Malaysia dikaitkan dengan pengajian agama dan Al-Quran dalam kalangan penduduk awal di Tanah Melayu iaitu sebelum kedatangan British ke tanah Melayu. Pengajian agama ini dikelolakan oleh para ulama dengan mendirikan institusi yang dikenali sebagai sekolah pondok. Di sinilah penduduk tempatan mempelajari agama dan norma-norma kehidupan bermasyarakat.

Kedatangan British pada era penjajahan keduanya selepas pengunduran Jepun menimbulkan impak terhadap politik, selain pengagihan ekonomi dan pengubahan dasar sosial yang mana pada zaman tersebut berlakunya dasar pecah dan perintah. Gobinath (2014) turut menyetujui pernyataan ini, yang mana menurutnya, dasar pecah dan perintah yang dilaksanakan oleh kerajaan British merupakan punca berlakunya pemisahan petempatan di Malaysia dan ia merupakan salah satu cabaran untuk masyarakat Malaysia dalam usaha pembinaan tamadun Malaysia. Kebanyakan orang Melayu tinggal di kawasan luar bandar manakala orang Cina menetap di kawasan lombong kerana majoritinya terlibat dalam kegiatan perlombongan dan orang India tinggal di estet. Pemisahan petempatan telah mengakibatkan kekurangan interaksi antara kaum dan hubungan dua hala tersebut hanya berlaku ketika melakukan urus niaga di pasar atau di pejabat sahaja. Perkara ini secara tidak langsung akan melahirkan sikap negatif dan perasaan prasangka dalam kalangan masyarakat multi-etnik. Kini, pemisahan dalam bidang pekerjaan tertentu seperti bidang kejururawatan, ketenteraan dan perindustrian juga belaku dan dimonopoli oleh satu-satu etnik sahaja.

Kesan kedatangan British dari segi sosial dapat dilihat apabila British memperkenalkan sistem pendidikan Barat, yang dapat dilihat contohnya seperti Penang Free School yang dibina pada tahun 1816, dan kemudiannya mula dibina ditempat lain khususnya di sekitar Melaka, Pulau Pinang dan juga Singapura. Bukan itu sahaja, pihak British juga telah memperkenalkan suatu kurikulum yang berbentuk sekular. Semasa pentadbiran British, terdapat empat jenis pendidikan dan sekolah yang termasuk pendidikan tidak formal iaitu melalui madrasah. Empat jenis pendidikan tersebut ialah sekolah inggeris, vernakular melayu, vernakular tamil dan vernakular cina. Perkara ini disokong oleh Mohd Aris Othman (2014), yang mana menurutnya, dasar laissez-faire dalam pendidikan telah menyebabkan kewujudan lima jenis persekolahan pada zaman pemerintahan British iaitu sekolah vernakular Melayu, sekolah vernakular Cina, sekolah vernakular Tamil, sekolah Inggeris dan sekolah Agama Islam (madrasah). Sekolah-sekolah persendirian Inggeris didirikan oleh pendakwah Kristian dan sekolah-sekolah Cina pula didirikan oleh masyarakat Cina sendiri. Masyarakat India yang tinggal di ladang kurang berminat mendirikan sekolah. Oleh itu, sekolah-sekolah Tamil didirikan oleh tuan majikan dengan harapan mereka akan tinggal di situ dalam jangka masa yang lama.

Dalam konteks ini, dasar laissez-faire ini merupakan suatu doktrin kebebasan penuh dalam perdagangan tanpa campur tangan kerajaan. Menurut Nur Atiqah Tang Abdullah & Ong Puay Liu (2018), pertambahan bilangan sekolah aliran Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil akibat dasar laissez-faire pendidikan di Tanah Melayu menyebabkan pihak kolonial (British) sudah tidak mempunyai lagi keupayaan untuk menyusun semula semua aliran persekolahan ini menjadi satu sistem pendidikan yang selaras. Bahkan, pihak British juga tidak begitu bersedia untuk membuat sesuatu perubahan dasar dalam pendidikan jika perkara itu tidak memberi keuntungan politik dan ekonomi kepada mereka. Perkara ini dapat dilihat pada ketika pentadbiran British ini, tiada pendidikan moral yang disebut dalam sekolah-sekolah vernakular tersebut. 

Selepas kemerdekaan negara, sistem pendidikan telah digubal semula. Walaupun sekolah vernakular masih dikekalkan, namun berlaku penambahan. Yang mana tumpuan pendidikan adalah berfokus kepada memupuk perasaan cintakan negara dan bersatu tanpa mengira perbezaan fahaman dan agama. Perkara ini dapat dilihat dalam Penyata Razak 1956, yang mana dalam akta ini menekankan perpaduan kaum dan penghasilan tenaga kerja. Walaupun Penyata Razak ini tidak menyatakan secara jelas mengenai keperluan pendidikan nilai dimasukkan ke dalam kurikulum, namun terdapat satu pernyataan yang jelas berkenaan Pendidikan Islam dalam penyata tersebut. Dalam penyata tersebut, “jika muridnya tidak kurang dari 15 orang yang berugama (beragama) Islam, pelajaran agama diberikan kepada mereka itu hendaklah dengan belanja kerajaan. Pelajaran dalam agama lain kepada murid-murid lain pula dibolehkan asalkan belanjanya tiada membebankan kerajaan dan tiada boleh barangsiapa murid dikehendaki menghadiri pelajaran agama dengan tiada kebenaran ibu bapanya”. 

Selain itu, perkara ini juga dapat dilihat dalam Akta Pendidikan 1957, yang mana sistem yang dilaksanakan adalah untuk membantu perkembangan negara yang memperlihatkan Pendidikan Islam diwajibkan untuk semua orang Islam. Namun demikian, sekolah vernakular diberi kelonggaran untuk mengajar pendidikan agama lain berdasarkan perancangan mereka sendiri.

Pada tahun 1959, Jawatankuasa Penyemak Dasar Pelajaran Kebangsaan ditubuhkan bagi mengkaji semula perlaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan seperti yang termaktub dalam Laporan Razak dan langkah-langkah bagi mewujudkan suatu sistem pendidikan kebangsaan. Jawatankuasa ini juga berperanan untuk memperbaiki sistem pendidikan di Persekutuan Tanah Melayu. Jawatankuasa ini diketuai oleh Abdul Rahman bin Haji Talib, yang merupakan Menteri Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu pada ketika itu.

Seterusnya, Pendidikan Moral makin berkembang dengan wujudnya Akta Pelajaran 1961. Lee (2004) dalam artikel Bajunid (2008) juga berpendapat sedemikian. Lee (2004) menyatakan sistem sekolah Malaysia mengalami perkembangan yang sangat besar dan cepat pada dekad ke 1960-an, yang mana banyak lembaga keguruan dibuka dan pengambilan guru adalah tinggi. Pada dasarnya, Akta Pelajaran 1961 menjadi kerangka rujukan pelaksanaan Dasar Pendidikan Negara sehingga digantikan dengan Akta Pendidikan 1996. Akta ini dibentuk berasaskan syor-syor Penyata Razak (1956) dan Penyata Rahman Talib (1960). Akta Pendidikan 1961 diwujudkan untuk melahirkan masyarakat majmuk yang bersatu padu. Akta ini juga merupakan satu mandat untuk mewujudkan satu sistem pendidikan yang bercorak kebangsaan.

Dasar pendidikan Persekutuan digubal dengan tujuan untuk menubuhkan satu sistem pendidikan kebangsaan yang akan memupuk perkembangan kebudayaan, ekonomi dan politik negara ini, di samping menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kemudian, ia juga menekankan bahawa hanya aspek-aspek yang berkaitan dengan tahap pendidikan dan pengajian Pendidikan Islam perlu diberikan tumpuan.

            Jika dilihat secara holistik, Akta Pelajaran 1961 membahagikan pendidikan kepada empat tahap iaitu pendidikan tahap rendah, pendidikan tahap menengah dan rendah, pendidikan tahap menengah atas serta pendidikan di tahap tinggi iaitu pendidikan di institusi pendidikan, kolej serta maktab perguruan. Pendidikan menjadi semakin meluas dan berkembang dengan adanya pecahan tahap-tahap pendidikan tersebut.

Seterusnya, jika diperhalusi, menerusi seksyen 36 (1) dalam akta ini, Pendidikan agama Islam hendaklah diberikan kepada murid-murid Islam sekiranya terdapat 15 orang atau lebih di sesebuah sekolah. Pendidikan agama lain tidak boleh diajar kepada murid-murid lain yang bukan penganutnya kecuali dengan persetujuan bertulis daripada ibu bapa. Akta ini turut menyatakan bahawa pendidikan agama selain daripada agama Islam boleh diberikan kepada murid-murid sekiranya pendidikan itu diberikan di luar masa sekolah dan tidak melibatkan wang yang diperuntukkan oleh Parlimen.

Kemudian, apabila pihak yang bertanggungjawab terhadap bidang pendidikan menyedari bahawa pentingnya pendidikan nilai kepada pelajar yang bukan bergama Islam, mereka telah mencadangkan agar pelajar-pelajar tersebut ditawarkan mata pelajaran Sivik yang mana menjadi sebahagian daripada kurikulum. Implikasinya, subjek tersebut ditawarkan kepada semua pelajar di peringkat sekolah menengah dan rendah dan ia mula diajar kepada murid yang berada di darjah empat sehinggalah tingkatan lima. Bagi murid tahun satu sehingga tahun tiga pula, unsur-unsur Sivik dimasukkan ke dalam mata pelajaran Hal Ehwal Tempatan. Perkara ini adalah sangat bertepatan dengan jawatan kuasa penyemak pelajaran 1960 yang telah dirangka ataupun dikenali sebagai Laporan Abdul Rahman Talib 1960.

Jika diteliti, penyata Rahman Talib mempunyai ciri-ciri seperti pelaksanaan pelajaran rendah diberikan selama sembilan tahun, kenaikan darjah secara automatik dari darjah satu sehingga tingkatan tiga, peperiksaan penilaian sekolah rendah perlu diadakan, pelajaran teknik dan vokasional diperluas dan bahasa pengantar perlu berlaku pengalihan. Lanjutnya, laporan ini berpendapat bahawa sistem pelajaran telah dilaksanakan dengan berkesan, dengan mengikut syor-syor Laporan Razak dan ia patut diteruskan. Kesemua cadangan ini telah dimaktubkan menjadi Akta Pelajaran 1961.

Selepas itu, sistem pendidikan aneka jurusan telah ditubuhkan pada tahun 1965 bagi sekolah menengah rendah untuk menggantikan sistem pelajaran lanjutan yang dihapuskan. Mata pelajaran aneka jurusan di sekolah menengah pada masa itu ialah Seni Perusahaan, Sains Rumah Tangga, Sains Pertanian dan Perdagangan.

Walaupun hasrat dan tujuan Akta Pendidikan 1961 ini adalah untuk menyatukan kaum yang ada di Malaysia ini, tetapi secara praktikalnya, adalah sukar untuk kita mencapai matlamat itu kerana pola tempat tinggal kita adalah berlainan. Misalnya, orang Melayu tinggal di kampung-kampung dan pinggir pantai, kaum Cina tinggal di kawasan perlombongan dan kaum India tinggal di kawasan ladang-ladang getah. Dengan itu, terdapat kesukaran dalam menyatukan mereka. Pernyataan ini diakui oleh Bajunid (2008), yang mana beliau menyatakan rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969 telah membuat pemerintah Malaysia melancarkan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang salah satunya adalah untuk memberikan akses yang luas kepada kaum bumiputera dalam pendidikan.

Selepas Laporan Rahman Talib 1960, muncul laporan-laporan seperti Laporan Hussein Onn (1971) dan Laporan Mahathir 1976. Kedua-dua laporan ini dikemukakan adalah untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan Negara yang sebelumnya adalah berdasarkan kepada Laporan Razak dan Laporan Rahman Talib. Menerusi peristiwa tersebut, kerajaan telah mula menilai kembali semua struktur, institusi, perancangan dan pelan bertindak yang dilaksanakan selama ini.

Implikasi daripadanya ialah terhasilnya Rukun Negara yang dianggap sebagai ideologi negara. Rukun Negara telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970, tepat 12 tahun selepas negara mencapai kemerdekaan. Terdapat lima prinsip dalam Rukun Negara iaitu kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kesopanan dan kesusilaan.

Sesungguhnya, Rukun Negara ialah hasil daripada perbincangan-perbincangan yang diadakan oleh Majlis Perundingan Negara (MPN). Bagi melicinkan pemerintahan negara di bawah MEGERAN yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Tun Abdul Razak, MEGERAN telah menubuhkan tiga badan iaitu Majlis Muhibah Negara, Jabatan Perpaduan Negara dan Majlis Perundangan Negara. Rukun Negara ialah amalan yang perlu dilakukan dan satu visi bagi merealisasikan kontrak sosial yang dipersetujui oleh kaum-kaum utama di Malaysia. Rukun Negara juga merupakan satu doktrin yang digunakan untuk mencapai perpaduan kaum demi keharmonian dan kemakmuran negara Malaysia.

Ekoran peristiwa tersebut, penggubalan sukatan Pendidikan Moral telah diadakan pada tahun 1976. Penggubalan ini bermula apabila Jawatankuasa Pendidikan Moral ditubuhkan dan diketuai oleh Ketua Jemaah Nazir Sekolah-Sekolah Persekutuan. Jawatankuasa Pusat Kurikulum bermesyuarat pada 20 Oktober 1976 dan telah mengambil keputusan untuk memperkenalkan mata pelajaran Pendidikan Moral sebagai satu mata pelajaran dalam kurikulum sekolah bermula dari Darjah 1 hingga ke Tingkatan 5.

Jawatankuasa tersebut telah menyiapkan satu laporan yang memuatkan satu takrif bagi pendidikan moral dalam konteks Malaysia untuk dijadikan rujukan iaitu, Pendidikan Moral yang disasarkan kepada agama, tradisi, dan nilai-nilai kemanusiaan adalah satu program pendidikan yang formal dan juga tidak formal yang ditujukan ke arah perkembangan perwatakan individu supaya dapat memberi kebajikan masyarakat dan negara, selaras dengan prinsip-prinsip Rukun Negara.

Kemudian, beberapa jawatan kuasa ditubuhkan untuk mengkaji nilai-nilai moral yang terdapat dalam pelbagai agama, adat resam, norma-norma hidup, dan sistem budaya yang terdapat di Malaysia. Pada masa yang sama, jawatankuasa induk ditugaskan untuk mengkaji senarai nilai yang diperolehi daripada Bengkel Pendidikan Moral yang dianjurkan oleh United Nations Educational Scientific and Cultural Organizations, National Institute of Educational Research (UNESCO, NIER), Tokyo Jepun pada tahun 1975.

Dalam hal Pendidikan Moral dan nilai, kementerian pelajaran menjadikan ia sebagai salah satu perkara yang tidak perlu dipisahkan daripada kurikulum baru pada peringkat sekolah rendah dan menengah bermula pada tahun 1980-an. Kemunculan undang-undang pada tahun 1996 menjelaskan bahawa falsafah pendidikan kebangsaan mengintegrasikan perkara tersebut (Bajunid, 2008). Menurut Vishalache (2009), kurikulum pendidikan sekolah di Malaysia pada saat ini membahagikan Pendidikan Moral kepada dua bentuk yang berbeza. Pendidikan Agama Islam adalah untuk pelajar muslim dan Pendidikan Moral adalah untuk pelajar yang bukan beragama Muslim yang merupakan 40% daripada populasi pendidikan Malaysia. Perkara tersebut telah menjadi pemangkin untuk berkembangnya lagi pendidikan Moral di negara ini.

Laporan kemudiannya diserahkan kepada Jawatankuasa Teknikal Pendidikan Moral yang diurusetiakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1978. Jawankuasa inilah kemudiannya menyediakan satu draf Sukatan Pelajaran Pendidikan Moral bagi sekolah-sekolah di Malaysia dengan menyusun nilai-nilai yang dipilih kepada enam belas nilai utama. Dalam mendefinisikan 'pendidikan moral', projek Pendidikan Moral di Malaysia telah menjadikan Rukun Negara Malaysia sebagai perkara asas atau sumber yang penting. Penggubal-penggubal Rukun Negara menyedari bahawa kemoralan adalah tidak sama dengan kepercayaan agama, taat setia kepada raja dan negara, keutuhan periembagaan, atau peraturan undang-un tang: kerana, dalam Rukun Negara, kelakuan baik dan kemoralan dikenal pasti sebagai satu prinsip yang tersendiri.

            Walaubagaimanapun, mereka yang bertanggungjawab menyediakan projek Pendidikan Moral di Malaysia nampaknya tidak dapat membezakan kemoralan daripada komponen-komponen atau prinsip-prinsip Rukun Negara yang lain, yang kesemuanya, sebenarnya, adalah bentuk-bentuk perintahan atau peraturan sosial. Perkara ini ditunjukkan oleh fakta bahawa dalam Draf Sukatan Pelajaran Pendidikan Moral (1978) dan Sukatan Pelajaran Sekolah Rendah: Pendidikan Moral (1983) untuk sekolah-sekolah di Malaysia, Pendidikan Moral dilihat sebagai penghayatan nilai-nilai yang selaras dengan prinsip-prinsip Rukun Negara. Terdapat juga istilah seperti 'inculcation' dan 'socialisation' dalam dokumen Draf Sukatan Pelajaran Pendidikan Moral. Maksud perbincangan ini ialah projek Pendidikan Moral di Malaysia terbuka kepada kritikan bahawa projek itu sendiri adalah tidak boleh diizin atau dibenarkan dari segi moral.

            Dalam Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979 pula, terdapat tiga mata pelajaran dianggap sebagai asas kepada pendidikan nilai di sekolah iaitu Pengetahuan Agama Islam, Pendidikan Moral dan Sivik. Pelajar Islam diwajibkan untuk mempelajari Pengetahuan Agama Islam juga wajib menduduki peperiksaan. Pelajar bukan muslim pula diwajibkan mempelajari Pendidikan Moral dan menduduki peperiksaan. Pendidikan moral di sekolah di Malaysia mempunyai sejarah yang panjang, dimulai sejak berdirinya pendidikan formal pada abad ke-19 oleh pemerintah kolonial Inggeris sampai pada bentuknya sekarang ini, yang khusus untuk pelajar bukan Islam. Perubahan bentuk pendidikan moral sebagai wujud pendidikan karakter di sekolah mengikuti pola yang disesuaikan dengan perubahan kurikulum yang terjadi, iaitu menjadi mata pelajaran wajib yang masuk dalam ujian akhir sekolah Bambang et. al. (2012) telah menegaskan kedudukan pendidikan Sivik di sekolah yang memainkan dua peranan secara serentak, iaitu pengembangan sahsiah diri dalam masyarakat serta menjadi warganegara yang baik. 

            Pendidikan Moral adalah subjek formal wajib dalam sistem sekolah Malaysia. Ia diajar kepada murid bukan Islam manakala murid-murid Islam diajar Pendidikan Islam. Murid-murid mempelajari subjek ini dari Tahun Satu Rendah hingga Tingkatan Lima dan ia memuncak dengan peperiksaan awam berpusat formal yang dijalankan pada akhir Tingkatan Lima oleh Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan (Lee, 2010).  Sebelum pengenalan Pendidikan Moral sebagai subjek sekolah pada tahun 1983, pendidikan moral adalah diajar dalam pelbagai cara formal dan tidak rasmi. Ia secara rasmi diajar dalam Agama Islam (Ugama Islam) untuk murid-murid Islam sementara murid-murid bukan Islam mempunyai pilihan belajar pendidikan agama, di luar jadual waktu sekolah biasa. Dalam kebanyakan orang Kristian sekolah misi, Etika, etika Kristian asas diajar sebagai subjek sekolah.

            Pendidikan Moral diperkenalkan Pada tahun 1982 yang mana Pendidikan Moral telah dianggap sebagai satu matapelajaran rasmi di peringkat Darjah 1 sekolah rendah diperkenalkan selaras dengan pelaksanaan KBSR 1989, program Pendidikan Moral Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) diperkenalkan bermula dengan Tingkatan 1. Pendidikan Moral merupakan satu subjek yang diajar di sekolah sama ada sekolah rendah atau sekolah menengah. Pendidikan Moral adalah satu subjek yang mengajar tentang penerapan nilai-nilai murni dalam diri untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Dalam konteks negara Malaysia, subjek ini diajar kepada pelajar-pelajar bukan muslim. Hal ini kerana, bagi pelajar muslim, mereka mempunyai subjek Pendidikan Islam yang mana di dalam subjek ini telah diajar tentang nilai-nilai yang baik dalam kehidupan berlandaskan agama Islam.

            Jadi bagi pelajar bukan muslim pula, mereka di ajar subjek Pendidikan Moral bagi memastikan proses penerapan nilai murni juga dapat disampaikan kepada mereka. Dalam sukatan mata pelajaran Pendidikan Moral ini telah ditetapkan enam belas nilai murni untuk diajarkan kepada para pelajar di sekolah. Enam belas nilai utama yang disebut sebagai ‘nilai murni’ yang dipersesetujui, yaitu: (1) baik hati; (2) berdikari; (3) hemah tinggi (sopansantun); (4) hormat-menghormati; (5) kasih sayang; (6) keadilan; (7) kebebasan; (8) keberanian; (9) kebersihan fizikal dan mental; (10) kejujuran; (11) kerajinan; 12) kerjasama; (13) kesederhanaan; (14) kesyukuran; (15) rasional; dan (16) semangat bermasyarakat (gotong royong).

            Pendidikan Moral adalah satu subjek yang amat penting yang harus diajar kepada pelajar sekolah yang mana mereka bakal menjadi pewaris kepada generasi masa kini. Jadi bagi memastikan kehidupan mereka dipenuhi dengan nilai-nilai murni, subjek ini diperkenalkan di sekolah-sekolah. Dengan adanya subjek Pendidikan Moral, pelajar akan dapat mendalami maksud nilai yang sebenarnya. Hal ini kerana, sebelum mereka menerapkan nilai-nilai murni dalam diri, terlebih dahulu mereka harus tahu akan kepentingan nilai murni dalam kehidupan seharian. Apabila mereka sudah memahami erti nilai yang sebenar, maka proses penerapan nilai dalam diri dan kehidupan mereka akan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan akhirnya dapat membentuk insan yang cemerlang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

            Pendidikan moral merupakan salah satu misi utama dalam proses pendidikan sejak zaman berzaman. Selagi ada perbincangan intelektual, para pemikir pendidikan sentiasa memberi perhatian dan membincangkan tentang perkembangan dan pembangunan peribadi insan terutamanya dalam aspek berkaitan pendidikan moral dan akhlak. Apatah lagi bila melihat semakin meningkatnya kes-kes delikuensi dan jenayah juvenil yang dipaparkan oleh media. Deskripsi berkenaan pendidikan moral seharusnya bermula dengan memfokuskan kepada apakah sebenarnya yang dikatakan ‘insan bermoral’. Ini kerana mana-mana pendekatan yang akan digunakan mestilah berasaskan kepada kefahaman yang tepat dan jelas tentang insan bermoral itu sendiri. 

RUJUKAN

Bajunid I.A. (ed. 2008).  Malaysia, from Traditional to Smart School; the Malaysian Educational Odyssey. Shah Alam: Oxford-Fajar.
Bambang Sumintono, Lokman Mohd Tahir & Mohd Anuar Abdul Rahman. (2012).          Pendidikan Moral di Malaysia: Tantangan dan Implementasi Pendidikan Karakter di            Sekolah. Jurnal Pendidikan Karakter, 11(1), 20-21. Diperoleh daripada https://www.researchgate.net/publication/232710326_Pendidikan_Moral_di_Malaysia_Tantangan_dan_Implementasi_Pendidikan_Karakter_di_Sekolah_Indonesian
Gobinath (2014). Dasar Pecah dan Perintah dan Kesan Jangka Panjang Terhadap Hubungan Kaum. Portal Course Hero yang beralamat di https://www.coursehero.com/file/10463276/DASAR-PECAH-DAN-PERINTAH-DAN-KESAN-JANGKA-PANJANG/
Lee, C.H. (2010). An Appraisal on The Implementation of Moral Education for Schools in            Malaysia. Proceedings of The 4th International Conference on Teacher Education;          Join Conference UPI & UPSI Bandung, Indonesia, 8-10 November 2010. Diperoleh      daripada https://pdfs.semanticscholar.org/8274/7f3d4e4dadc15898d19ea071a04656677ae7.pdf
Mohd Aris Othman (2014). Sejarah Pendidikan di Tanah Melayu dari Tahun 1900-1941. Jurnal Penyelidikan Dedikasi, 8, 1-18. Diperoleh daripada  http://www.ipgmipoh.edu.my/journal/index.php/dedikasi/article/download/42/38
Nur Atiqah Tang Abdullah & Ong Puay Liu (2018). Latar Belakang Sejarah Sistem Pendidikan dan Masyarakat Majoriti Manoriti di Malaysia.  Manuskrip ICIP. Institut Kajian Etnik (KITA): Universiti Kebangsaan Malaysia. Diperoleh daripada http://www.ukm.my/kita/wp-content/uploads/5.Manuskrip-ICIP.Dr-Atiqah-_-Prof-Ong-B.pdf
Vishalache, B. (2009), Teaching moral education in secondary schools using real-life dilemmas. New Zealand: Victoria University of Wellington.



No comments:

Post a Comment

HUBUNGAN ANTARA PENAAKULAAN MORAL, EMOSI MORAL DAN PERLAKUAN MORAL KE ARAH MELAHIRKAN INSAN BERAKHLAK MULIA

    NAMA KURSUS PENDIDIKAN MORAL DI MALAYSIA KOD KURSUS HMS3013 KUMPULAN   ...