SEMESTER 2 2019/2020
KOD DAN NAMA KERTAS:
HMS 3013 - PENDIDIKAN MORAL DI MALAYSIA
TAJUK TUGASAN:
SOALAN 2: Dokumen Standard Kurikulum Dan Pentaksiran Kementerian Pendidikan Malaysia Telah Menggariskan Hubungan Antara Penaakulan Moral, Emosi Moral Dan Perlakuan Moral Kearah Melahirkan Insan Berakhlak Mulia. Bincangkan Penyataan Tersebut.
KUMPULAN KULIAH : B
NAMA PELAJAR :
|
NAMA PELAJAR |
NO MATRIK |
|
NUR SYUHADA AIDA BINTI ROSLIN @ MOHD ROSLI |
D20181083917 |
|
WAN NUR IZZWANI BINTI WAN IZHAM |
D20181083845 |
NAMA PENSYARAH : PUAN ROBE'AH BINTI YUSUF
PENGENALAN
Moral berasal daripada perkataan Latin iaitu Mores yang bermaksud kesusilaan, adab, sopan santun dan tradisi. Maka Moral membawa maksud suatu tingkah laku yang bersifat praktikal. Ia adalah pengajaran, kumpulan peraturan dan solusi tentang tingkah laku dalam seseorang individu hidup. Selain itu, ia juga bertujuan agar individu bertindak menjadi orang yang baik dan bermanfaat. Pendidikan Moral pula adalah merupakan subjek yang diajar di sekolah rendah dan sekolah menengah yang diajarkan kepada pelajar bukan muslim. Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum, 2004, dalam Kalaiselvi Ettikan, Nur Surayyah Madhubala Abdullah, Umi Kalthom Abdul Manaf (2015) menyatakan bahawa “Sejak ini telah dilaksanakan sejak tahun 1983 dan merupakan mata pelajaran teras yang diajarkan kepada murid dengan tujuan untuk mendidik mereka menjadi insan yang berdisplin dan berakhlak mulia”.
Pendidikan Moral di Malaysia diperkenalkan pada tahun 1983. Mata pelajaran ini mula diajarkan di peringkat sekolah menengah pada tahun 1989. Ia diuji dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1993. Semakan semula kukrikulum Pendidikan Moral Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1999 telah dilakukan dan penyediaan buku untuk matapelajaran ini dilaksanakan secara berperingkat pada tahun 2001. Pendidikan Moral adalah suatu program atau matapelajaran yang bertujuan mendidik murid menjadi insan yang bermoral atau berakhlak mulia dengan menekankan aspek perkembangan pendidikan moral, perasaan moral dan tingkah laku moral. Pendidikan Moral merupakan pelajaran wajib bagi murid-murid bukan Islam.
1.0 DOKUMEN STANDARD KURIKULUM DAN PENTAKSIRAN
Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran atau DSKP pula merupakan satu dokumen yang mengintegrasikan kurikulum dan pentaksiran. Di dalam DSKP terdapat tiga standard yang digariskan iaitu Standard Kandungan (SK) iaitu penyataan spesifik tentang perkara yang murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai. Seterusnya Standard Pembelajaran (SP) pula adalah satu penetapan kriteria atau indicator kualiti pembelajran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan. Manakala Standard Prestasi (SPi) adalah satu set kriteria yang menunjukan tahap-tahap penguasaan murid sebagai petunjuk bahawa sesuatu perkara itu telah dikuasai oleh murid. Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran ini diperkenalkan adalah bertujuan untuk membantu serta memudahkan para guru dalam melaksanakan pentaksiran dalam proeses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). Guru yang melaksanakan PdP dan menjalankan pentaksiran dengan merujuk satu dokumen sahaja. Sebagai contoh jika guru itu mengajar Pendidikan Moral Tingkatan 1, guru tersebut akan mengunakan dokumen pentaksiran yang khusus untuk kumpulan murid berkenaan.
2.0 DOKUMEN STANDARD KURIKULUM DAN PENTAKSIRAN PENDIDIKAN MORAL
Kurikulum Pendidikan Moral digubal adalah usaha dalam melahirkan, mendidik serta menghasilkan murid yang mempunyai kualiti, berpengetahuan, perwatakan yang mulia dan mempunyai semangat patriotisme serta perpaduan dalam diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Hal ini dapat dicapai dengan mengupayakan murid dalam menguasai aspek kandungan kurikulum iaitu kandungan, pedagogi dan pentaksiran. Aspek kurikulum ini hendaklah dilaksanakan secara bersepadu dan berperingkat di dalam pengajaran dan pembelajaran seperti yang telah digariskan di dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP). Oleh itu Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) adalah dokumen wajib yang harus menjadi rujukan oleh guru yang mengajar mata pelajaran ini, agar tujuan dan matlamatnya dapat dicapai.
Kandungan mata pelajaran Pendidikan Moral merangkumi pengetahuan, kemahiran dan nilai moral yang perlu diketahui oleh setiap murid. Penekanan kandungan saling berkait rapat dengan tiga domain utama moral iaitu penaakulan moral, emosi moral dan perlakuan moral. Penguasaan murid terhadap tiga domain utama ini sangat penting agar pengetahuan pelajar tentang pengetahuan, penghayatan dan pengamatan nilai dapat diaplikasikan di dalam kehidupan seharian serta di dalam apa jua situasi yang murid hadapi.
Di dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) telah menggariskan Kerangka Kurikulum Standard Sekolah Menengah atau KSSM berasaskan enam tunjang utama dan Kurikulum Pendidikan Moral digubal berteraskan enam tunjang utama Kerangka KSSM. Antara enam tunjang utama ialah Komunikasi iaitu penguasaan kemahiran berbahasa secara lisan dan bukan lisan semasa berinteraksi dalam kehidupan seharian melengkapkan diri ke alam kerjaya. Kedua ialah aspek Kerohanian, Sikap dan Nilai. Penghayatan amalan agama, sikap dan nilai murni dalam kehidupan ditekankan. Seterusnya ialah aspek Kemanusiaan juga dimasukkan agar penguasaan ilmu dan pengetahuan seiring dalam melahirkan warganegara untuk abad-21. Keterampilan Diri juga diambil kira dalam memupuk kepimpinan dan sahsiah diri melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum agar penghayatan nilai positif dapat diterapkan didalam diri murid seperti yakin dan percaya pada diri. Perkembangan Fizikal dan Estetika juga penting dalam pengaplikasian pengetahuan, kemahiran serta amalan nilai dalam jasmani dan kesihatan diri serta pengaplikasi daya imaginasi, bakat, inovasi dan lain-lain dalam menzahirkan idea dan mengahsilkan karya. Dan aspek yang terakhir bagi enam tunjang ialah Sains dan Teknologi. Penguasaan terhadap ilmu sains, matematik dan teknologi matlumat penting agar dalam melahirkan murid yang mempunyai pengetahuan terhadap kemahiran ini dan mempunyai tanggungjawab dalam kehidupan harian berlandaskan sikap dan nilai dalam sains, matematik dan teknologi. Enam tunjang ini merupakan domain utama yang menyokong antara satu sama lain. Ia juga disepadukan dengan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif. Hal ini bertujuan membangunkan modal insan iaitu murid yang menghayati nilai-nilai murni dalam pelbagai aspek seperti hal-hal keagamaan, berpengetahuan dan lain-lain.
Fokus Kurikulum Pendidikan Moral adalah untuk membentuk murid menjadi insan yang berakhlak mulia. Hal ini dapat direalisasikan dengan menerapkan tiga domain utama moral iaitu penaakulan moral, emosi moral dan perlakuan moral dalam kalangan murid. Tiga domain ini berkait di antara satu dengan yang lain. Ketiga-tiga domain ini harus dikembangkan bersama nilai universal bagi membantu murid agar dapat membuat keputusan yang rasional dalam menyelesaikan permasalahan moral. Tiga domain ini juga harus diaplikasikan bersama 18 nilai universal yang menjadi panduan dalam menhasilkan insan yang bermoral. Oleh itu, guru Pendidikan Moral harus memastikan nilai ini diterapkan, dihayati dan diamalkan dalam kalangan murid sekolah menengah. Antara nilai universal yang harus diterapkan ialah kepercayaan kepada Tuhan, baik hati, bertanggungjawab, berterima kasih, hemah tinggi, hormat, kasih sayang, keberanian, kejujuran, kerajinan, kerjasama, kesederhanaan, toleransi, berdikari, harga diri, kebebasan, patriotisme dan rasional. Guru Pendidikan Moral harus mengajar dan menyesuaikan elemen-elemen seperti mengamalkan sikap atau tingkah laku yang amanah, adil dan rasional walaupun berbeza agama, bangsa, budaya dan bahasa dengan nilai atau tajuk yang berkaitan tanpa mengubah displin ilmu dan kandungan mata pelajaran.
Kemahiran abad ke 21 juga digariskan di dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Petaksiran Pendidikan Moral. Hal ini merupakan antara satu daripada hasrat Kurikulum Standard Sekolah Menengah dalam melahirkan kemahiran abad 21 iaitu bermatlamat melahirkan murid yang mempunyai ciri-ciri seperti berdaya tahan iaitu mampu menghadapi dan kesukaran serta mengatasi cabaran dengan rasional dan bijaksana. Kemahiran berkomunikasi juga penting dalam mereka menyuarakan buah fikiran dan idea mereka dengan yakin dan kreatif menggunakan pelbagai media dan teknologi. Antara ciri-ciri lain Kemahiran Abad-21 ialah pemikir, mempunyai semangat kerja berpasukan, mempunyai sifat ingin tahu, berperinsip, mempunyai pengetahuan yang luas - bermaklumat, mempuyai sikap yang prihatin dan penyayang serta mempunyai dan mempamerkan sikap hormat dan sayang terhadap negara – patriotik.
Seterusnya KBAT atau Kemahiran Berfikir Aras Tinggi dinyatakan dalam kurikulum secara eksplisit agar guru dapat menterjemahkan semasa waktu Pengajaran dan Pembelajaran (Pdp) dilaksanakan bagi menerangkan pemikiran berstruktur dan fokus dalam kalang murid. Kemahiran berfikir aras tinggi berfokus kepada empat tahap iaitu mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta. Kemahiran ini adalah suatu keupayaan yang mendidik murid agar berupaya mengaplikasikan pengetahuan kemahiran dan nilai apabila melakukan penaakulan dan refleksi ketika menyelesaikan masalah moral, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu. Ia merangkumi kemahiran berfikir kritis iaitu kebolehan menilai sesuatu dengan logic dan rasional serta mengemukan bukti dan alasan yang kukuh, kemahiran berfikir kreatif iaitu kemampuan menghasilkan ciptaan baharu dengan menggunakan idea kretif dan daya imaginasi tanpa mengikut kelaziman, kemahiran menaakul iaitu membuat pertimbangan secara logik dan rasional dan yang terakhir strategi berfikir iaitu cara berfikir yang struktur dan berfokus dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Kemahiran ini boleh diaplikasi dalam bilik darjah melalui pelbagai aktiviti seperti pembelajaran inkuiri atau penyelesaian masalah.
Manakala Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) adalah suatu proses untuk mendapatkan maklumat terhadap perkembangan pelajar telah dirancang, dilaksanakan dan dilaporkan oleh guru yang terlibat. Ia juga adalah untuk melihat keberkesanan sesuatu topik pembelajaran. Pentaksiran ini boleh dilakukan secara sumatif atau formatif. Sumatif adalah pentaksiran yang dilaksanakan pada akhir sesuatu unit pembelajaran, penggal, semester atau tahun. Guru yang berkenaan haruslah merancang, membina item atau instrumen pentaksiran, mentadbir, memeriksa, merekod dan melapor tahap penguasaan yang diajarkan berdasarkan DSKP. Manakala formatif pula adalah penilaian secara berterusan iaitu sepanjang proses pembelajaran dan pengajaran untuk menilai keberkesanan pengajaran guru dan pembelajaran pelajar bagi setiap topik atau tajuk yang diajar.
Pelbagai kaedah yang digunakan dalam memastikan terdapat peningkatan keupayaan dan penguasaan murid dalam pentaksiran yang dijalankan. Hal ini adalah memastikan bahawa pentaksiran yang dijalankan berkesan dan mencapai objektif yang telah ditetapkan mengikut tahap. Pentaksiran yang dilaksanakan haruslah mempunyai ciri-ciri seperti berikut iaitu menggunakan pelbagai kaedah pentaksiran seperti pemerhatian, lisan dan penulisan, menggunakan pelbagai strategi pentaksiran yang boleh dilaksanakan oleh guru dan murid, mengambil kira pelbagai aras pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari, membolehkan murid mempamerkan pelbagai keupayaan pembelajaran, mentaksir tahap penguasaan murid berdasarkan Standard Pembelajaran dan Standard Prestasi serta mengambil tindakan susulan bagi tujuan pemulihan dan pengukuhan.
Antara strategi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang dicadangkan dalam Kurikulum Standard Sekolah Menengah Pendidikan Moral ialah seperti Pembelajaran Aktif, Pembelajaran Penyelesaian Masalah, Pembelajaran Khidmat Masyarakat dan Pembelajaran Berasakan Projek. Pembelajaran Aktif adalah memboleh murid agar memahami peranan dan tanggungjawab sebagai ahli yang berkesan dalam pelbagai kumpulan sosial seperti keluarga, sekolah, rakan, komuniti tempatan, agama, negara dan global. Pembelajaran jenis ini adalah melibatkan penyertaan dalam proses pembelajaran hands-on dan minds-on. Murid diberi peluang mengembangkan bakat, nilai serta mengaplikasikan modal insan secara menyeluruh.
Seterusnya Pembelajaran Penyelesaian Masalah pula adalah mengajar murid agar dapat menghadapi pelbagai cabaran untuk menyelesaikan masalah terhadap diri sendiri atau persekitaran. Secara amnya, pembelajaran penyelesaian masalah dalam Pendidikan Moral melibatkan murid sendiri terutamanya dalam mencari jawpaan kepada sesuatu permasalahan moral melalui proses inkuiri. Proses inkuiri adalah seperti berikut iaitu mengenal pasti dan menguraikan masalah, menentukan pelbagai alternatif untuk menyelesaikan masalah dengan mengambil kira fakta, pandangan dan perasaan watak yang terlibat, memilih strategi yang sesuai untuk menyelesaikan masalah seperti peta minda, menguji keputusan tentatif yang dipilih dengan mengumpul dan menilai maklumat yang relevan dengan masalah dan membuat keputusan muktamad atau mengubah suai langkah dan strategi yang telah diambil. Pembelajaran jenis ini menjadi asas kepada murid dalam memahami dan menangani perubahan yang berlaku terhadap persekitaran dan kehidupan mereka. Antara aktiviti pembelajaran penyelesaian masalah seperti debat atau perbincangan dalam kumpulan.
Manakala pembelajaran khidmat masyarakat adalah untuk menggalakkan murid menyertai secara aktif di dalam suatu projek komuniti. Melalui pembelajaran ini, murid dapat mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam menyelesaikan masalah sosial yang berlaku di sekolah, komuniti, negara mahupun global. Ia juga menanam sikap bertanggungjawab dalam diri murid dan juga sikap kepimpinan semasa bersama dengan komuniti. Melalui pembelajaran ini juga murid dapat mempelajari secara aktif dan interaktif bagaimana menjadi individu bertanggungajawab dan menyumbang kearah kesejahteraan masyarakat.
2.0 PENAAKULAN MORAL, EMOSI MORAL DAN PERLAKUAN MORAL
Menurut Rochmadi (2001), pendidikan merupakan proses perubahan tingkah laku yang bertujuan agar seseorang boleh berfikir, merasakan dan bertindak. Fokus utama subjek Pendidikan Moral diperkenalkan adalah untuk melahirkan insan yang seimbang dan berakhlak mulia seperti yang jelas dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Hal ini dapat dicapai melalui penerapan nilai tiga domain moral iaitu penaakulan moral, emosi moral dan perlakuan moral. Nilai-nilai ini yang akan membentuk cara seseorang individu itu bertingkahlaku, berfikir dan bertindak sehingga mencorakkan kebudayaan atau norma sesebuah masyarakat. Penaakulan moral menurut Rahman Aroff dan Chang Lee Hoon (1994) ialah merujuk kepada suatu sistem perlakuan yang berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang dianggap benar, baik dan patut dilakukan. Menurut Gibbs, Basinger dan Fuller (1992), penaakulan moral turut didefinisikan sebagai sebab-sebab atau justifikasi yang dipegang oleh seseorang individu untuk menghasilkan sesuatu keputusan moral. Pandangan Berkowitz (1964) menyatakan bahawa penaakulan moral ini merujuk kepada kelakuan yang melibatkan pertimbangan atau penaakulan yang mematuhi norma sosial yang ditetapkan sebagai tingkah laku yang betul. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan penaakulan moral itu merupakan sesuatu prinsip yang dipegang oleh individu yang akan mempengaruhi tindakan dan keputusan moral individu tersebut. Penaakulan moral ini dapat dibuktikan dengan tingkah laku yang sehaluan dengan keputusan moral yang diambil oleh individu tersebut.
Seterusnya, emosi moral pula merujuk kepada sesuatu hal yang akan mendorong dan memotivasikan murid untuk membuat perlakuan moral. Emosi moral ini amat penting dalam mengawal perlakuan dan menghalang seseorang individu membuat sesuatu perkara yang bertentangan dengan moral. Emosi moral ini juga penting dalam membantu menerapkan nilai sentiment perikemanusiaan dalam diri murid agar mereka menjadi penyayang dan bersikap belas kasihan. Perlakuan moral pula merujuk kepada tindakan dan tingkah laku seseorang hasil daripada sesuatu keputusan yang telah dibuat dengan penuh tanggungjawab oleh penaakulan yang bebas dan rasional. Perlakuan moral ini juga dapat dikaitkan dengan segala perlakuan yang dilakukan oleh individu berdasarkan nilai-nilai dan norma masyarakat. Tingkah laku yang dimaksudkan adalah tindakan yang penuh bertanggungjawab mengikut kemampuan diri terhadap sesuatu keputusan berlandaskan penaakulan dan emosi moral.
Akhir sekali, domain moral ini akan mendorong seseorang murid untuk membuat pertimbangan moral yang sesuai, tepat dan konsisten. Pertimbangan moral ini merupakan aspek utama dalam pembentukan moral yang membolehkan murid mengambil sesuatu tindakan berasaskan kepada peraturan atau nilai universal. Ketiga-ketiga nilai domain moral ini amat penting dalam memastikan pertimbangan moral seseorang individu itu bermoral atau tidak. Hal ini terjadi demikian kerana ketiga-tiga domain moral tersebut iaitu penaakulan moral, emosi moral dan perlakuan moral adalah berkait rapat antara satu sama lain dalam membentuk insan yang berakhlak mulia.
3.0 PERKAITAN DOMAIN MORAL DENGAN KANDUNGAN DOKUMEN STANDARD KURIKULUM DAN PENTAKSIRAN (DSKP) PENDIDIKAN MORAL DALAM MELAHIRKAN INSAN YANG BERAKHLAK MULIA
Matlamat kurikulum Pendidikan Moral adalah membentuk insan berakhlak mulia dan berintegriti yang berpegang kepada nilai universak berasaskan prinsip moral dan menyumbang ke arah perpaduan dan kesejahteraan negara serta masyarakat global. Ketiga-tiga domain moral yang terkandung dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Pendidikan Moral tersebut akan dikembangkan bersama dengan penerapan nilai-nilai universal untuk membantu murid membuat keputusan yang rasional dalam menyelesaikan permasalahan dan dilemma moral yang berlaku. Hal ini terjadi demikian kerana ketiga-tiga domain moral tersebut hendaklah diaplikasikan bersama 18 nilai universal yang menjadi pemangkin dalam mendidik dan menghasilkan insan yang berakhlak mulia. Nilai universal yang dimaksudkan adalah nilai-nilai murni yang diterima oleh masyarakat Malaysia dan menepati anutan agama atau kepercayaan masyarakat Malaysia. Antara nilai universal yang perlu diterapkan dalam diri setiap individu dalam membentuk insan yang berakhlak mulia ialah kepercayaan kepada Tuhan, bertanggungjawab, berdikari, harga diri, kerajinan, berterima kasih, patriotism, kebebasan, keberanian, kejujuran, rasional, baik hati, hemah tinggi, hormat, kasih sayang, kerjasama, kesederhanaan dan toleransi. Hubungan antara tiga domain moral dan DSKP dapat dilihat dalam bidang-bidang yang diperkenalkan dalam melahirkan insan yang berkahlak mulia. Bidang-bidang yang dimaksudkan ada 7 bahagian iaitu bidang Pengenalan Moral, bidang Diri, Keluarga dan Persahabatan, bidang Hubungan antara Diri, Komuniti dan Mayarakat, bidang Moral, Peraturan dan Undang-undang, bidang Insan Bermoral, bidang Jati Diri Moral dan akhir sekali bidang Moral dan Kenegaraan.
Perkaitan antara bidang-bidang ini dengan tiga domain moral tersebut adalah dari aspek standard kandungan pembelajaran tersebut. Bidang Pengenalan Moral membincangkan mengenai asas tentang konsep moral tersebut. Standard kandungan yang terdapat dalam bidang ini merangkumi ketiga-tiga domain moral. Sebagai contoh, para pelajar akan membanding bezakan perlakuan baik, benar dan patut. Hal ini termasuk dalam penaakulan moral iaitu memikirkan sesuatu perlakuan itu bermoral atau tidak dan mampu membezakan perlakuan yang baik dengan yang tidak baik. Para pelajar juga akan menceritakan perasaan mereka apabila melakukan suatu perbuatan yang bermoral atau baik. Hal ini akan secara tidak langsung memotivasikan mereka untuk terus melakukan perkara yang bermoral dan hal ini selaras dengan domain moral yang kedua iaitu emosi moral. Para pelajar juga akan mengenal pasti keperluan membuat pilihan bermoral. Hal ini kerana pilihan bermoral akan mempengaruhi tindakan atau perlakuan seseorang individu. Pilihan bermoral yang dilakukan ini hendaklah berdasarkan tiga domain moral yang dipelajari pada awal pembelajaran. Oleh hal yang demikian, bidang Pengenalan Moral merupakan salah satu bidang yang mengaitkan ketiga-ketiga domain moral dalam membentuk insan yang berakhlak mulia.
Seterusnya, bidang Diri, Keluarga dan Persahabatan juga mempunyai hubungan dengan tiga domain moral dalam melahirkan insan yang berakhlak mulia. Hal ini dikatakan demikian kerana bidang ini memfokuskan bagaimana nilai agama atau kepercayaan itu mampu membentuk jati diri moral individu dan sifat bertanggungjawab serta menghargai keluarga dan persahabatan. Hal ini dapat dilihat dalam standard kandungan iaitu mengenali potensi diri. Murid yang dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan dirinya sendiri mampu membuat pertimbangan moral yang lebih baik. Hal ini dikatakan demikian kerana murid tersebut akan lebih memahami dirinya sendiri dan akan bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukannya disamping bertindak secara rasional ketika melakukan sesuatu tindakan. Nilai agama juga mampu mendorong melahirkan insan yang berakhlak mulia. Hal ini berkait rapat dengan pegangan dan kepercayaan seseorang yang akan mempengaruhi penaakulan moralnya apabila membuat sesuatu pertimbangan moral. Sebagai contoh, seseorang individu itu akan memikirkan akibat baik dan buruk sesuatu tindakannya berdasarkan pegangan agama dan rasional pemikirannya. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa nilai agama atau kepercayaaan itu mempengaruhi dalam tiga domain moral tersebut dan membantu melahirkan insan yang berakhlak mulia sejajar dengan matlamat kurikulum Pendidikan Moral.
Bidang insan bermoral juga mempunyai hubungan dalam melahirkan insan yang berakhlak mulia melalui penerapan tiga domain moral yang terdapat dalam kurikulum Pendidikan Moral. Bidang insan bermoral ini membincangkan mengenai bagaimana isnsan yang bermoral itu mampu menjadi suri teladan dalam masyarakat dan membincangnkan mengenai individu yang bersifat glokal. Kandungan pembelajaran dalam bidang ini mengaitkan ketiga-tiga domain moral tersebut dalam melahirkan individu yang berakhlak mulia. Hal ini dapat dilihat dalam standard kandungan padat tingkatan empat iaitu individu berkeperibadian mulia. Kandungan ini menyenaraikan ciri individu yang berkeperibadian mulia. Hal ini secara tidak langsung membantu para pelajar untuk lebih memahami bagaimana untuk menjadi insan yang berakhlak mulia. Para pelajar akan terdorong untuk melakukan kebaikan apabila mereka lebih memahami bagaimana untuk mempunyai keperibadian mulia. Hal ini akan mempengaruhi penaakulan moral dan emosi moral yang akhirnya akan ditunjukkan melalui tindakan moral yang dilakukan oleh seseorang individu tersebut. Oleh hal yang demikian, usaha dan matlamat kurikulum Pendidikan Moral akan tercapai dengan jayanya.
Akhir sekali, perhubungan tiga domain moral dan kandungan DSKP dapat dikaitkan dengan bidang jati diri moral. Hal ini dikatakan demikian kerana bidang ini membincangkan serba sedikit bagaimana agama, bangsa dan budaya itu boleh menjadi lambang ketinggian peribadi seseorang serta bagaimana integrasi menjadi asas dalam pembentukan jati diri moral individu. Agama, bangsa dan budaya menjadi teras dalam dalam melambangkan peribadi individu dan jati diri bangsa. Hal ini mempunyai perkaitan dengan ketiga-tiga domain moral iaitu penaakulan moral, emosi moral dan perlakuan moral. Hal ini dikatakan demikian kerana agama, bangsa dan budaya akan mempengaruhi penaakulan moral dan emosi moral yang seterusnya akan memberi kesan terhadap perlakuan moral seseorang. Hal ini berkait rapat dengan rasional dan nilai-nilai yang terdapat dalam agama, bangsa dan budaya. Sebagai contoh, seseorang akan membuat sesuatu tindakan berdasarkan pegangan dan rasional dari budaya yang telah diterap dalam dirinya. Misalnya, menghormati dan beradab dengan orang yang lebih tua. Perkara-perkara ini akan membentuk keperibadian seseorang pelajar untuk menjadi insan yang berakhlak mulia. Oleh hal yang demikian, kandungan DSKP mempunyai hubungan yang berkait dengan ketiga-tiga domain moral dalam melahirkan individu yang berakhlak mulia.
PENUTUP
Kesimpulannya, subjek Pendidikan Moral ini merupakan subjek yang menekankan pembinaan karakter seseorang individu. Pendidikan Moral ini juga membantu dalam menerapkan nilai-nilai dalam diri pelajar berdasarkan nilai universal yang dipelajari. Nilai universal yang dinyatakan ini adalah nilai yang diterima pakai oleh semua golongan tidak mengira agama, bangsa, ras dan kepercayaan. Antara nilai universal yang terdapat dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Pendidikan Moral adalah bertanggungjawab, harga diri, hormat, baik hati, kerajinan dan sebagainya. Fokus utama Pendidikan Moral ini diperkenalkan di Malaysia adalah untuk membentuk insan yang berakhlak mulia. Hal ini selaras dengan Falasafah Pendidikan Kebangsaan yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu “Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan kearah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara”.
Penerapan nilai-nilai universal ke dalam diri para pelajar akan diselarikan dengan tiga domain moral yang terdapat dalam kandungan DSKP tersebut iaitu penaakulan moral, emosi moral dan perlakuan moral yang akan membantu dalam melahirkan insan yang berakhlak mulia. Domain moral ini akan mempengaruhi pertimbangan moral seseorang individu dalam melakukan sesuatu tindakan yang berasaskan dengan nilai universal. Kandungan DSKP dalam Pendidikan Moral ini juga bermatlamat untuk melahirkan insan yang seimbang, berfikiran kritis, kreatif dan berinovatif. Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) turut ditekankan dalam Pendidikan Moral. Hal ini terjadi demikian kerana salah satu matlamat pendidikan adalah untuk melahirkan dan mendidik generasi muda untuk merangsang pemikiran dalam kalangan para pelajar sejajar dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Oleh hal yang demikian, Pendidikan Moral merupakan salah satu subjek yang membantu dalam membentuk karakter seseorang melalui penerapan nilai-nilai kedalam diri yang diiringi dengan tiga domain moral.
RUJUKAN
Azrina Jonit. Keperluan dalam Pendidikan Moral untuk Menghadapi Cabaran Era Pasca Modenisme. Diperoleh daripada
http://repo.uum.edu.my/1793/1/5.pdf
Kalaiselvi Ettikan, Nur Surayyah Madhubala Abdullah, & Umi Kalthom Abdul Manaf. (2015). Guru Cemerlang Pendidikan Moral: Keperluan Menguasai Aspek Kandungan dalam Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Moral dan Implikasinya. International Journal of Education and Training, 1(2), 1-8. Diperoleh daripada
Kementerian Pendidikan Malaysia. Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Diperoleh daripada
https://www.moe.gov.my/index.php/dasarmenu/falsafah-pendidikan-kebangsaan
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2015). Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Tingkatan 1. Diperoleh daripada
https://drive.google.com/file/d/0B7Nqkj9J60ucWjZ0bmJsM19jcmc/view
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2016). Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Tingkatan 2. Diperoleh daripada
https://drive.google.com/file/d/1TVHWkptFz4g1w_IDkNoi2mejQhRkM_sp/view
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2017). Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Tingkatan 3. Diperoleh daripada
https://drive.google.com/file/d/1TVHWkptFz4g1w_IDkNoi2mejQhRkM_sp/view
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2018). Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Tingkatan 4 dan 5. Diperoleh daripada
https://drive.google.com/file/d/19RckXMCAwHl4NlVnvcepHJNK2Z5V-TWw/view
Norzihani
Saharuddin dan Nur Surayyah Madhubala. Penaakulan Moral: Kepentingan Terhadap
Calon Guru Pendidikan Moral. Diperoleh daripada
http://www.fp.utm.my/ePusatSumber/listseminar/medc2012/pdf/115.pdf
Yuli Srimulyani. Pendidikan Budi Pekerti dalam Membentuk Moral Anak. Diperoleh daripada
http://jurnalonline.um.ac.id/data/artikel/artikel62A0930BBE668C41D9D2AFC00F4AD313.pdf
Zaharah Hussin, Saedah Siraj, Zai Hazreen Ab Malik, Mohd Ridhuan Mohd Jamil, Ahmad Arifin Sapar, & Nurulrabihah Mat Noh. (n.d.). Pembangunan akhlak dan moral ke arah masyarakat lestari. Jurnal Al-hikmah, 7(2), 72-87. Diperolehi daripada
http://journalarticle.ukm.my/9388/1/142-628-1-PB.pdf
No comments:
Post a Comment