HMS3013
PENDIDIKAN MORAL DI MALAYSIA
TUGASAN INDIVIDU
SOALAN 8:
SEKIRANYA ANDA ADALAH PEMIMPIN NEGARA,
NYATAKAN EMPAT LANGKAH YANG AKAN ANDA AMBIL UNTUK MEMASTIKAN
NEGARA BERADA DALAM KEADAAN AMAN DAN STABIL
|
BIL |
NAMA PELAJAR |
NO. MATRIK |
|
|
1. |
VERONICA ANAK ARUN |
D20171078700 |
|
|
2. |
ANIS FARHANA BINTI ABD BIDIN |
D20171078704 |
|
|
KUMPULAN KULIAH |
B |
||
|
NAMA PENSYARAH |
PUAN ROBE’AH BINTI YUSUF |
||
1.0 PENGENALAN
Andi Nurfitri, Suhana Saad dan Azmi Aziz (2015) menyatakan bahawa dalam proses kehidupan sosial, kepimpinan adalah penting dan sentiasa mendapat keutamaan manusia. Selaras dengan percaturan dunia hari ini, keberkesanan kepimpinan negara begitu ditekankan. Kepimpinan merangkumi keseluruhan bidang kehidupan sehinggalah kejayaan dan kemajuan sesebuah bangsa seringkali diwarnai oleh besar dan pentingnya kesan kepimpinan. Lazimnya, kepimpinan ditakrif dalam konteks hubungan kuasa antara pemimpin dengan pengikut. Pemimpin dianggap berkuasa, sekaligus berkeupayaan membawa perubahan terhadap para pengikutnya. Pemimpin yang berfikiran hebat, berjiwa besar, berpandangan jauh dan berani melakukan perubahan akan berjaya membentuk sebuah bangsa dan tamadun yang hebat serta terjaganya nilai-nilai sosial kebudayaan masyarakatnya. Lantaran itu, pemimpin diberi kepercayaan dan kekuasaan untuk melaksanakan tanggungjawabnya kerana pemimpin dianggap sebagai wira budaya. Bagi pandangan Northouse (2007) pula, kepimpinan ditakrifkan sebagai, "A process whereby an individual influences a group of individuals to achieve a common goal". Tambah Northouse (2007) lagi, kepimpinan wujud dalam dua bentuk iaitu kepimpinan tret dan kepimpinan proses. Kepimpinan tret merujuk kepada kalimat "he/she is a natural leader" dan "born to be a leader". Kepimpinan tret menyifatkan seseorang memiliki keistimewaan atau perwatakan atau kualiti yang melayakkannya menjadi pemimpin. Sementara itu, kepimpinan proses pula menekankan interaksi di antara pemimpin dengan pengikut yang mana seseorang diasah bakat dan kemahiran kepimpinannya menerusi pendidikan proses sosialisasi. Selain itu, menurut Thoha (2004), beliau menyatakan bahawa sama ada berjaya atau gagal sesebuah organisasi sebahagian besarnya ditentukan oleh faktor kepimpinan. Pentingnya kepimpinan menjadikan sseorang pemimpin selalu menjadi tumpuan penilaian sebagai punca kejayaan atau kegagalan sesebuah organisasi (Andi Nurfitri, Suhana Saad & Azmi Aziz, 2015, ms 56-68). Oleh itu, seseorang pemimpin itu haruslah memastikan keamanan dan kestabilan negara terus berkekalan dengan mengamalkan sifat mengutamakan kebajikan rakyat, membuat hubungan diplomasi, mengamalkan dasar berkecuali, bersikap tegas dan menunjukkan nilai yang baik dan mengutamakan perpaduan.
2.0 PERBINCANGAN
Kejayaan ataupun kegagalan sesebuah negara adalah bergantung kepada pencapaian kepimpinannya dan oleh itu saya berpendapat untuk menjadi seorang pemimpin yang baik, ia haruslah lebih mengutamakan kebajikan rakyatnya. Kebajikan rakyat haruslah menjadi dasar sesebuah kerajaan yang ditadbir supaya kebajikan penduduk sentiasa dijaga untuk memastikan semua rakyat tanpa mengira kaum dapat hidup dalam suasana aman, damai, sihat dan seimbang. Selain itu, pemimpin yang berkualiti mesti mempunyai sumbangan yang memberi manfaat kepada rakyat. Dengan menyumbang kepada rakyat, seorang pemimpin itu akan diingati dan dikagumi kerana kewibawaan yang ditunjukkan oleh pemimpin tersebut. Hal ini selari dengan pandangan Rothwell (2010) dan DuBrin (2013) yang menekankan supaya pemimpin yang dilantik adalah pemimpin yang dapat memberi sumbangan dan menjaga kebajikan rakyatnya. Pemimpin yang berbakat ini boleh dijadikan sebagai modal intelektual (Roselena Mansor & Mohd Izham Mohd Hamzah, 2015, ms 143-154). Justeru, pemimpin harus dapat memberi sumbangan yang bermanfaat untuk kecemerlangan rakyatnya.
Perkara ini dapat dilihat di dalam jurnal yang bertajuk “Berkhidmat untuk Negara Tun Hussein Onn Legasi Pola Kepimpinan dan Kepengurusannya kepada Bangsa dan Negara” yang mana semasa pemerintahan perdana menteri Malaysia yang ketiga iaitu Tun Hussein Onn, beliau mempunyai trademark kepimpinan iaitu ketegasannya dalam memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa (Ku Hasnan Ku Halim 2012, ms 8). Untuk memerangi kegiatan rasuah beliau telah memberikan sepenuh kebebasan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat sesiapa sahaja yang disyaki rnelakukan kesalahan ini, dan mereka yang bersalah tidak akan diberikan perlindungan politik. Beliau percaya kepada undang-undang dan mahkamah untuk memberi keadilan dan menjauhkan gangguan politik terhadap proses undang-undang. Hal ini amat jelas dalam tindak tanduknya yang memerangi rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa. Sikap yang ditonjolkan oleh Tun Hussein Onn ini menunjukkan beliau sentiasa cakna dengan kebajikan masyarakat dibawahnya agar tiada pihak yang menindas dan ditindas.
Selain itu, kebajikan masyarakat terus dipertingkatkan apabila beliau mengambil alih kepimpinan kerajaan dan parti dari Tun Razak dengan memperkenalkan suatu pembaharuan iaitu melancarkan tabung Amanah Saham Nasional (ASN) pada 20 April 1981. Pelancaran Amanah Saham Nasional adalah bertujuan untuk menggalakkan orang Melayu-Bumiputera menabung dengan cara membeli saham dan pelancaran ini mendapat sambutan yang luar biasa. Ratusan juta modal Melayu-Bumiputera dapat dikumpulkan melalui skim ini yang kemudiannya diperluaskan dengan pengenalan satu lagi tabung amanah iaitu tabung Amanah Saham Bumiputera. Kedua-dua tabung ini telah membantu meningkatkan peratus pemilikan saham oleh bumiputera dalam syarikat-syarikat perniagaan swasta.
Kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan pemimpin untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan negara bukan sahaja sewaktu pemerintahan Tun Hussein Onn malahan dapat dilihat melalui pemerintahan Tun Dr. Mahathir yang sering membangkitkan keperluan hak sama rata bagi semua kaum dari segi sosial, ekonomi dan politik. Hal ini dikaitkan dengan penduduk Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum. Oleh sebab itu, dasar-dasar seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) diperlukan bagi pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat yang bertujuan untuk memperbaiki ketidakseimbangan sosial dan ekonomi antara kaum (Rusdi Omar & Sivamurugan Pandian, 2006, ms 78-91). Hal ini seterusnya akan menyumbang ke arah mengukuhkan perpaduan negara. Akibatnya, ia dapat mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi di antara golongan kaya dengan miskin dan juga di kalangan etnik. Ketidakseimbangan ekonomi ini akan dapat dikurangkan berasaskan prinsip pembangunan seimbang dan pengagihan kekayaan negara yang saksama untuk mencapai keadilan sosial dan seterusnya memperkukuhkan perpaduan negara. Ini menunjukkan penggabungan keseimbangan kaum dengan pertumbuhan ekonomi mampu membawa negara ke arah kestabilan politik dan wujudnya satu jalinan hubungan yang harmonis antara golongan-golongan kaum yang terdapat di Malaysia (Mahathir Mohamad 1999, ms 119)
Menurut Samsudin Wahab, Mohd Sazili Shahibi, Juwahir Ali dan Hasan Abdullah (2013), kebajikan rakyat juga turut diberi perhatian oleh Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak. Beliau bertekad untuk membanteras kemiskinan tegar menjelang 31 Disember 2010 sesuai dengan matlamat Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9). Mengikut rekod sistem e-kasih, terdapat hampir 45,000 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar di seluruh negara. Daripada jumlah itu, lebih 11,000 telah disahkan statusnya dan telah pun mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Manakala pengesahan status lebih 14,000 KIR di Sabah dan Sarawak sedang giat dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan dijangka selesai pada penghujung tahun 2010. Bersesuaian itu kerajaan berhasrat untuk melatih dan melahirkan lebih ramai jumlah usahawan wanita. Sehingga Jun 2009 sahaja, seramai 717 wanita yang berpotensi untuk dibimbing menjadi usahawan dalam program Sahabat Amanah Ikhtiar telah dikenal pasti. Justeru, kerajaan dengan ini menetapkan matlamat untuk menambah lagi jumlah usahawan di kalangan wanita ini kepada seramai 4,000 orang menjelang tahun 2012 melalui program Amanah Ikhtiar Malaysia. Oleh itu, jelaslah bahawa soal menjaga kebajikan rakyat sangat diberi perhatian oleh Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, selain program tersusun untuk menaikkan taraf ekonomi masyarakat program bantuan rakyat 1 Malaysia telahpun dilaksanakan.
Seterusnya, hubungan diplomasi antara sesebuah negara dengan negara luar juga amat penting bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan sesebuah negara. Hal ini demikian kerana hubungan diplomasi secara amnya merujuk kepada satu hubungan atau rundingan antara negara-negara. Menurut Mohd Roslan Mohd Nor & Ruzanah Mohd Rozi. (2014), mereka berpendapat bahawasanya diplomasi adalah seni dalam menyelesaikan masalah antarabangsa dengan aman, ia juga merupakan satu teknik bagi membolehkan pembangunan dalam sesebuah wilayah di bangunkan dalam keadaan yang harmoni menerusi jalinan antarabangsa. Oleh sebab itu, jika saya menjadi pemimpin negara saya akan mengorak langkah ke hadapan dengan menekankan kepada hubungan diplomasi dan mengamalkan dasar luar yang lebih proaktif dan dinamik. Saya akan meneruskan dasar luar yang kukuh yang membantu mewujudkan ekonomi yang mantap, dinamik dan mudah pulih.
Di samping itu, saya juga akan menekankan kepentingan dalam menjalinkan hubungan dua hala (diplomasi dua hala) dengan negara-negara yang merupakan negara ‘trading partner’ dengan Malaysia, terutamanya dalam bidang ekonomi, seperti China, Jepun, Singapura, Amerika Syarikat dan sebagainya. Hubungan dua hala (bilateral relations) atau dikenali juga sebagai diplomasi dua hala (bilateral diplomacy) ialah hubungan atau diplomasi yang dilakukan secara dua hala atau antara dua buah negara sahaja. (Rusdi Omar & Mas Juliana Mukhtaruddin, 2014, ms 173-194). Ia merupakan jenis hubungan atau diplomasi yang paling lama dilaksanakan sejak adanya konsep negara-bangsa dan interaksi antara negara-negara ini. Diplomasi jenis ini dikatakan lebih efektif dan telus kerana hanya dua negara yang terlibat membincangkan isu yang hanya ada kena mengena di antara kedua-duanya. Ia juga dikatakan lebih efektif kerana kurangnya kerenah dan halangan yang boleh membantutkan usaha-usaha ke arah persepakatan dan kerjasama. Diplomasi jenis ini lebih mudah diuruskan kerana ianya melibatkan dua buah negara sahaja dan segala permasalahan dapat diselesaikan secara perundingan atau perbincangan bersama sekiranya kedua-dua negara berada dalam situasi hubungan yang baik. Namun begitu, diplomasi dua hala ini sukar dilaksanakan dalam situasi tegang, iaitu ketika wujudnya ketidaksefahaman di antara kedua-dua negara. Oleh itu, mereka memerlukan pihak ketiga atau pihak luar untuk menjadi mediator (pemudahcara) bagi membantu menyelesaikan permasalahan tersebut.
Untuk menyokong langkah ini dapat dilihat dalam jurnal “Dasar Luar Malaysia Era Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak: Keutamaan Dalam Aspek Hubungan Dua Hala” bagaimana cara pemimpin terdahulu melaksanakan hubungan diplomasi yang menyatakan tentang evolusi dasar luar Malaysia dalam kalangan perdana menteri Malaysia yang lalu. Contohnya, dalam zaman Tunku Abdul Rahman dari 1957–1969, dasar luar Malaysia berada di tahap pengasasan dan pengembangan, di mana ianya didorong ke arah kelangsungan hidup negara yang baru merdeka. Dasar luar negara kita pada waktu itu ternyata bersifat antikomunis dan pro-Barat dengan hubungan yang rapat dengan negara-negara Komanwel. Menurut Faridah Jaafar (2007), pendekatan ini juga bersumberkan pengaruh keperibadian Tunku yang begitu pro-Barat dan antikomunis, selain situasi dan kondisi politik domestik yang kurang stabil ketika itu. Malaysia juga menentang kuat dasar Aparteid dan pendirian Malaysia tentang kerjasama serantau juga mula bertapak dengan kemunculan Association of Southeast Asia (ASA) 1960, Malaysia, the Philippines, and Indonesia (MAPHILINDO) 1963 dan Association of South East Asian Nations (ASEAN) 1967.
Oleh itu, sewaktu tempoh penggabungan di bawah pemerintahan Tun Hussein Onn (1976–1981), ASEAN telah menjadi asas dalam dasar luar negara Malaysia ekoran daripada kejatuhan Saigon (kini Bandar Ho Chi Minh) pada tahun 1975, pengunduran Tentera AS dari Asia Tenggara dan pencerobohan Kampuchea (kini Kemboja) oleh Vietnam. Sidang kemuncak ASEAN yang pertama diadakan dan Malaysia telah menandatangani Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Bali pada tahun 1976. Penekanan yang lebih tegas turut dibuat ke atas kebebasan, kekecualian dan kedudukan yang sama dengan kuasa utama dunia. Dalam tempoh ini, beliau lebih banyak mengekalkan dan meneruskan dasar yang telah diasaskan oleh pemimpin sebelumnya. Dasar luar Malaysia dalam tempoh ini menunjukkan era pengukuhan, di mana kita tidak memihak kepada mana-mana negara. Hal ini bertepatan dengan lingkungan global ketika itu yang sedang bergerak ke arah pengenduran hubungan tegang di antara negara-negara yang sedang berkonflik.
Selepas itu, sewaktu pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi pula, beliau telah membuat diplomasi dengan meletakkan kerjasama serantau ASEAN dan integrasi Asia Timur sebagai prioriti utama penglibatan dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Non-Aligned Movement (NAM) dan Kerjasama Selatan-Selatan, menyokong dasar multilateralisme di peringkat global berdasarkan mandat yang diberikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), merapatkan hubungan dengan kuasa-kuasa besar dan kerjasama strategik dengan Amerika dalam menentang keganasan dan kerjasama dengan negara-negara pesisir di Laut China Selatan dalam menangani masalah perlanunan dan penglibatan kuasa luar (Ramli Dollah & Wan Shawaluddin Wan Hassan, 2015, ms 36-53).
Manakala Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak telah mewujudkan hubungan dua hala yang mesra dengan negara jiran. Pendekatan yang membina diambil untuk menyelesaikan masalah yang masih belum terlerai termasuklah yang berkaitan dengan tuntutan bertindih dan penetapan sempadan tanah dan maritim. Setiap usaha diplomatik dilaksanakan untuk memastikan hubungan dua hala dengan semua negara jiran tidak terjejas akibat masalah tersebut. Persetujuan untuk merujuk kepada International Court of Justice (ICJ) berkaitan tuntutan pertindahan wilayah menunjukkan sejauh mana kita bersedia untuk mencari penyelesaian bagi masalah dua hala. (Rusdi Omar & Mas Juliana Mukhtaruddin., 2014, ms 173-194). Perkara ini telah membuktikan bahawa membuat hubungan diplomasi antara negara-negara sangat penting untuk memastikan keamanan dan kestabilan sesebuah negara.
Langkah yang akan dibuat seterusnya ialah mengamalkan dasar berkecuali bagi mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan dan keselamatan Malaysia seterusnya mempertahankan prinsip menghormati kemerdekaan dan kedaulatan sesebuah wilayah melalui dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal dan masalah dalaman negara lain. Tambahan lagi, objektif seterusnya adalah untuk menangani perkembangan dan cabaran politik, ekonomi, keselamatan dan sosial di pentas dunia. Dasar ini juga dapat memupuk hubungan baik serta dapat mengeratkan kerjasama dengan negara-negara lain. Selain itu, pendirian serta kepentingan negara-negara membangun dapat dipertahankan di peringkat antarabangsa.
Misalnya semasa era pemerintahan Perdana Menteri Kedua Malaysia dari tahun 1970–1976, di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak memperlihatkan keupayaan mendalam beliau mengendalikan hubungan luar Malaysia mengikut arus perubahan. Malaysia telah menganggotai OIC dan mula mengenalkan dirinya sebagai sebuah “Negara Islam”. Beliau telah merintis usaha ke arah peneutralan dasar luar Malaysia dengan menjalinkan hubungan diplomatik dengan hampir semua negara tanpa mengira ideologi. Pencarian negara rakan baru secara besar-besaran meningkatkan kepentingan Negara-negara Berkecuali (Non-Alignment Movement) kepada Malaysia. Malaysia dikenali sebagai negara berkecuali dan terdorong ke arah kekecualian, kewujudan bersama secara harmoni dan kebebasan. Negara juga mula menjauhkan diri daripada kuasa utama dunia, menekankan semangat serantau dan membina hubungan diplomatik dengan negara komunis. Pelaburan daripada negara lain selain British juga mula dialu-alukan. Tun Abdul Razak juga telah mengadakan penyelarasan dalam aspek politik, ekonomi, dan dasar pertahanan bagi memenuhi tuntutan strategik negara.
Hal ini kerana sejarah Pergerakan Berkecuali sebagai satu aktor antarabangsa bermula pada akhir tahun 1950-an. Ketika itu Perang Dingin antara dua kuasa utama dunia sedang memuncak. Dunia terbelah kepada dua blok yang berasingan antara satu sama lain yang boleh menuju kepada konflik jika tidak dikawal. Setiap negara masing-masing mengambil pendirian untuk memihak kepada salah satu dari blok itu. Menyedari akan bahaya kemusnahan umat manusia, para pemimpin dunia ketiga telah mengamalkan dasar luar yang tidak memihak kepada mana-mana kuasa tersebut. Idea ini mula ditimbulkan dalam sidang Afro-Asia di Bandung pada tahun 1955 yang dilanjutkan dalam beberapa persidangan selepas itu. (Mokhtar Muhammad, 1998, ms 161). Di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak, Malaysia telah berusaha memajukan cadangan Zone of Peace, Freedom and Neutrality (ZOPFAN). ZOPFAN ialah usaha-usaha ingin menjadikan Asia Tenggara suatu zon yang aman, bebas dan berkecuali daripada pengaruh luar. Beliau menjelaskan bahawa ia adalah paling sesuai bagi memelihara kestabilan di rantau ini.
Seterusnya, jika saya dilantik sebagai pemimpin negara, sikap pemimpin yang tegas dan menunjukkan nilai yang baik akan saya terapkan dalam kepimpinan. Pemimpin yang tegas tetapi bertimbang rasa adalah seorang pemimpin yang menyatakan pendiriannya dengan jelas setelah mempertimbangkan sifat kemanusiaan. Sungguhpun begitu, pemimpin tidak boleh juga bersikap terlalu lembut kerana orang bawahannya akan mengambil kesempatan terhadap pemimpin. Pemimpin perlu tegas bagi mencapai sesuatu matlamat dan orang bawahannya perlu dijelaskan mengenai matlamat tersebut. Dapatan ini selari dengan kenyataan Bush (2008) yang menyatakan perlunya pemimpin bersifat tegas supaya dapat mempengaruhi orang lain yang seterusnya akan merangsang dan membolehkan orang lain menyumbang kepada keberkesanan dan kejayaan organisasi.
Perkara ini dapat dilihat dalam sifat kepimpinan Tun Dr Mahathir yang penuh berdisiplin dan tegas, kerana telah terdidik sejak dari kecil lagi. Proses sosialisasi di dalam keluarga inilah yang menunjangi keperibadian beliau yang turut terserlah di dalam pentadbirannya. Disiplin dirinya yang mendasari kemajuan yang dikecapi oleh negara hari ini mengikut acuan sendiri dan nilai ini cuba diterapkan ke dalam rakyat yang dianggap mesti memiliki sikap berdisiplin untuk membangunkan negara. Atas kepercayaan inilah dalam era pemerintahan beliau, Dr. Mahathir telah memperkenalkan beberapa dasar yang berasaskan dua bentuk dasar utama iaitu yang pertama ialah dasar-dasar ekonomi dan pembangunan negara serta yang kedua pula ialah dasar-dasar sosial dan etika dalam usaha membentuk mutu dan kualiti rakyat serta warga pekerja untuk sama-sama berusaha ke arah kemajuan dan pembangunan negara keseluruhannya (Rusdi Omar & Sivamurugan Pandian, 2006, ms 78-91).
Di samping itu, Tun Dr. Mahathir juga cuba menekankan atau memperkenalkan nilai-nilai Asia kepada dunia, beliau menganggap bahawa masyarakat Asia menekankan kepentingan norma bermasyarakat dan keluarga. Dalam menggerakkan masyarakat yang membangun seperti Malaysia, hak-hak individu tidak sekali-kali mengatasi hak-hak masyarakat dan sentiasa diberikan keutamaan sekaligus mengatasi hak-hak individu. Kepentingan kepada nilai, budaya dan etika masyarakat sering ditekankan dalam hampir sebahagian besar karya-karya dan ucapan-ucapan beliau. Untuk mengubah sesuatu masyarakat maka nilai, budaya, dan etika masyarakat itu perlulah diubah supaya ia sesuai dengan keperluan semasa yang dilihat sebagai intisari kepada kebangkitan sesuatu masyarakat atau bangsa itu. Oleh kerana itulah, beberapa dasar kerajaan telah digubal ketika pentadbiran beliau yang bertujuan untuk membaiki sistem nilai, budaya, dan etika bukan sahaja masyarakat Melayu malah seluruh kaum yang ada di Malaysia. Misalnya Dasar Pandang Ke Timur; Kempen Bersih, Cekap, dan Amanah; Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam Di Dalam Pentadbiran; dan Kempen Kepimpinan Melalui Teladan yang merupakan dasar-dasar yang berkehendakkan satu tindakan sosial dan etika kerja yang positif. Ini akan mengubah pemikiran dan budaya masyarakat itu kepada sesuatu yang progresif iaitu ke arah kemajuan dan kemakmuran negara.
Menurut Kamus Dewan, perkataan perpaduan berasal daripada kata akar “padu”, iaitu yang bermaksud bergantung, bersatu, bercampur untuk menjadi satu, kukuh dan utuh, bermuafakat dan berunding dengan bersungguh-sungguh. Menurut Norlina M Ali, Rafedah Sobiren & Suhana Mohamed. (2012) pula, perpaduan membawa maksud kita sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum mestilah bersatu hati dalam pelbagai menyelesaikan masalah, bermuafakat dalam pelbagai hal, bekerjasama di antara satu sama lain dan juga berunding untuk menyatukan serta menjadi satu bangsa yang kuat. Oleh sebab perpaduan sangat penting untuk keamanan dan kestabilan negara jadi saya akan mengutamakan perpaduan dalam kalangan masyarakat sekiranya saya menjadi seorang pemimpin negara.
Hal ini bertepatan sebagaimana yang dilakukan oleh mantan perdana menteri Malaysia yang keenam iaitu Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang memperkenalkan Gagasan 1Malaysia yang merupakan satu cara bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum (Samsudin Wahab, Mohd Sazili Shahibi, Juwahir Ali & Hasan Abdullah, 2013, ms 3-10). Ia berteraskan kepada beberapa nilai penting. Konsep keadilan yang ini menampakkan kesanggupan kerajaan untuk mencapai keadilan secara sama rata antara kaum namun kebebasan yang diberikan masih tertakluk kepada prinsip-prinsip rukun Negara dan perlembagaan. Tidak ada mana-mana individu yang akan dipinggirkan. Oleh sebab itulah perpaduan menjadi agenda penting kerana ia merupakan kunci kepada pembangunan negara.
Ini bermakna dasar keadilan baru yang akan digunapakai boleh melibatkan pindaan kepada undang-undang sedia ada yang mana sesuai kecuali perkara 156 yang berkaitan dengan hak istimewa orang-orang Melayu. Prinsip rukun negara dan perlembagaan masih digunapakai. Gagasan ini juga menekankan perlunya nilai-nilai aspirasi pada masyarakat. Nilai ini penting kerana ia boleh menyiapkan rakyat negara ini supaya menjadi tenaga kerja yang mampu bersaing. Nilai baru yang berdaya maju kepada sumber manusia seperti budaya inovasi, prestasi tinggi, berilmu, bijaksana, integriti, setia dan tabah telah menjadi budaya baru dalam kalangan masyarakat. Nilai murni seperti yang telah ditekankan oleh pemimpin sebelum ini terus dipahatkan termasuklah nilai hormat menghormati, nilai rendah diri, kesederhanaan dan berbudi bahasa.
3.0 KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, setiap langkah dan dasar yang diambil oleh pemimpin memperlihatkan ciri persamaan iaitu seorang pemimpin yang baik akan mengamalkan sifat mengutamakan kebajikan rakyat, membuat hubungan diplomasi, mengamalkan dasar berkecuali, bersikap tegas dan menunjukkan nilai yang baik serta mengutamakan perpaduan. Langkah-langkah yang bakal diambil ini hanyalah untuk memastikan keamanan dan kestabilan negara kerana kemajuan dan kemunduran sesuatu bangsa adalah bergantung kepada pemimpin yang merupakan watak dinamik yang menggerakkan ketamadunan untuk terus berada dipaksi kebenaran dan kesejahteraan. Hal sedemikian menunjukkan bahawa peranan seorang pemimpin sangat penting dalam konteks masyarakat kini. Justeru itu, pemimpin yang hebat dan disegani mempunyai karekter kepimpinan yang unggul selaras dengan kehendak agama yang meletakkan syariat Islam dalam setiap perbuatan dan tingkah laku bagi seorang pemimpin dalam masyarakat.
4.0 RUJUKAN
Andi Nurfitri, Suhana Saad & Azmi Aziz. (2015). Membangun kepimpinan organisasi
berasaskan budaya lokal: Suatu analisis perbandingan. Malaysian Journal of Society and Space, 11(9).
Faridah Jaafar. (2007). Perdana Menteri dan Dasar Luar Malaysia 1957-2005. Kuala
Lumpur: Universiti Malaya.
Ku Hasnan Ku Halim. (2012). Berkhidmat untuk negara Tun Hussein Onn legasi pola
kepimpinan dan kepengurusannya kepada bangsa dan negara. Johor. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Hlm. 8. Diperolehi daripada http://eprints.uthm.edu.my/id/eprint/2598/1/n.pdf.
Mahathir Mohamad. (1999). Jalan ke puncak. Petaling Jaya: Pelanduk Publications.
Mohd Roslan Mohd Nor & Ruzanah Mohd Rozi. (2014). Islam dan ketamadunan Melayu :
Kemasyarakatan dan isu semasa. Kuala Lumpur : Bahagian Penyelidikan Dan Pembangunan Akademik Pengajian Islam Universiti Malaya.
Mokhtar Muhammad. (1998). Dasar Tun Abdul Razak, Dato’ Hussein Onn dan Dato’ Seri
Dr. Mahathir Mohamad dari 1970-1990: Kesinambungan dan perubahan. (Disertasi kedoktoran). Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Norlina M Ali, Rafedah Sobiren & Suhana Mohamed. (2012). Keutuhan perpaduan Melayu
dalam arus modenisasi. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Northouse, P. G. (2007). Leadership: Theory and practice. California: Sage.
Roselena Mansor & Mohd Izham Mohd Hamzah. (2015). Kepimpinan berkualiti: Perspektif
mengenai kompetensi yang diperlukan untuk memimpin dengan berkesan. Jurnal Pengurusan, 45.
Ramli Dollah & Wan Shawaluddin Wan Hassan. (2015). Pengaruh kepimpinan dalam dasar
luar Malaysia. Sabah. Universiti Malaysia Sabah.
Rusdi Omar & Mas Juliana Mukhtaruddin. (2014). Dasar luar Malaysia era Dato’ Seri Mohd
Najib Tun Razak: Keutamaan dalam aspek hubungan dua hala. Political Managements and Policies in Malaysia.
Samsudin Wahab, Mohd Sazili Shahibi, Juwahir Ali & Hasan Abdullah. (2013). Dasar
kepimpinan Najib: Model transformasi ke arah kesejahteraan global. Jurnal Pemikiran Dan Kepimpinan Melayu.
No comments:
Post a Comment