Wednesday, June 10, 2020

Tugasan 2: KRONOLOGI PERISTIWA PENGENALAN MATA PELAJARAN PENDIDIKAN MORAL SEBAGAI BAHASA RASMI DI SEKOLAH-SEKOLAH MALAYSIA

HMS 3013 PENDIDIKAN MORAL DI MALAYSIA

 

TUGASAN 2: PENULISAN ILMIAH

 

TAJUK: KRONOLOGI PERISTIWA PENGENALAN MATA PELAJARAN PENDIDIKAN MORAL SEBAGAI BAHASA RASMI DI SEKOLAH-SEKOLAH MALAYSIA

 

NAMA

NO.MATRIK

NURUL RIHANA BINTI BUKHARI

D20172080074

NOOR EFFA MAZURA BINTI ROMI

D20181082808

NOR HASMIZA BINTI CHE HASHIM

D20181082828

 

NAMA PENSYARAH: PUAN ROBE’AH BINTI YUSUF

KUMPULAN: B


 

ISI KANDUNGAN

 

PERKARA                                             MUKA SURAT

 

1.0  Pengenalan……………………………………………………………..1

2.0  Sejarah Perkembangan Pendidikan Moral di Malaysia………………..2

3.0  Peristiwa 13 Mei…………………………………………………….....3

4.0  Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979………………………………….5

5.0  Penggubalan Sukatan Pelajaran Pendidikan Moral 1976……………...8

6.0  Pendidikan Moral sebagai Mata Pelajaran Rasmi……………………..10

7.0  Penutup…………………………………………………………………12


 


1.0 PENGENALAN

Pendidikan Moral merupakan mata pelajaran yang diajar di sekolah rendah dan sekolah menengah. Pihak sekolah wajib mengajar Pendidikan Moral kepada semua murid yang bukan beragama Islam. Pendidikan Moral memberi tumpuan kepada pemupukan nilai dan membina kekuatan kerohanian dan moral melalui penghayatan dan amalan nilai-nilai murni yang terdapat dalam agama serta budaya masyarakat Malaysia. Penghayatan dan amalan nilai-nilai murni yang diterapkan itu melibatkan penekanan dalam tiga dimensi potensi insan, iaitu penakulan moral, perasaan moral dan tindakan moral. Pendidikan moral dan agama secara amnya adalah untuk membina sahsiah dan keperibadian insan manusia selaras dengan kehendak masyarakat, agama dan negara. Kanak-kanak dan remaja yang mempunyai moral dan akhlak mulia menjadi aset penting kerana mereka yang akan menentukan masa depan negara.

 

Pendidikan Moral ialah satu program yang mendidik pelajar supaya menjadi insan yang bermoral atau berakhlak mulia dengan menekankan aspek perkembangan pemikiran moral, perasaan moral dan tingkah laku moral. Terdapat pelbagai pandangan tentang konsep moral dan konsep pendidikan moral yang juga bersifat “multi- dimensional”. Seseorang yang berpegang pada pandangan yang tertentu akan mempengaruhi pemikiran dan kehidupannya seterusnya melahirkan insan yang berbeza dari aspek kemoralan. Moral merupakan satu nilai hidup yang amat penting dipertahankan supaya tindakan dan pemikiran manusia tidak bercanggah dengan fitrah kejadian manusia, alam dan segala kehidupan di muka bumi ini.

Pendidikan Moral adalah satu subjek yang amat penting yang harus diajar kepada pelajar sekolah yang mana mereka bakal menjadi pewaris kepada generasi masa kini. Jadi bagi memastikan kehidupan mereka dipenuhi dengan nilai-nilai murni, subjek ini diperkenalkan di sekolah-sekolah. Dengan adanya subjek Pendidikan Moral, pelajar akan dapat mendalami maksud nilai yang sebenarnya. Hal ini kerana, sebelum mereka menerapkan nilai-nilai murni dalam diri, terlebih dahulu mereka harus tahu akan kepentingan nilai murni dalam kehidupan seharian. Apabila mereka sudah memahami erti nilai yang sebenar, maka proses penerapan nilai dalam diri dan kehidupan mereka akan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan akhirnya dapat membentuk insan yang cemerlang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

 

2.0 SEJARAH PERKEMBANGAN PENDIDIKAN MORAL DI MALAYSIA

Pendidikan moral adalah sebahagian daripada pendidikan nilai. Pendidikan nilai terawal di Malaysia dikaitkan dengan pengajian agama dan Al-Quran di kalangan penduduk awal di Tanah Melayu. Pengajian agama dikelolakan oleh para ulama dengan mendirikan institusi yang dikenali sebagai pondok. Di sinilah penduduk tempatan mempelajari agama dan norma-norma kehidupan masyarakat. Pendidikan Moral secara formal dan tidak formal di Malaysia telah wujud sejak zaman penjajahan, khususnya di sekolah-sekolah mubaligh yang bermula dengan penubuhan The Penang Free School pada tahun 1816. Nilai-nilai seperti menghormati ibu bapa, kasih sayang,  jujur, menegakkan kebenaran dan nilai keagamaan telah diajar di dalam kelas serta di perhimpunan sekolah. Sekolah Cina yang dibuka oleh saudagar-saudagar Cina pada tahun 1929 telah memperkenalkan ajaran Tao dan ajaran Confucius, iaitu ajaran yang berkaitan dengan tingkah laku yang baik dan kehidupan bermoral. Sekolah Tamil yang mula dibuka di Singapura pada tahun 1834 telah memperkenalkan ajaran dan nilai hindu. Sekolah rakyat, sekolah pondok, madrasah dan surau pula menekankan pengajaran agama dan akhlak kepada murid dan orang dewasa Islam.

Pada Jun 1960, Jawatankuasa Penyemak Dasar Pelajaran Kebangsaan ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Abdul Rahman Talib, Menteri Pelajaran Pesekutuan Tanah Melayu. Jawatankuasa ini berperanan sebagai menyemak semula pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan seperti yang termaktub dalam Penyata Razak dan memperbaiki sistem pendidikan di Persekutuan Tanah Melayu.

 

Laporan atau Penyata Rahman Talib yang diperakukan dalam Akta Pendidikan 1961 telah mengabdikan cita-cita yang terkandung dalam Laporan Razak dan menggariskan hasrat sistem pendidikan Kebangsaan yang terdapat sekarang. Terdapat empat aspek penting dalam laporan ini iaitu menjadi titik permulaan ke arah pelaksanaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama dan proses penukaran bahasa pengantar, mewujudkan sistem peperiksaan persekolahan yang sama walaupun berlainan bahasa di peringkat rendah, menengah,dan menengah atas, memberi penekanan kepada pendidikan teknik dan vokasional untuk keperluan tenaga mahir dan memberi penekanan kepada pendidikan moral dan keagamaan untuk keperluan kerohanian sebagai teras. Laporan yang dihasilkan oleh Jawatankuasa Penyemak Dasar Pelajaran Kebangsaan dikenali sebagai Penyata Rahman Talib. Penyata Rahman Talib seterusnya menjadi Akta Pelajaran 1961.

 

3.0 PERISTIWA 13 MEI

Kepelbagaian kaum, agama dan bahasa telah menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang unik dan berbeza daripada negara lain. Keamanan, keharmonian dan kesejahteraan dalam kelangan rakyat merupakan sesuatu yang amat diperlukan oleh sesebuah negara dalam menjamin pembangunan dan ekonomi serta imej negara di mata dunia. Setiap manusia seharusnya saling hormat-menghormati antara satu sama lain tanpa melibatkan perbezaan kaum dan agama. Segala perkara yang telah dicapai oleh negara mesti dipertahankan dan segala perbuatan yang dikenali sebagai tikam belakang mesti ditinggalkan serta elakkan daripada mengulangi kesilapan dahulu seperti peristiwa 13 Mei yang telah berjaya menggugat keharmonian negara. Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969 merupakan satu peristiwa hitam yang menyaksikan isu perkauman antara kaum Melayu dan Cina telah tercetus melalui rusuhan kaum.

 

Kronologi peristiwa ini bermula berikutan pengumuman mengenai keputusan Pilihan Raya Umum pada 10 Mei 1969. Walaupun parti Perikatan (UMNO, MAC, dan MIC) masih berjaya mengekalkan status sebagai pihak kerajaan namun keputusan PRU kali itu telah memperlihatkan kejatuhan jumlah undian kerana telah gagal memperolehi majoriti 2/3 di parlimen. Pihak pembangkang melihat kejatuhan tersebut sebagai satu kemenangan besar buat mereka kerana berdasarkan keputusan tersebut boleh disimpulkan bahawa makin ramai rakyat yang memihak kepada mereka bukannya kepada parti Perikatan. Kegembiraan atas kemenangan dalam PRU telah mendorong suatu perbuatan yang berlebihan dan tanpa mengambil tahu isu sensitiviti dalam kalangan kaum lain seterusnya menyebabkan pergaduhan terjadi sehingga mengorbankan nyawa.

Peristiwa 13 Mei ini sebenarnya tercetus hasil daripada kealpaan dan kecuaian atau pun mungkin sengaja mencetuskan isu sensitiviti dan provakasi kepada pihak lawan. Dalam masa dua hari antara 11 dan 12 Mei 1969 selepas PRU selesai, parti pembangkang meraikan kemenangan dengan berarak di sekitar bandaraya Kuala Lumpur. Pihak pembangkang yang berarak merupakan sebahagian besar daripada kaum Cina dari parti Tindakan Demokratik dan Gerakan telah mendapatkan premit untuk berarak daripada pihak polis. Semasa berarak, kawasan yang telah ditetapkan telah melencong ke kawasan di mana majoritinya penduduk kaum Melayu iaitu di Kampung Baru. Sebahagian peserta perarakkan yang kebanyakkan kaum cina telah menghina penduduk di situ dan membawa penyapu yang dikatakan sebagai simbol menyapu keluar orang Melayu dari Kuala Lumpur.

 

Perbuatan tersebut berlarutan sehingga 13 Mei dan permohonan maaf daripada Parti Gerakan dianggap sudah terlambat kerana bagaimana mungkin setelah tiga hari barulah diambil tindakan bukannya ingin menghalang daripada perkara tersebut berlaku terlebih dahulu. Kesan daripada itu, Menteri Besar Selangor pada ketika itu iaitu Dato’ Harun Idris telah mengumumkan perarakkan balas meraikan kemenangan UMNO akan dijalankan pada 13 Mei juga iaitu pada pukul 7.30 malam. Kaum Melayu menunjukkan semangat yang tinggi dalam menegakkan maruah dengan berkumpul ramai-ramai seawal 7.30 pagi di hadapan rumah menteri besar Selangor. Semangat yang tinggi juga ditunjukkan oleh kaum Melayu yang berada di luar Kuala Lumpur sehingga sanggup datang ke Kuala Lumpur untuk menyertai perarakkan tersebut.

 

Namun, sikap campur tangan kaum Cina yang berusaha menghalang dengan cara membaling botol kaca dan batu ke arah mereka yang dalam perjalanan ke Kampung Baru telah mencetuskan peristiwa berdarah ini. Dikatakan bermula jam 6.30 petang, kaum Melayu di Kampung Baru bergerak keluar dan menyerang kaum Cina setelah mendapat khabar mengenai pergaduhan yang berlaku kepada orang Melayu yang dalam perjalanan ke Kampung Baru. Serangan antara satu sama lain berlaku sehingga telah berjaya mengorbankan seramai 196 orang. Peristiwa ini telah membuka mata pihak kerajaan dalam memberi tumpuan terhadap perpaduan antara kaum.

Pada malam 16 Mei 1969, negara telah diisytiharkan darurat kesannya, Perlembagaan Persekutuan telah digantung. Pemerintahan secara terus oleh Yang DiPertuan Agong dibawah undang-undang tentera berlaku dan Majlis Gerakan Negara (Mageran) telah dibentuk. Mageran telah membentuk Rukun Negara bagi meningkatkan kefahaman rakyat tentang perlembagaan negara. Selain itu, bagi memastikan seluruh rakyat menikmati kesejahteraan dan kemakmuran selepas PRU 1969 dan Tragedi 13 Mei, kerajaan telah memperkenalkan dasar pembangunan lebih menyeluruh yang dikenali sebagai Dasar Ekonomi Baru (DEB) (Azlizan Mat Enh & Norlilawati Samak, 2020). DEB telah diperkenalkan bagi mewujudkan perpaduan negara dengan mengurangkan perbezaan ekonomi dan membasmi kemiskinan tegar.

 

Pembentukkan Rukun Negara telah menjadi ideologi negara dan setiap warganegara mesti menuruti lima prinsip Rukun Negara. Prinsip-prinsip Rukun Negara adalah kepercayaan kepada tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembangan, kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan. Dengan pegangan yang kuat kepada prinsip Rukun Negara, setiap warganegara akan menghormati perlembagaan negara dan menjaga keharmonian negara. Peristiwa 13 Mei ini juga telah memainkan peranan dalam proses perkembangan Pendidikan Moral di Malaysia kerana telah berjaya membuka mata kerajaan bahawa perpaduan antara kaum yang berlainan ini amat penting dicapai sebelum fokus kepada perkembangan ekonomi negara. Rukun Negara telah menjadi dasar dalam pembentukkan sistem pendidikan dalam meningkatkan nilai perpaduan dalam diri masyarakat Malaysia.

 

 

4.0 LAPORAN JAWATANKUASA KABINET 1979

Penubuhan Laporan Kabinet pada September 1974 yang telah dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah bertujuan untuk mengkaji semula matlamat-matlamat dan keberkesanan sistem pendidikan yang telah digunakan ketika itu. Tun Dr. Mahathir Mohamad pada ketika itu merupakan Menteri Pelajaran. Pada November 1979, Laporan Kabinet 1974 telah dikemukakan dan Jawatankuasa Laporan Kabinet 1974 telah mendapati bahawa terdapat beberapa kelemahan yang dapat menghalang daripada menghasilkan sistem pendidikan yang bermutu.

 

Jawatankuasa Laporan Kabinet 1974 sebenarnya telah dibentuk berikutan berlakunya peristiwa 13 Mei, pembentukan Rukun Negara dan pelancaran Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1970. Hal ini demikian kerana, pihak kerajaan pada waktu tersebut telah terdorong untuk mengkaji semula dasar pendidikan kebangsaan sebelum ini yang kurang menekankan perpaduan negara. Jika dilihat bermula dengan Penyata Razak, Laporan Rahman Talib dan Dasar Pendidikan 1970 secara dasarnyaa hanya menumpukan kepada perpaduan rakyat dan penghasilan tenaga kerja mahir. Oleh sebab itu berlakunya perubahan dalam sistem pendidikan apabila beberapa penambahbaikan telah dibuat dan antaranya ialah penekanan terhadap pembinaan keperibadian insan yang seimbang.

 

Perubahan yang disyorkan dalam sistem pendidikan oleh Jawatankuasa Laporan Kabinet 1974 yang terbahagi kepada empat bahagian iaitu sekolah rendah, sekolah menengah rendah, sekolah menengah atas serta tingkatan 6 dan lain-lain. Antara perubahan untuk sekolah rendah ialah kurikulum dirancang untuk membolehkan pelajar mencapai kemahiran dalam tiga bidang asas iaitu komunikasi, manusia dengan alam sekitar dan perkembangan diri individu, menentukan cara penyediaan guru, susunan bilik darjah dikaji, kenaikan darjah secara automatik, sediakan pendidikan pemulihan serta memperbaiki kaedah mengajar, alat bantu mengajar (ABM) dan peruntukan untuk guru pendidikan pemulihan.

 

Antara perubahan yang disyorkan untuk sekolah menengah rendah ialah pengukuhan pendidikan asas, pendedahan kepada bidang teknik dan vokasional, perhatian khas untuk jurusan perdagangan, cacatan pangkat pencapaian untuk matapelajaran, perkenalkan ujian rujukan kriteria dan pendidikan peralihan serta membaiki dan meningkatkan taraf pendidikan dikawasan yang mundur. Perubahan yang disyorkan untuk sekolah menengah atas pula ialah memansuhkan perjurusan dan mengadakan pendidikan umum, menambahkan bilangan sekolah vokasional, mengkaji set kurikulum pendidikan vokasional, latihan amali di kilang, sistem persijilan terbuka untuk SPM dan SPMV, serta semua layak mengambil SPM.

 

Perubahan yang disyorkan untuk tingkatan 6 dan lain-lain ialah corak pendidikan dikaji dimana pelajar sains diberi pendedahan dengan bidang sastera dan sebaliknya, pelajar melebihi umur diberi dalam bidang teknik dan perdagangan serta sekolah swasta mesti menggunakan kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi memastikan peperiksaan awam yang seragam dapat dijalankan. Perubahan yang disyorkan ini semuanya adalah berdasarkan kepada maklum balas dan kajian yang dilakukan oleh Jawatankuasa Laporan Kabinet 1974. Perubahan tersebut diharapkan dapat meningkatkan lagi mutu pendidikan dalam sistem pendidikan negara.

 

Kesan daripada maklum balas dan laporan daripada Jawatankuasa Laporan Kabinet 1974, Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979 telah dibentuk. Laporan Jawatankuasa Kabinet ini telah dijadikan landasan untuk menggubal dan melaksanakan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) mulai tahun 1983 dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1989 (Saharia Hj. Ismail, 2015). Dalam KBSR, terdapat tiga bidang asas yang dibahagikan iaitu komunikasi, kemanusiaan dengan alam sekitar dan perkembangan diri individu. Bidang komunikasi merupakan bidang utama yang menekankan kemahiran asas iaitu 3M (membaca, menulis dan mengira) yang diterapkan melalui dua matapelajaran iaitu Bahasa (Melayu, Cina, Tamil dan sebagainya) dan Matematik.

 

Bidang kemanusiaan dan alam sekitar pula menekankan aspek nilai-nilai kemanusiaan dan persekitaran serta kompenan kerohanian, nilai dan sikap yang diajar melalui tiga mata pelajaran iaitu Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik. Pelajar Islam diwajibkan untuk mempelajari Pendidikan Islam dan wajib menduduki peperiksaan. Manakala Pendidikan Moral diwajibkan untuk pelajar bukan muslim dan turut diwajibkan menduduki peperiksaan. Pendidikan Sivik yang memfokuskan kepada pengembangan sahsiah diri dalam masyarakat & menjadi warganegara yg baik pula mesti dipelajari oleh semua pelajar dan tiada peperiksaan dilaksanakan.

 

KBSM dilaksanakan untuk peringkat sekolah menengah rendah dan menengah atas. Melalui KBSM, senarai matapelajaran bagi pelajar menengah rendah terbahagi kepada dua iaitu matapelajaran teras (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Matematik, Sains, Sejarah, Geografi, Kemahiran Hidup, Pendidikan Jasmani & Kesihatan dan Pendidikan Sivik) dan matapelajaran tambahan (Bahasa Cina, Bahasa Tamil, arab). Senarai matapelajaran bagi menengah atas pula terbahagi kepada tiga bahagian iaitu matapelajaran teras (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Matematik, Sains, Sejarah, Pendidikan Jasmani & Kesihatan), matapelajaran tambahan (Bahasa Cina, Bahasa Tamil, arab) dan matapelajaran elektif (kemanusiaan, vokasional dan teknologi ).

 

Penggubalan dan melaksanakan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang melibatkan Pendidikan Moral dalam matapelajaran teras untuk pelajar bukan Islam telah memperlihatkan bahawa pihak kerajaan ingin membina dan mengukuhkan nilai-nilai murni dalam diri para pelajar demi memastikan perpaduan negara terjamin dan kemoralan rakyat yang tinggi dapat membantu meningkatkan imej negara dimata masyarakat dunia. Bagi pelajar yang beragama Islam pula diwajibkan untuk mengambil matapelajaran Pendidikan Islam adalah bertujuan untuk meningkatkan lagi pengetahuan dan pengamalan yang optimum bukan sahaja di rumah malah di sekolah. Hal ini kerana, semua suruhan yang terdapat dalam agama Islam adalah ke arah yang positif dan kebaikan untuk penganutnya.bukan sahaja agama Islam yang menyuruh kepada kebaikan malah semua agama lain namun, Pendidikan Islam dijadikan sebagai matapelajaran teras dalam sistem pendidikan kerana majoriti penduduk Malaysia adalah kaum Melayu yang beragama Islam.

 

 

5.0       PENGGUBALAN SUKATAN PELAJARAN PENDIDIKAN MORAL 1976

 

Penggubalan sukatan pelajaran Pendidikan Moral bermula  apabila Jawatankuasa Pendidikan Moral ditubuhkan dan diketuai oleh Ketua Jemaah Nazir Sekolah-Sekolah Persekutuan. Jemaah Nazir Sekolah (JNS) iaitu nama asal Jemaah Nazir Dan Jaminan Kualiti (JNJK), dan sekarang Jemaah Nazir (JN), adalah sebuah badan ikhtisas yang telah ditubuhkan dalam bulan Oktober 1956 atas perakuan Penyata Razak 1956 dan seterusnya diberi pengesahan di bawah Ordinan Pelajaran 1957. Penubuhan sebuah badan pengawalan dalam pendidikan seperti JNS telah disarankan semenjak tahun 1938 oleh sebuah Suruhanjaya Khas berkenaan dengan Dasar Pelajaran Tahun 1952 dan Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956 (Laporan Razak) yang menyokong penubuhan sistem pengawalan khas bagi seluruh negara.

 

Jawatankuasa Pusat Kurikulum  bermesyuarat pada 20 Oktober 1976 dan telah mengambil keputusan untuk memperkenalkan mata pelajaran Pendidikan Moral sebagai satu mata pelajaran dalam kurikulum sekolah bermula dari Darjah 1 hingga ke Tingkatan 5. Pendidikan Moral merupakan mata pelajaran teras bagi murid yang tidak menganut agama Islam di peringkat sekolah rendah mulai tahun 1 hingga tahun 6. Manakala bagi sekolah menengah dari tingkatan 1 hinga tingkatan 5 (Akta Pendidikan 1996 - Akta 550) ms.135. Kurikulum Pendidikan Moral mula diperkenalkan di sekolah rendah pada tahun 1983 iaitu, semasa pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan pada tahun 1989 mata pelajaran ini diperkenalkan di sekolah menengah iaitu, sejajar dengan pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM).

 

Jawatankuasa tersebut telah menyiapkan satu laporan yang memuatkan satu takrif bagi pendidikan moral dalam konteks Malaysia untuk dijadikan rujukan iaitu Pendidikan Moral yang didasarkan kepada agama, tradisi dan nilai-nilai kemanusiaan adalah satu program pendidikan yang formal, juga tidak formal yang ditujukan ke arah perkembangan perwatakan individu supaya dapat memberi kebajikan masyarakat dan negara, selaras dengan prinsip-prinsip Rukun Negara. Jawatankuasa induk ditugaskan untuk mengkaji senarai nilai yang diperolehi daripada Bengkel Pendidikan Moral yang dianjurkan oleh United Nations Educational Scintific and Cultural Organizations, National Institute of Educational Research (UNESCO, NIER), Tokyo Jepun pada tahun 1975.

 

   Laporan kemudiannya diserahkan kepada Jawatankuasa Teknikal Pendidikan Moral yang diurusetiakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1978. Jawankuasa inilah kemudiannya menyediakan satu draf Sukatan Pelajaran Pendidikan Moral bagi sekolah-sekolah di Malaysia dengan menyusun nilai-nilai yang dipilih kepada enam belas nilai utama. Jawatankuasa Pendidikan Akhlak yang ditubuhkan pada tahun 1976 telah meneliti nilai-nilai yang terkandung dalam pelbagai agama yang diamalkan di negara kita, tidak hanya memfokuskan kepada agama Islam sahaja. Berasaskan kepada pandangan dan maklumbalas yang diperolehi , jawatankuasa ini yang dianggotai oleh wakil pelbagai agama telah menerima 16 nilai yang boleh diajar dan diserapkan kepada semua pelajar di negara ini untuk membentuk pelajar yang seimbang dan menyeluruh dari segi kognitif, afektif, psikomotor dan akhlak. Nilai-nilai murni yang dinyatakan seperti baik hati, berdikari, berhemah tinggi, hormat,kasih saying, kebebasan, keadilan, kebersihan mental dan fizikal, kerajinan, keberanian, semangat bermasyarakat, rasional, kejujuran, kerjasama, kesyukuran dan kesederhanaan.

 

 

6.0       PENDIDIKAN MORAL SEBAGAI MATA PELAJARAN RASMI

 

Pendidikan Moral merupakan mata pelajaran teras bagi murid yang tidak menganut agama Islam di peringkat sekolah rendah mulai tahun 1 hingga tahun 6. Manakala bagi sekolah menengah dari tingkatan 1 hinga tingkatan 5 (Akta Pendidikan 1996 - Akta 550) ms.135. Kurikulum Pendidikan Moral mula diperkenalkan di sekolah rendah pada tahun 1983 iaitu, semasa pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan pada tahun 1989 mata pelajaran ini diperkenalkan di sekolah menengah iaitu, sejajar dengan pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM). Sejajar dengan perkembangan kurikulum pendidikan negara, mata pelajaran ini telah disemak semula pada tahun 2003. Semakan ini memberi penekanan dalam aspek pengetahuan, kemahiran dan meningkatkan jati diri agar murid bersedia menghadapi cabaran semasa dan akan datang. Kurikulum semakan ini juga memberi penekanan kepada kandungan teks kurikukum, kaedah penyampaian yang lebih efektif. pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang perlu dipertingkatkan supaya menjadi lebih berkesan bagi memenuhi kehendak negara. Pada tahun 2011 kurikulum pendidikan di Malaysia diperkukuh dan ditambah baik melalui proses transformasi yang dikenali sebagai Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Tahap 1 dan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun satu. Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Tahap II dilaksanakan secara berperingkat mulai Tahun 4 dengan menggunakan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1.

 

                                                       Sumber Rujukan: BPK, KPM (2016)

Rajah 1 Menunjukkan Perkembangan Kurikulum Pendidikan Sekolah Rendah di Malaysia

 

Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) juga diperkukuh dan dikenali sebagai Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang dicadangkan pelaksanaannya secara berperingkat (Rajah 2)

 

                                             Sumber Rujukan: BPK, KPM (2016)

Rajah 2 Menunjukkan Perkembangan Kurikulum Pendidikan Sekolah Menengah di Malaysia

 


 

7.0 PENUTUP

 

Pengenalan dan perkembangan mata pelajaran Pendidikan Moral sebagai mata pelajaran rasmi di sekolah-sekolah di Malaysia telah memperlihatkan usaha pihak kerajaan dalam mengukuhkan perpaduan negara. Tanpa rakyat yang bersatu padu dan mempunyai nilai-nilai murni dalam diri yang tinggi adalah mustahil sesebuah negara dapat berdiri dengan maju. Negara yang sedang atau sudah mencapai kemajuan juga adalah sukar untuk meneruskan dan mengekalkan segala perkara yang telah dicapai sekiranya rakyatnya dan pemimpin hilang kemoralan dan nilai-nilai murni dalam diri. Begitu pentingnya Pendidikan Moral diterapkan dalam pelajaran rakyat yang bukan sahaja dapat menjamin sesebuah negara malah dapat membantu kehidupan seseorang individu dalam mengharungi cabaran kehidupan. 


 

 

 

 

RUJUKAN

 

Abdullah Zhidi Omar (2016). Pengantar Pendidikan Moral. Selangor: Sasbadi Sdn. Bhd.

Abdul Rahman Md. Aroff (2006). Pendidikan Moral Teori Etika Amalam Moral.    Selangor: Penerbit Universiti Putra Malaysia.

Azlizan Mat Enh & Norlilawati Samak. (2020). Peranan akhbar sebagai wadah       komunikasi pemerintah selepas pilihan raya umum 1969. Jurnal Komunikasi:

Malaysian Journal of Communication, 36(1), 1-19. Diperolehi daripada             http://ejournal.ukm.my/mjc/article/view/28994

Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti. (n.d.). Jemaah Nazir. https://www.moe.gov.my/korporat/bahagian-dan-unit/jemaah-nazir

 

Jemaah Nazir. (2019). Panduan Pengurusan Mata Pelajaran Pendidikan Moral. Kementerian Pelajaran Malaysia.

 

Saharia Hj. Ismail. (2015). Pembangunan insan dalam falsafah Pendidikan kebangsaan. Journal of Human Capital Development, 8(2), 83-99. Diperolehi            daripada https://journal.utem.edu.my/index.php/jhcd/article/view/2087/1247

 

 

 

No comments:

Post a Comment

HUBUNGAN ANTARA PENAAKULAAN MORAL, EMOSI MORAL DAN PERLAKUAN MORAL KE ARAH MELAHIRKAN INSAN BERAKHLAK MULIA

    NAMA KURSUS PENDIDIKAN MORAL DI MALAYSIA KOD KURSUS HMS3013 KUMPULAN   ...