SOALAN 8:
SEKIRANYA ANDA ADALAH PEMIMPIN
NEGARA,
NYATAKAN EMPAT LANGKAH YANG AKAN
ANDA AMBIL UNTUK MEMASTIKAN
NEGARA BERADA DALAM KEADAAN AMAN
DAN STABIL
|
NAMA PELAJAR
|
NO. MATRIK
|
|
VERONICA ANAK ARUN
|
D20171078700
|
|
ANIS FARHANA BINTI ABD BIDIN
|
D20171078704
|
1.0 PENGENALAN
Dalam
proses kehidupan sosial, kepimpinan adalah penting dan sentiasa mendapat
keutamaan manusia. Selaras dengan percaturan dunia hari ini, keberkesanan
kepimpinan negara begitu ditekankan. Kepimpinan merangkumi keseluruhan bidang
kehidupan sehinggalah kejayaan dan kemajuan sesebuah bangsa seringkali diwarnai
oleh besar dan pentingnya kesan kepimpinan. Lazimnya,
kepimpinan ditakrif dalam konteks hubungan kuasa antara pemimpin dengan
pengikut. Pemimpin dianggap berkuasa, sekaligus berkeupayaan membawa perubahan
terhadap para pengikutnya. Pemimpin yang berfikiran hebat, berjiwa besar,
berpandangan jauh dan berani melakukan perubahan akan berjaya membentuk sebuah
bangsa dan tamadun yang hebat serta terjaganya nilai-nilai sosial kebudayaan
masyarakatnya.
Lantaran itu, pemimpin diberi kepercayaan dan kekuasaan untuk melaksanakan
tanggungjawabnya kerana pemimpin dianggap sebagai wira budaya. Bagi
pandangan Northouse (2007) pula, kepimpinan ditakrifkan sebagai, "A process whereby an individual
influences a group of individuals to achieve a common goal". Tambah
Northouse (2007) lagi, kepimpinan wujud dalam dua bentuk iaitu kepimpinan tret
dan kepimpinan proses. Kepimpinan tret merujuk kepada kalimat "he/she is a natural leader" dan
"born to be a leader".
Kepimpinan tret menyifatkan seseorang memiliki keistimewaan atau perwatakan
atau kualiti yang melayakkannya menjadi pemimpin. Sementara itu, kepimpinan
proses pula menekankan interaksi di antara pemimpin dengan pengikut yang mana
seseorang diasah bakat dan kemahiran kepimpinannya menerusi pendidikan proses
sosialisasi.
Selain itu, menurut Thoha (2004), beliau menyatakan bahawa sama ada berjaya
atau gagal sesebuah organisasi sebahagian besarnya ditentukan oleh faktor
kepimpinan. Pentingnya kepimpinan menjadikan sseorang pemimpin selalu menjadi
tumpuan penilaian sebagai punca kejayaan atau kegagalan sesebuah organisasi. Oleh itu, seseorang pemimpin itu haruslah memastikan keamanan dan kestabilan
negara terus berkekalan dengan mengamalkan sifat mengutamakan kebajikan rakyat,
membuat hubungan diplomasi, mengamalkan dasar berkecuali, bersikap tegas dan
menunjukkan nilai yang baik dan mengutamakan perpaduan.
2.0 PERBINCANGAN
Kejayaan
ataupun kegagalan sesebuah negara adalah bergantung kepada pencapaian
kepimpinannya dan oleh itu saya berpendapat untuk menjadi seorang pemimpin yang
baik, ia haruslah lebih mengutamakan kebajikan rakyatnya. Kebajikan rakyat
haruslah menjadi dasar sesebuah kerajaan yang ditadbir supaya kebajikan
penduduk sentiasa dijaga untuk memastikan semua rakyat tanpa mengira kaum dapat
hidup dalam suasana aman, damai, sihat dan seimbang. Selain itu, pemimpin yang
berkualiti mesti mempunyai sumbangan yang memberi manfaat kepada rakyat. Dengan
menyumbang kepada rakyat, seorang pemimpin itu akan diingati dan dikagumi
kerana kewibawaan yang ditunjukkan oleh pemimpin tersebut. Hal ini selari
dengan pandangan Rothwell (2010) dan DuBrin (2013) yang menekankan supaya
pemimpin yang dilantik adalah pemimpin yang dapat memberi sumbangan dan menjaga
kebajikan rakyatnya. Pemimpin yang berbakat ini boleh dijadikan sebagai modal
intelektual. Justeru, pemimpin harus dapat memberi sumbangan yang bermanfaat untuk
kecemerlangan rakyatnya.
Perkara
ini dapat dilihat di dalam jurnal yang bertajuk “Berkhidmat untuk Negara Tun
Hussein Onn Legasi Pola Kepimpinan dan Kepengurusannya kepada Bangsa dan
Negara” yang mana semasa pemerintahan perdana menteri Malaysia yang ketiga
iaitu Tun Hussein Onn, beliau mempunyai trademark kepimpinan iaitu ketegasannya
dalam memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Untuk memerangi kegiatan
rasuah beliau telah memberikan sepenuh kebebasan kepada Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat sesiapa sahaja yang disyaki rnelakukan
kesalahan ini, dan mereka yang bersalah tidak akan diberikan perlindungan
politik. Beliau
percaya kepada undang-undang dan mahkamah untuk memberi keadilan dan menjauhkan
gangguan politik terhadap proses undang-undang. Hal ini amat jelas dalam tindak
tanduknya yang memerangi rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa. Sikap
yang ditonjolkan oleh Tun Hussein Onn ini menunjukkan beliau sentiasa cakna
dengan kebajikan masyarakat dibawahnya agar tiada pihak yang menindas dan
ditindas.
Selain
itu, kebajikan masyarakat terus dipertingkatkan apabila beliau mengambil alih
kepimpinan kerajaan dan parti dari Tun Razak dengan memperkenalkan suatu
pembaharuan iaitu melancarkan tabung Amanah Saham Nasional (ASN) pada 20 April
1981. Pelancaran Amanah Saham Nasional adalah bertujuan untuk menggalakkan orang
Melayu-Bumiputera menabung dengan cara membeli saham dan pelancaran ini
mendapat sambutan yang luar biasa. Ratusan juta modal Melayu-Bumiputera dapat
dikumpulkan melalui skim ini yang kemudiannya diperluaskan dengan pengenalan
satu lagi tabung amanah iaitu tabung Amanah Saham Bumiputera. Kedua-dua tabung
ini telah membantu meningkatkan peratus pemilikan saham oleh bumiputera dalam
syarikat-syarikat perniagaan swasta.
Kebajikan
rakyat terus menjadi keutamaan pemimpin untuk mengekalkan keamanan dan
kestabilan negara bukan sahaja sewaktu pemerintahan Tun Hussein Onn malahan dapat
dilihat melalui pemerintahan Tun Dr. Mahathir yang sering membangkitkan
keperluan hak sama rata bagi semua kaum dari segi sosial, ekonomi dan politik.
Hal ini dikaitkan dengan penduduk Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum.
Oleh sebab itu, dasar-dasar seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar
Pembangunan Nasional (DPN) diperlukan bagi pembasmian kemiskinan dan penyusunan
semula masyarakat yang bertujuan untuk memperbaiki ketidakseimbangan sosial dan
ekonomi antara kaum. Hal ini seterusnya akan menyumbang ke arah mengukuhkan perpaduan negara.
Akibatnya, ia dapat mengurangkan ketidak seimbangan ekonomi di antara golongan
kaya dengan miskin dan juga di kalangan etnik. Ketidakseimbangan ekonomi ini
akan dapat dikurangkan berasaskan prinsip pembangunan seimbang dan pengagihan
kekayaan negara yang saksama untuk mencapai keadilan sosial dan seterusnya
memperkukuhkan perpaduan negara. Ini menunjukkan penggabungan keseimbangan kaum
dengan pertumbuhan ekonomi mampu membawa negara ke arah kestabilan politik dan
wujudnya satu jalinan hubungan yang harmonis antara golongan-golongan kaum yang
terdapat di Malaysia.
Kebajikan
rakyat juga turut diberi perhatian oleh Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dan ini
dapat dibuktikan melalui jurnal “Dasar Kepimpinan Najib: Model Transformasi Ke
Arah Kesejahteraan Global”. Beliau bertekad untuk membanteras kemiskinan tegar
menjelang 31 Disember 2010 sesuai dengan matlamat Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9). Mengikut rekod sistem e-kasih, terdapat hampir 45,000 Ketua Isi Rumah (KIR)
miskin tegar di seluruh negara. Daripada jumlah itu, lebih 11,000 telah
disahkan statusnya dan telah pun mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Manakala pengesahan status lebih 14,000 KIR di Sabah dan Sarawak sedang giat
dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan
dijangka selesai pada penghujung tahun 2010. Bersesuaian itu kerajaan berhasrat untuk
melatih dan melahirkan lebih ramai jumlah usahawan wanita. Sehingga Jun 2009
sahaja, seramai 717 wanita yang berpotensi untuk dibimbing menjadi usahawan
dalam program Sahabat Amanah Ikhtiar telah dikenal pasti. Justeru, kerajaan
dengan ini menetapkan matlamat untuk menambah lagi jumlah usahawan di kalangan
wanita ini kepada seramai 4,000 orang menjelang tahun 2012 melalui program
Amanah Ikhtiar Malaysia. Oleh
itu, jelaslah bahawa soal menjaga kebajikan rakyat sangat diberi perhatian oleh
Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, selain program tersusun untuk menaikkan taraf
ekonomi masyarakat program bantuan rakyat 1 Malaysia telahpun dilaksanakan.
Seterusnya,
hubungan diplomasi antara sesebuah negara dengan negara luar juga amat penting
bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan sesebuah negara. Hal ini demikian
kerana hubungan diplomasi secara amnya merujuk kepada satu hubungan atau
rundingan antara negara-negara. Menurut John R. Wood dan Jean Serres, mereka
berpendapat bahawasanya diplomasi adalah seni dalam menyelesaikan masalah
antarabangsa dengan aman, ia juga merupakan satu teknik bagi membolehkan
pembangunan dalam sesebuah wilayah di bangunkan dalam keadaan yang harmoni
menerusi jalinan antarabangsa. Oleh
sebab itu, jika saya menjadi pemimpin negara saya akan mengorak langkah ke
hadapan dengan menekankan kepada hubungan diplomasi dan mengamalkan dasar luar
yang lebih proaktif dan dinamik. Saya akan meneruskan dasar luar yang kukuh
yang membantu mewujudkan ekonomi yang mantap, dinamik dan mudah pulih.
Di
samping itu, saya juga akan menekankan kepentingan dalam menjalinkan hubungan
dua hala (diplomasi dua hala) dengan negara-negara yang merupakan negara ‘trading partner’ dengan Malaysia, terutamanya
dalam bidang ekonomi, seperti China, Jepun, Singapura, Amerika Syarikat dan
sebagainya. Hubungan dua hala (bilateral
relations) atau dikenali juga sebagai diplomasi dua hala (bilateral diplomacy) ialah hubungan
atau diplomasi yang dilakukan secara dua hala atau antara dua buah negara
sahaja. Ia merupakan jenis hubungan atau diplomasi yang paling lama dilaksanakan sejak
adanya konsep negara-bangsa dan interaksi antara negara-negara ini. Diplomasi
jenis ini dikatakan lebih efektif dan telus kerana hanya dua negara yang
terlibat membincangkan isu yang hanya ada kena mengena di antara kedua-duanya.
Ia juga dikatakan lebih efektif kerana kurangnya kerenah dan halangan yang
boleh membantutkan usaha-usaha ke arah persepakatan dan kerjasama. Diplomasi
jenis ini lebih mudah diuruskan kerana ianya melibatkan dua buah negara sahaja
dan segala permasalahan dapat diselesaikan secara perundingan atau perbincangan
bersama sekiranya kedua-dua negara berada dalam situasi hubungan yang baik.
Namun begitu, diplomasi dua hala ini sukar dilaksanakan dalam situasi tegang,
iaitu ketika wujudnya ketidaksefahaman di antara kedua-dua negara. Oleh itu,
mereka memerlukan pihak ketiga atau pihak luar untuk menjadi mediator (pemudahcara) bagi membantu
menyelesaikan permasalahan tersebut.
Untuk
menyokong langkah ini dapat dilihat dalam jurnal “Dasar Luar Malaysia Era Dato’
Seri Mohd Najib Tun Razak: Keutamaan Dalam Aspek Hubungan Dua Hala” bagaimana
cara pemimpin terdahulu melaksanakan hubungan diplomasi yang menyatakan tentang
evolusi dasar luar Malaysia dalam kalangan perdana menteri Malaysia yang lalu.
Contohnya, dalam zaman Tunku Abdul Rahman dari 1957–1969, dasar luar Malaysia
berada di tahap pengasasan dan pengembangan, di mana ianya didorong ke arah
kelangsungan hidup negara yang baru merdeka.
Dasar luar negara kita pada waktu itu ternyata bersifat antikomunis dan
pro-Barat dengan hubungan yang rapat dengan negara-negara Komanwel. Pendekatan
ini juga bersumberkan pengaruh keperibadian Tunku yang begitu pro-Barat dan
antikomunis, selain situasi dan kondisi politik domestik yang kurang stabil
ketika itu.
Malaysia juga menentang kuat dasar Aparteid dan pendirian Malaysia tentang
kerjasama serantau juga mula bertapak dengan kemunculan Association of Southeast Asia (ASA) 1960, Malaysia, the Philippines, and Indonesia (MAPHILINDO) 1963 dan Association of South East Asian Nations
(ASEAN) 1967.
Oleh
itu, sewaktu tempoh penggabungan di bawah pemerintahan Tun Hussein Onn
(1976–1981), ASEAN telah menjadi asas dalam dasar luar negara Malaysia ekoran
daripada kejatuhan Saigon (kini Bandar Ho Chi Minh) pada tahun 1975, pengunduran
Tentera AS dari Asia Tenggara dan pencerobohan Kampuchea (kini Kemboja) oleh
Vietnam. Sidang kemuncak ASEAN yang pertama diadakan dan Malaysia telah menandatangani
Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Bali pada tahun 1976.
Penekanan yang lebih tegas turut dibuat ke atas kebebasan, kekecualian dan
kedudukan yang sama dengan kuasa utama dunia. Dalam tempoh ini, beliau lebih
banyak mengekalkan dan meneruskan dasar yang telah diasaskan oleh pemimpin
sebelumnya. Dasar luar Malaysia dalam tempoh ini menunjukkan era pengukuhan, di
mana kita tidak memihak kepada mana-mana negara. Hal ini bertepatan dengan
lingkungan global ketika itu yang sedang bergerak ke arah pengenduran hubungan
tegang di antara negara-negara yang sedang berkonflik.
Selepas
itu, sewaktu pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi pula, beliau telah membuat
diplomasi dengan meletakkan kerjasama serantau ASEAN dan integrasi Asia Timur
sebagai prioriti utama penglibatan dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Non-Aligned Movement (NAM) dan Kerjasama
Selatan-Selatan, menyokong dasar multilateralisme di peringkat global
berdasarkan mandat yang diberikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),
merapatkan hubungan dengan kuasa-kuasa besar dan kerjasama strategik dengan
Amerika dalam menentang keganasan dan kerjasama dengan negara-negara pesisir di
Laut China Selatan dalam menangani masalah perlanunan dan penglibatan kuasa
luar. Perkara ini dapat kita lihat dalam jurnal “Pengaruh Kepimpinan dalam Dasar Luar
Malaysia”.
Manakala
Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak telah mewujudkan hubungan dua hala yang mesra
dengan negara jiran. Pendekatan yang membina diambil untuk menyelesaikan
masalah yang masih belum terlerai termasuklah yang berkaitan dengan tuntutan
bertindih dan penetapan sempadan tanah dan maritim. Setiap usaha diplomatik
dilaksanakan untuk memastikan hubungan dua hala dengan semua negara jiran tidak
terjejas akibat masalah tersebut. Persetujuan untuk merujuk kepada International Court of Justice (ICJ)
berkaitan tuntutan pertindahan wilayah menunjukkan sejauh mana kita bersedia
untuk mencari penyelesaian bagi masalah dua hala. Perkara ini telah membuktikan bahawa membuat hubungan diplomasi antara
negara-negara sangat penting untuk memastikan keamanan dan kestabilan sesebuah
negara.
Langkah
yang akan dibuat seterusnya ialah mengamalkan dasar berkecuali bagi mempertahankan
kemerdekaan, kedaulatan dan keselamatan Malaysia seterusnya mempertahankan
prinsip menghormati kemerdekaan dan kedaulatan sesebuah wilayah melalui dasar
tidak campur tangan dalam hal ehwal dan masalah dalaman negara lain. Tambahan
lagi, objektif seterusnya adalah untuk menangani perkembangan dan cabaran
politik, ekonomi, keselamatan dan sosial di pentas dunia. Dasar ini juga dapat
memupuk hubungan baik serta dapat mengeratkan kerjasama dengan negara-negara
lain. Selain itu, pendirian serta kepentingan negara-negara membangun dapat
dipertahankan di peringkat antarabangsa.
Misalnya
semasa era pemerintahan Perdana Menteri Kedua Malaysia dari tahun 1970–1976, di
bawah kepimpinan Tun Abdul Razak memperlihatkan keupayaan mendalam beliau
mengendalikan hubungan luar Malaysia mengikut arus perubahan. Malaysia telah
menganggotai OIC dan mula mengenalkan dirinya sebagai sebuah “Negara Islam”. Beliau telah merintis usaha ke arah
peneutralan dasar luar Malaysia dengan menjalinkan hubungan diplomatik dengan
hampir semua negara tanpa mengira ideologi. Pencarian negara rakan baru secara
besar-besaran meningkatkan kepentingan Negara-negara Berkecuali (Non-Alignment Movement) kepada
Malaysia. Malaysia dikenali sebagai negara berkecuali dan terdorong ke arah
kekecualian, kewujudan bersama secara harmoni dan kebebasan. Negara juga mula
menjauhkan diri daripada kuasa utama dunia, menekankan semangat serantau dan
membina hubungan diplomatik dengan negara komunis. Pelaburan daripada negara lain
selain British juga mula dialu-alukan. Tun Abdul Razak juga telah mengadakan
penyelarasan dalam aspek politik, ekonomi, dan dasar pertahanan bagi memenuhi
tuntutan strategik negara.
Hal
ini kerana sejarah Pergerakan Berkecuali sebagai satu aktor antarabangsa
bermula pada akhir tahun 1950-an. Ketika itu Perang Dingin antara dua kuasa
utama dunia sedang memuncak. Dunia terbelah kepada dua blok yang berasingan
antara satu sama lain yang boleh menuju kepada konflik jika tidak dikawal.
Setiap negara masing-masing mengambil pendirian untuk memihak kepada salah satu
dari blok itu. Menyedari akan bahaya kemusnahan umat manusia, para pemimpin
dunia ketiga telah mengamalkan dasar luar yang tidak memihak kepada mana-mana
kuasa tersebut. Idea ini mula ditimbulkan dalam sidang Afro-Asia di Bandung
pada tahun 1955 yang dilanjutkan dalam beberapa persidangan selepas itu. Di
bawah kepimpinan Tun Abdul Razak, Malaysia telah berusaha memajukan cadangan Zone of Peace, Freedom and Neutrality (ZOPFAN).
ZOPFAN ialah usaha-usaha ingin menjadikan Asia Tenggara suatu zon yang aman,
bebas dan berkecuali daripada pengaruh luar. Beliau menjelaskan bahawa ia
adalah paling sesuai bagi memelihara kestabilan di rantau ini.
Seterusnya,
jika saya dilantik sebagai pemimpin negara, sikap pemimpin yang tegas dan menunjukkan
nilai yang baik akan saya terapkan dalam kepimpinan. Pemimpin yang tegas tetapi
bertimbang rasa adalah seorang pemimpin yang menyatakan pendiriannya dengan
jelas setelah mempertimbangkan sifat kemanusiaan. Sungguhpun begitu, pemimpin
tidak boleh juga bersikap terlalu lembut kerana orang bawahannya akan mengambil
kesempatan terhadap pemimpin. Pemimpin perlu tegas bagi mencapai sesuatu
matlamat dan orang bawahannya perlu dijelaskan mengenai matlamat tersebut. Dapatan
ini selari dengan kenyataan Bush (2008) yang menyatakan perlunya pemimpin
bersifat tegas supaya dapat mempengaruhi orang lain yang seterusnya akan
merangsang dan membolehkan orang lain menyumbang kepada keberkesanan dan
kejayaan organisasi.
Perkara
ini dapat dilihat dalam sifat kepimpinan Tun Dr Mahathir yang penuh berdisiplin
dan tegas, kerana telah terdidik sejak dari kecil lagi. Proses sosialisasi di
dalam keluarga inilah yang menunjangi keperibadian beliau yang turut terserlah
di dalam pentadbirannya. Disiplin dirinya yang mendasari kemajuan yang dikecapi
oleh negara hari ini mengikut acuan sendiri dan nilai ini cuba diterapkan ke
dalam rakyat yang dianggap mesti memiliki sikap berdisiplin untuk membangunkan
negara. Atas kepercayaan inilah dalam era pemerintahan beliau, Dr. Mahathir
telah memperkenalkan beberapa dasar yang berasaskan dua bentuk dasar utama
iaitu yang pertama ialah dasar-dasar ekonomi dan pembangunan negara serta yang
kedua pula ialah dasar-dasar sosial dan etika dalam usaha membentuk mutu dan
kualiti rakyat serta warga pekerja untuk sama-sama berusaha ke arah kemajuan dan
pembangunan negara keseluruhannya. Perkara ini telah dibuktikan dalam jurnal “Falsafah Pemikiran Politik Dr.
Mahathir Mohamad”.
Di
samping itu, Tun Dr. Mahathir juga cuba menekankan atau memperkenalkan
nilai-nilai Asia kepada dunia, beliau menganggap bahawa masyarakat Asia
menekankan kepentingan norma bermasyarakat dan keluarga. Dalam menggerakkan
masyarakat yang membangun seperti Malaysia, hak-hak individu tidak sekali-kali
mengatasi hak-hak masyarakat dan sentiasa diberikan keutamaan sekaligus mengatasi
hak-hak individu. Kepentingan kepada nilai, budaya dan etika masyarakat sering
ditekankan dalam hampir sebahagian besar karya-karya dan ucapan-ucapan beliau.
Untuk mengubah sesuatu masyarakat maka nilai, budaya, dan etika masyarakat itu
perlulah diubah supaya ia sesuai dengan keperluan semasa yang dilihat sebagai
intisari kepada kebangkitan sesuatu masyarakat atau bangsa itu. Oleh kerana
itulah, beberapa dasar kerajaan telah digubal ketika pentadbiran beliau yang bertujuan
untuk membaiki sistem nilai, budaya, dan etika bukan sahaja masyarakat Melayu
malah seluruh kaum yang ada di Malaysia. Misalnya Dasar Pandang Ke Timur;
Kempen Bersih, Cekap, dan Amanah; Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam Di Dalam
Pentadbiran; dan Kempen Kepimpinan Melalui Teladan yang merupakan dasar-dasar
yang berkehendakkan satu tindakan sosial dan etika kerja yang positif. Ini akan mengubah pemikiran dan budaya masyarakat itu kepada sesuatu yang
progresif iaitu ke arah kemajuan dan kemakmuran negara.
Menurut
Kamus Dewan, perkataan perpaduan berasal daripada kata akar “padu”, iaitu yang
bermaksud bergantung, bersatu, bercampur untuk menjadi satu, kukuh dan utuh,
bermuafakat dan berunding dengan bersungguh-sungguh. Dengan kata lain,
perpaduan membawa maksud kita sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum
mestilah bersatu hati dalam pelbagai menyelesaikan masalah, bermuafakat dalam
pelbagai hal, bekerjasama di antara satu sama lain dan juga berunding untuk
menyatukan serta menjadi satu bangsa yang kuat. Oleh sebab perpaduan sangat penting untuk keamanan dan kestabilan negara jadi saya
akan mengutamakan perpaduan dalam kalangan masyarakat sekiranya saya menjadi
seorang pemimpin negara.
Hal
ini bertepatan sebagaimana yang dilakukan oleh mantan perdana menteri Malaysia yang
keenam iaitu Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang memperkenalkan Gagasan
1Malaysia yang merupakan satu cara bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat
Malaysia yang berbilang kaum. Ia berteraskan kepada beberapa nilai penting. Konsep keadilan yang ini
menampakkan kesanggupan kerajaan untuk mencapai keadilan secara sama rata
antara kaum namun kebebasan yang diberikan masih tertakluk kepada
prinsip-prinsip rukun Negara dan perlembagaan. Tidak ada mana-mana individu yang
akan dipinggirkan. Oleh sebab itulah perpaduan menjadi agenda penting kerana ia
merupakan kunci kepada pembangunan negara.
Ini
bermakna dasar keadilan baru yang akan digunapakai boleh melibatkan pindaan
kepada undang-undang sedia ada yang mana sesuai kecuali perkara 156 yang
berkaitan dengan hak istimewa orang-orang Melayu. Prinsip rukun negara dan perlembagaan
masih digunapakai. Gagasan
ini juga menekankan perlunya nilai-nilai aspirasi pada masyarakat. Nilai ini
penting kerana ia boleh menyiapkan rakyat negara ini supaya menjadi tenaga
kerja yang mampu bersaing. Nilai baru yang berdaya maju kepada sumber manusia
seperti budaya inovasi, prestasi tinggi, berilmu, bijaksana, integriti, setia
dan tabah telah menjadi budaya baru dalam kalangan masyarakat. Nilai murni
seperti yang telah ditekankan oleh pemimpin sebelum ini terus dipahatkan
termasuklah nilai hormat menghormati, nilai rendah diri, kesederhanaan dan
berbudi bahasa.
3.0 KESIMPULAN
Secara
keseluruhannya, setiap langkah dan dasar yang diambil oleh pemimpin
memperlihatkan ciri persamaan iaitu seorang pemimpin yang baik akan mengamalkan
sifat mengutamakan kebajikan rakyat, membuat hubungan diplomasi, mengamalkan dasar
berkecuali, bersikap tegas dan menunjukkan nilai yang baik serta mengutamakan
perpaduan. Langkah-langkah yang bakal diambil ini hanyalah untuk memastikan
keamanan dan kestabilan negara kerana kemajuan dan kemunduran sesuatu bangsa
adalah bergantung kepada pemimpin yang merupakan watak dinamik yang
menggerakkan ketamadunan untuk terus berada dipaksi kebenaran dan
kesejahteraan. Hal sedemikian menunjukkan bahawa peranan seorang pemimpin
sangat penting dalam konteks masyarakat kini. Justeru itu, pemimpin yang hebat
dan disegani mempunyai karekter kepimpinan yang unggul selaras dengan kehendak
agama yang meletakkan syariat Islam dalam setiap perbuatan dan tingkah laku
bagi seorang pemimpin dalam masyarakat.
RUJUKAN
Andi Nurfitri, Suhana
Saad & Azmi Aziz. (2015). Membangun kepimpinan organisasi
berasaskan
budaya lokal: Suatu analisis perbandingan. Malaysian
Journal of Society and Space, 11(9).
Faridah Jaafar. (2007).
Perdana Menteri dan Dasar Luar Malaysia
1957-2005. Kuala
Lumpur:
Universiti Malaya.
Ku Hasnan Ku Halim.
(2012). Berkhidmat untuk negara Tun
Hussein Onn legasi pola
kepimpinan dan kepengurusannya
kepada bangsa dan negara. Johor. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Hlm. 8. Diperolehi daripada http://eprints.uthm.edu.my/id/eprint/2598/1/n.pdf.
Mahathir Mohamad.
(1999). Jalan ke puncak. Petaling
Jaya: Pelanduk Publications.
Mohd Roslan Mohd Nor
& Ruzanah Mohd Rozi. (2014). Islam
dan ketamadunan Melayu :
Kemasyarakatan dan isu semasa.
Kuala Lumpur : Bahagian Penyelidikan Dan Pembangunan Akademik Pengajian Islam
Universiti Malaya.
Mokhtar Muhammad.
(1998). Dasar Tun Abdul Razak, Dato’
Hussein Onn dan Dato’ Seri
Dr. Mahathir Mohamad dari 1970-1990:
Kesinambungan dan perubahan. (Disertasi kedoktoran). Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Norlina M Ali, Rafedah
Sobiren & Suhana Mohamed. (2012). Keutuhan
perpaduan Melayu
dalam arus modenisasi.
Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Northouse, P. G.
(2007). Leadership: Theory and practice.
California: Sage.
Roselena Mansor &
Mohd Izham Mohd Hamzah. (2015). Kepimpinan berkualiti: Perspektif
mengenai
kompetensi yang diperlukan untuk memimpin dengan berkesan. Jurnal Pengurusan, 45.
Ramli Dollah & Wan
Shawaluddin Wan Hassan. (2015). Pengaruh
kepimpinan dalam dasar
luar Malaysia.
Sabah. Universiti Malaysia Sabah.
Rusdi Omar & Mas
Juliana Mukhtaruddin. (2014). Dasar luar Malaysia era Dato’ Seri Mohd
Najib
Tun Razak: Keutamaan dalam aspek hubungan dua hala. Political Managements and Policies in Malaysia.
Samsudin Wahab, Mohd
Sazili Shahibi, Juwahir Ali & Hasan Abdullah. (2013). Dasar
kepimpinan
Najib: Model transformasi ke arah kesejahteraan global. Jurnal Pemikiran Dan Kepimpinan Melayu.
Terima kasih atas perkongsian di atas. Langkah-langkah di atas semuanya relevan digunapakai oleh seorang pemimpin dalam organisasinya. Tetapi, isu perkauman tidak dititikberatkan dalam perkongsian di atas. Pada pendapat saya, isu perkauman adalah yang paling utama. Seorang pemimpin perlu menitikberatkan isu perkauman di Malaysia bagi mengelakkan peristiwa 13 Mei 1969 berulang kerana keharmonian dan perpaduan yang wujud dalam masyarakat adalah tunjang kepada keamanan dan kestabilan negara.
ReplyDeleteSalam sejahtera. Perkongsian yang sangat menarik daripada kumpulan ini. Apa yang saya fahami dan simpulkan disini adalah, untuk menjadi seorang pemimpin tidak kiralah pemimpin negara kelas mahupun kelurga, kita perlu menerapkan nilai-nilai yang baik. Hal ini kerana perbuatan dan perilaku kita bakal diikiuti dan dijadikan role model kepada setiap lapisan masyarakat. Menjadi pemimpin negara, ianya perlu bertanggungjawab dalam setiap perkara dan juga amanah dengan tugasan yang dipikul. Langkah yang dinyatakan oleh anda sangatlah bertepatan untuk menjadi pemimpin yang baik untuk sesebuah negara. Selain itu juga, seseorang pemimpin perlulah menjaga interaksi dengan masyarakat. Ini adalah amatlah penting untuk memperoleh kepercayaan masyarakat. Untuk menjadikan negara yang aman, pemimpin iur sendiri memainkan peranan yang penting untuk menjaga perhubungan antara masyarakat dan mengambil tahu tentang permasalahan yang berlaku dalam masyarakat. Sebagai contoh, Malaysia merupakan negara yang mempunyai pelbagai kaum dan budaya, oleh itu tugas pemimpin perlulah bersikap adil dan tidak mewujudkan sikap perkauman antara satu sama lain. Pelbagai kaum dan budaya ini telah menjadikan Malaysia indah dan rakyat juga bersatu padu u ntuk menjadikan Malaysia ini dalam keadaan aman dan selesa. Oleh itu, pemimpin perlulah menjadi tonggak utama dan rakyat juga perlulah berkerjasama untuk menjadikan negara tidak dijajah oleh musuh luar dan juga tidak berlakunya perpecahan dan perbalahan kaum. Sekian
ReplyDeletebagus nurul&gloria
ReplyDeleteterima kasih untuk perkongsian ini. semoga ilmu ini dapat digunakan oleh semua pelajar di seluaruh malaysia...idea-idea yang diberi sangat berguna untuk pemimpin-pemimpin negara kita gunakan untuk memperbaiki negara tercinta kita.
ReplyDelete