TUGASAN INDIVIDU SOALAN 8:
SEKIRANYA ANDA SEORANG PEMIMPIN NEGARA, NYATAKAN EMPAT LANGKAH YANG AKAN ANDA AMBIL UNTUK MEMASTIKAN NEGARA BERADA DALAM KEADAAN AMAN DAN STABIL.
|
NAMA |
NO. MATRIK |
|
1. SYED ABDUL RAHIM BIN SYED ABD RAHMAN |
D20162075902 |
|
2. YUZYLIA AMEERA BINTI MAHROP |
D20171077644 |
KUMPULAN KULIAH: B
PENSYARAH: PUAN ROBE’AH BINTI YUSUF
JUN 2020 SEMESTER 2 SESI 2019/2020
PENGENALAN
Negara yang aman dan stabil merupakan sebuah negara yang diidamkan oleh semua orang. Tiada masyarakat yang tidak menginginkan sebuah negara yang aman dan stabil. Bagi memperoleh sebuah negara yang aman dan stabil, sebuah negara memerlukan seorang pemimpin yang layak untuk mentadbir negara tersebut. Kepimpinan yang berkualiti adalah merupakan teras terpenting dalam menjamin kemantapan dan keberkesanan proses pencapaian misi dan visi yang diinginkan dalam melaksanakan sesuatu perkara. Kepimpinan merupakan antara asas dalam pembentukan dalam sesebuah negara. Kepimpinan memainkan peranan penting dalam usaha membudayakan etika dan integriti di kalangan ahli organisasi. Pemimpin yang dapat memegang amanah dengan baik akan membawa negara ke arah pencapaian misi dan visi. Pemimpin yang mempunyai ciri kepimpinan yang baik dan berkualiti akan berusaha mencari langkah terbaik yang perlu bagi menjadikan negara sebuah negara yang aman dan makmur.
Menurut Muniroh Abdul Rohman (2018), kepimpinan bukan sebuah aktiviti yang bersifat teori tetapi perhubungan keakraban antara pemimpin dengan pengikut. Keberkesanan kepimpinan bergantung kepada pemimpin, pengikut dan sumber situasi. Nor Hasliza Mohamad (2020) pula menyatakan bahawa kepimpinan secara umumnya ditakrifkan sebagai “… satu pengaruh, cara bertindak atau proses mempengaruhi manusia dengan itu mereka berusaha secara sukarela terhadap pencapaian segala matlamat kelompok. Sama seperti Muniroh, Nor Hasliza berpendapat bahawa kepimpinan memerlukan dua pihak iaitu pemimpin dan pengikut. Kepimpinan merupakan sebuah proses interaksi di antara individu dengan kumpulan atau khususnya di antara individu dengan keseluruhan ahli-ahli yang menganggotai kumpulan.
PERBINCANGAN
Sekiranya saya dipilih menjadi seorang pemimpin negara, terdapat beberapa langkah yang akan dilaksanakan bagi memastikan negara menjadi sebuah negara yang aman dan stabil. Langkah pertama yang akan diambil adalah dengan membentuk dan dasar luar negara. Dasar luar merupakan dasar kerajaan terhadap negara-negara lain. Menurut Kementerian Luar Negeri, dasar luar didefinisikan sebagai matlamat, rancangan dan tindakan yang dijalankan oleh sesebuah negara dalam usaha berhubung dengan
sesebuah negara yang lain. Dalam pengertian yang terhad, dasar luar negara hanya mementingkan aspek tindakan yang diambil oleh sesebuah negara bagi mempengaruhi keadaan-keadaan yang berada di luar bidang kuasanya. Menurut penyataan mantan Menteri Luar Negeri, Dato Seri Syed Hamid Albar, terdapat beberapa objektif utama dasar luar negara Malaysia. Antaranya adalah menjaga, mempertahankan dan memajukan kepentingan-kepentingan Malaysia di peringkat global, menjaga dan mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan dan keselamatan Malaysia seterusnya mempertahankan prinsip menghormati kemerdekaan dan kedaulatan sesebuah wilayah melalui dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal dan masalah dalaman negara dan yang terakhir adalah untuk menangani perkembangan dan cabaran politik, ekonomi, keselamatan dan sosial di pentas dunia. Selain itu, dasar ini membantu negara untuk memupuk hubungan yang baik dengan negara-negara lain.
Keperluan dasar luar sebagai salah satu langkah bagi mencapai keamanan dan kestabilan dapat dilihat melalui pemerintahan perdana-perdana menteri yang lepas. Dasar luar dilihat sebagai satu benda yang penting bagi membentuk hubungan dengan negara-negara luar seterusnya meluaskan pengaruh negara. Pada zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman, beliau telah dilantik sebagai perdana menteri dan juga Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Menurut kajian yang dilaksanakan oleh Nor Azizan Idris mengenai dasar luar semasa pemerintahan Tunku Abdul Rahman, dasar luar semasa pemerintahan beliau telah mencerminkan keperibadian dan prinsip Tunku sendiri. Dasar Luar semasa pemerintahan Tunku Abdul Rahman dilihat anti-komunis, pro-Barat, anti- apartheid dan sangat mengutamakan kerjasama serantau di Asia Tenggara. Perkara tersebut telah menyebabkan Malaysia pada ketika itu mempunyai hubungan yang baik dengan negara-negara jiran di Asia Tenggara.
Kepentingan dasar luar dapat dilihat semasa pemerintahan Tun Hussein Onn. Faridah Jaafar (2017) menyatakan bahawa semasa negara di bawah pemerintahan Tun Hussein Onn, beliau tidak menunjukkan perubahan yang drastik dalam dasar luar negara semasa pemerintahannya. Namun begitu, beliau sangat mementingkan kestabilan politik dalam negeri dan perkara tersebut mendorong beliau di dalam dasar luar Malaysia untuk meluaskan konsep kestabilan politik di peringkat serantau. Tun Hussein Onn sangat mementingkan nila-nilai kerjasama serantau. Beliau mengangkat ASEAN sebagai wahana yang paling penting bagi mengukuhkan kerjasama serantau. Hal ini demikian
kerana bagi Tun Hussein Onn, kerjasama di dalam kerangka ASEAN akan membibitkan benih kestabilan politik di peringkat serantau yang akhirnya akan memunculkan kestabilan politik dalam negara masing-masing. Selain politik, beliau juga menitikberatkan aspek pertahanan negara. Disebabkan mempunyai dan merasai sendiri pengalaman negara darurat, Tun Hussein Onn mementingkan keamanan serantau agar pihak komunis tidak berpeluang melebarkan pengaruhnya. Perkara tersebut telah menjadi faktor pemangkin Tun Hussein Onn mewujudkan kerjasama pertahanan dengan Thailand. Sikap Tun Hussein Onn yang mementingkan keamanan negara menyebabkan beliau melaksanakan program keselamatan dan keamanan negara seterusnya merapatkan hubungan dengan beberapa buah negara seperti SRV (Vietnam), China dan Thailand.
Semasa pemerintahan Tun Dr Mahathir, dasar luar dilihat mengalami perubahan yang ketara khususnya dari segi pembangunan dan ekonomi. Salah satu perubahan yang paling nyata adalah apabila role-model Malaysia yang sebelum ini merupakan Barat berubah kepada Timur. Pemerintahan Tun Dr Mahathir membawa perubahan yang besar dalam Malaysia dan dasar luar malaysia memainkan peranan dalam perubahan tersebut. Antara contoh kesan daripada dasar luar semasa pemerintahan Tun Dr Mahathir adalah hubungan dua hala dengan negara Afrika, Amerika Latin dan Eropah Timur iaitu merangkumi bidang perdagangan, pelaburan dan pemindahan teknologi. Banyak lagi perubahan yang telah berlaku akibat daripada dasar luar semasa pemerintahan Tun Dr Mahathir namun secara jelasnya, Dasar Luar merupakan satu perkara yang penting bagi membantu negara untuk maju dan mempunyai hubungan yang baik dengan negara-negara lain. Perkongsian ilmu dapat dilakukan dan secara amnya, tahap kemodenan juga bertambah.
Selain dasar luar, langkah seterusnya adalah dengan menjadi pemimpin yang berpandangan jauh. Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4 (2016), istilah berpandangan jauh membawa maksud kebolehan menjangka sama ada keperluan, masalah atau perkembagan yang akan datang atau timbul. Dengan memiliki kebolehan tersebut, seseorang individu dapat membuat perancangan yang rapi untuk jangka waktu yang panjang. Sesuatu keputusan yang dibuat tidak hanya memberi kesan dalam masa yang singkat tetapi berkekalan. Berpandangan jauh membolehkan sesebuah negara mencapai tahap kemajuan yang diingini dan membolehkan seseorang pemimpin untuk merangka
strategi-strategi yang perlu untuk membentuk sesebuah negara yang aman dan stabil. Pemimpin yang berpandangan jauh juga akan mampu membawa negara ke aras kestabilan ekonomi, politik dan juga sosial. Bukti berpandangan jauh sebagai satu langkah untuk menjadikan negara aman dan stabil dapat dilihat dalam beberapa orang tokoh pemimpin.
Contoh yang paling dekat ialah Nabi Muhammada SAW. Baginda merupakan seorang pemimpin yang berpandangan jauh. Buktinya, penghijrahan umat Islam ke Madinah telah dirancang dengan sangat teliti dan mengambil kira banyak aspek. Bukti baginda sebagai pemimpin yang berpandangan jauh adalah apabila baginda menandatangani Perjanjian Hudaibiyyah. Hal ini demikian kerana, melalui perjanjian tersebut, ia menjadi mukadimah atau permulaan ke arah pembukaan semula kota Mekah kepada orang Islam. Perkara tersebut telah membolehkan umat Islam mengerjakan ibadat Haji dan Ummah sehinggalah sekarang. Melalui perjanjian tersebut juga, orang Quraisy mengiktiraf kekuatan umat Islam dan mereka tidak lagi berupaya untuk menentang umat Islam. Sikap kepimpinan baginda yang berpandangan jauh telah membuka peluang yang besar kepada umat Islam bukan sahaja pada zaman baginda, namun sehingga ke hari ini.
Tokoh pemimpin Islam seterusnya yang dapat kita lihat mempunyai pandangan yang jauh ialah Saidina Umar al-Khattab. Semasa pemerintahan Saidina Umar, bidang pentadbiran dan kewangan mengalami penambahbaikan. Hal ini demikian kerana, sikap Saidina Umar sebagai pemimpin yang berpandangan jauh, beliau telah menjadi orang yang pertama menubuhkan ‘diwan’ atau juga dikenali sebagai jabatan. Beliau juga telah mengasas takwim hijrah yang digunakan oleh semua umat Islam di seluruh dunia sehinggalah ke hari ini. Melalui takwim hijrah tersebut, tarikh-tarikh Islam semakin mudah diingati dan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam bulan Islam dapat dicatat.
Pemimpin yang dapat dilihat mempunyai pandangan jauh yang seterusnya ialah Tun Dr Mahathir. Tidak dapat disangkal bahawa semasa pemerintahan beliau, banyak perubahan drastik dapat dilihat berlaku pada Malaysia. Beliau yang digelar sebagai Bapa Kemodenan telah membantu mengangkat Malaysia di mata dunia. Melalui huraian yang telah dilakukan sebelum ini dapat kita lihat bahawa Tun Dr Mahathir sememangnya seorang pemimpin yang berpandangan jauh. Antara huraian lain yang
boleh menjadi bukti yang Tun Dr Mahathir merupakan seorang pemimpin yang berpandangan jauh adalah dengan penubuhan Menara Berkembar Petronas, Menara berkembar tertinggi di dunia dan Menara ke-17 tertinggi di dunia secara keseluruhan. Penubuhan menara tersebut menjadi bukti bahawa ekonomi negara Malaysia sedang berkembang dan Malaysia dapat bersaing dengan negara-negara maju yang lain. Selain itu, penubuhan menara tersebut telah menjadi salah satu tarikan utama pelancong untuk luar negara datang ke Malaysia. Malaysia telah mengalami arus kemodenan yang pantas hasil daripada pemikiran beliau yang berpandangan jauh. Projek mega yang dijalankan oleh Tun Dr Mahathir yang lain ialah Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Lapangan Terbang Antarangbangsa Kuala Lumpur (KLIA), Koridor Raya Multimedia dan Litar Sepang. Kemajuan dan kemodenan hasil daripada pemikiran Tun Dr Mahathir telah membantu Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang mengikuti arus permodenan dunia seterusnya memperoleh kestabilan ekonomi. Jadi, sudah jelaslah bahawa seorang pemimpin yang berpandangan jauh akan mampu membawa negara di bawah pemerintahannya menjadi sebuah negara yang aman dan makmur. Dengan mengambil kira kesan daripada sesuatu keputusan itu untuk masa hadapan dan dalam jangka masa yang panjang, ia akan membawa kesan yang positif kepada negara.
Ketiga, mempraktikkan prinsip kepimpinan berasaskan keadilan dalam politik negara. Hal ini kerana, salah satu faktor yang berpotensi menyumbang kepada politik organisasi yang berkesan adalah keadilan organisasi (Kacmar et al. 2013; Colquitt et al. 2013; Kimura 2013). Tambahan pula, kepimpinan berfungsi sebagai pemboleh ubah perantara dalam menghubungkan atau menguatkan keadilan organisasi dan politik organisasi. (Khan et al. 2015). Maka, sebagai seorang pemimpin negara Malaysia yang mempunyai rakyat yang berbilang bangsa seperti bangsa melayu, bangsa cina, bangsa india dan lain-lain haruslah menitikberatkan tentang keadilan sosial di mana keadilan sosial merupakan teras penting dalam memastikan keselamatan negara. Hal ini kerana, perlindungan hak asasi manusia bagi setiap rakyat Malaysia adalah selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang antarabangsa yang dianggotai (dengan reservasi) oleh Malaysia. Tambahan pula, nilai teras ini mestilah dipertahankan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dengan mengambilkira taraf kemajuan sosio-ekonomi kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Secara tidak langsung, kesejahteraan, kebajikan dan hak-hak rakyat Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan akan dilindungi dan terjamin. Pemimpin negara juga
haruslah memupuk dan memantapkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia kerana “perpaduan kaum asas kejayaan, keamanan dan kestabilan negara”.
Kestabilan sosio-politik dapat dicapai jika pemimpin mengamalkan gaya kepimpinan yang adil. Prinsip keadilan dalam diri seorang pemimpin sangat penting dalam mewujudkan suasana aman dan harmoni dalam kalangan rakyat Malaysia yang berlandaskan kepada demokrasi berparlimen, Raja Berperlembagaan, kedaulatan undang-undang, keluhuran Perlembagaan, menghormati dan menjamin hak-hak asasi rakyat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. Secara tidak langsung, pemimpin dapat memastikan keamanan dan kestabilan negara tanpa mengira fahaman politik, agama, etnik, asal usul dan status sosial. Kepimpinan yang adil juga dapat memupuk kesepaduan Nasional di mana negara Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai etnik, budaya dan agama. Hal ini demikian, kesepaduan nasional merupakan teras kekuatan dan keselamatan negara yang terhasil melalui ikatan perpaduan dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia. Pemimpin yang berteraskan kepada prinsip keadilan juga dapat memupuk perpaduan dan kesatuan rakyat pelbagai kaum untuk hidup saling faham memahami, bertoleransi, menerima kepelbagaian antara satu sama lain dan memahami kontrak sosial yang menjadi tunjang kesepaduan rakyat Malaysia dan menghormati hak-hak asasi manusia berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan. Secara tidak langsung, pemimpin dapat mengekalkan keamanan dalam negara.
Keempat, meningkatkan keamanan dan sistem pertahanan negara. Hal ini kerana menurut Monica Gariup, (2017), keselamatan sebagai dasar kerajaan untuk mewujudkan keadaan aman yang melindungi kepentingan utama negara daripada ancaman musuh. Manakala menurut Satish Chandra dan Rahul Bhonsle (2015), keselamatan negara berperanan penting dalam mempertahankan nilai-nilai kemerdekaan, kedaulatan dan menentukan keselamatan rakyat agar berada ditahap yang selesa dalam erti kata lain hidup dalam suasana yang harmoni dan aman damai. Maka, sebagai pemimpin negara perlulah berusaha dalam membangunkan dan memantapkan industri pertahanan tempatan. Sebagai contoh dalam jurnal “Kepentingan Industri Pertahanan Malaysia Kepada Keselamatan Negara” yang dikarang oleh Mohamed Fajil Abd. Batau, Nazariah Osman, Mohamad Faisol Keling dari Universiti Utara Malaysia (UUM). Kerjaaan telah meningkatkan sistem pertahanan negara seperti Majlis Industri
Pertahanan Malaysia (MIPM), Penguatkuasaan dan Keselamatan (MIDES) bagi mengawal selia perkembangan industri yang strategik ini. Secara dasarnya, industri pertahanan membentuk sebahagian kemampuan pertahanan dalam menjaga keselamatan negara. Sesebuah negara yang memiliki industri pertahanan yang maju dapat menyumbang bukan sahaja kepada keselamatan negara itu sendiri malah ianya mampu membangunkan sosio-ekonomi sesebuah negara serta ianya juga mampu menyediakan struktur dan perkhidmatan sokongan yang sangat mempengaruhi kesediaan operasi bagi sesebuah angkatan tentera. Secara rasionalnya, salah satu faktor utama adala industri pertahanan sesebuah negara dibangunkan kerana keperluan kepada keselamatan negara. Keupayaan aset pertahanan yang cekap membolehkan sistem pertahanan akan lebih mantap dan sekaligus dapat menjaga keselamatan negara secara efisien.
Melalui peningkatan sistem pertahanan negara, pemimipin dapat mentadbir dan mengurus negara dengan baik dalam keselamatan negara. Ini kerana tadbir urus yang baik akan membolehkan sesebuah negara tersebut dapat melaksanakan dasar-dasar yang digubal, mengurus sumber-sumber negara dengan cekap dan berkesan, mendapat pengiktirafan antarabangsa dan memenuhi ekspektasi rakyat. Pemimpin juga dapat meningkatkan perkembangan idea dan persekitaran keselamatan dunia menyaksikan perubahan daripada pendekatan keselamatan berpaksikan negara (state centric security) kepada pendekatan keselamatan berpaksikan insan (people centric security). Hal ini kerana kesejahteraan, kebajikan dan hak-hak rakyat Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan, perlu dilindungi dan dijamin oleh Kerajaan.
Perbincangan lanjut mengenai langkah untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan negara:
Terdapat pelbagai langkah untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan negara. Yang pertama, meningkatkan kawalan dan pengawasan sempadan secara bersepadu dan berterusan. Bagi mengelakkan masalah kebolosan dan penyeludupan, kawalan sempadan negara perlu dipertingkatkan. Usaha perlu dipergiat bagi meningkatkan kawalan dan pengawasan sempadan secara bersepadu dan berterusan. Antara langkah yang perlu diambil ialah dengan menambah baik infrastruktur, meningkatkan penggunaan teknologi selain memperkukuhkan penguatkuasaan antara agensi secara lebih bersepadu.
Kedua, memperkasakan keupayaan perisikan dan penguatkuasaan jenayah rentas sempadan. Jenayah rentas sempadan seperti pencerobohan, penyeludupan dan pemerdagangan manusia memberi impak jangka panjang yang boleh menggugat kedaulatan dan keselamatan negara. Isu ini sekiranya tidak dibendung akan menjejaskan imej negara di mata dunia dan meningkatkan risiko keselamatan. Kawalan sempadan negara perlu diperkukuhkan termasuk melalui peningkatan keupayaan dan perkongsian perisikan yang boleh membantu memantapkan pemantauan, pengawasan dan penguatkuasaan secara lebih efektif.
Ketiga, memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang keselamatan sempadan negara. Undang-undang berkaitan keselamatan sempadan negara digubal bagi mengawal segala aktiviti di pintu masuk dan sempadan negara. Penguatkuasaan undang- undang keselamatan sempadan perlu sentiasa diperkukuh dan ditambah baik termasuk menilai semula keperluan infrastruktur, aset dan anggota penguatkuasa berdasarkan kesesuaian.
Keempat, mewujudkan sistem pengurusan warga asing yang menyeluruh. Sistem pengurusan warga asing sewajarnya bercirikan sistem yang bersepadu, kurang berisiko untuk dikompromi dan kompetitif dari segi kos. Sistem yang komprehensif dan berintegriti berasaskan teknologi terkini amat penting bagi memastikan pengurusan warga asing yang cekap, telus dan berkesan.
Manakala, terdapat juga pelbagai usaha pencegahan, pembanterasan dan penguatkuasaan keselamatan perlu dilaksanakan secara adil dan saksama berdasarkan kedaulatan undang-undang dalam menjaga aspek keselamatan dan ketenteraman awam demi kesejahteraan rakyat yang lebih baik. Yang pertama, menangani Jenayah, Ekstremisme, Keganasan, Aktiviti Espionaj dan Jenayah Siber. Langkah membanteras jenayah, ekstremisme, keganasan, aktiviti espionaj dan jenayah siber melalui pelbagai program yang bersesuaian secara bersepadu perlu dilaksanakan mengikut senario ancaman keselamatan semasa. Penglibatan sektor swasta dan orang awam adalah kritikal untuk bersama-sama ke arah usaha pencegahan jenayah sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat.
Kedua, membanteras penyebaran elemen, fahaman dan gerakan yang bercanggah dengan sosiobudaya tempatan dan mengancam ketenteraman awam serta perpaduan nasional. Sebagai sebuah negara majmuk terdiri daripada pelbagai bangsa, budaya dan agama, perpaduan nasional merupakan prasyarat kritikal kepada kemakmuran negara. Penyebaran elemen, fahaman dan gerakan yang bercanggah dengan sosiobudaya tempatan dan mengancam ketenteraman awam serta perpaduan nasional wajar dibendung demi kesejahteraan bersama.
Ketiga, meningkatkan keberkesanan program rehabilitasi dan koreksional jenayah. Sistem kepenjaraan di negara ini telah berkembang daripada konsep menghukum kepada konsep rehabilitasi dan koreksional jenayah. Penjara kini merupakan institusi pembangunan atau pembentukan semula insan dengan memberi tumpuan kepada aspek pembangunan kemahiran termasuk dengan penglibatan komuniti dan industri.
Keempat, memastikan aktiviti persatuan, pertubuhan dan kesatuan adalah teratur mengikut undang-undang yang ditetapkan. Pertumbuhan dan perkembangan pertubuhan perlu dipantau supaya ianya sihat, teratur dan tidak bercanggah dengan kehendak- kehendak keamanan, kebajikan, keselamatan, ketenteraman awam dan sosiobudaya tempatan. Usaha-usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi memupuk semangat berpersatuan ke arah kesejahteraan komuniti termasuk dalam aspek meningkatkan tahap keselamatan setempat.
Kelima, memastikan rekod pendaftaran warganegara dan penduduk sentiasa dikemaskini dan teratur. Sistem pendaftaran rekod pengenalan diri penduduk yang teratur, komprehensif, tepat dan terkini dapat membantu pihak Kerajaan dalam menggubal dasar, merancang dan melaksanakan program pembangunan yang lebih tersusun serta efektif. Inisiatif berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan pengurusan rekod pengenalan diri yang sahih dan terpelihara demi keselamatan negara.
Keenam, memupuk jati diri, semangat patriotisme, dan kesukarelawan dalam kalangan rakyat. Nilai etika dan moral yang teguh adalah penting dalam membina masyarakat yang progresif dan bersatu padu. Ciri-ciri unggul dalam 5 prinsip Rukun Negara khususnya penghayatan beragama dan penerapan nilai-nilai murni wajar terus
dipupuk sebagai asas pembangunan masyarakat yang berperibadi unggul, prihatin dan patriotik.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, kepentingan mengekalkan keamanan dan kestabilan negara merupakan perkara yang amat mustahak pada sesebuah negara. Negara yang aman dan damai dapat menjamin kebahagiaan dan keselamatan rakyatnya. Tidak dinafikan, pemimpin negara berperanan penting dalam aspek keamanan dan kestabilan negara. Ketua negara juga memainkan peranan utama untuk memelihara sistem pemerintahan dan pentadbiran. Namun, pelbagai pihak haruslah berganding bahu bagai aur dengan tebing dalam memastkan dan memantapkan keamanan dan kestabilan negara kerana “Bersatu Teguh, Bercerai Roboh”. Pelbagai pihak juga haruslah bekerjasama untuk menghadapi apa jua cabaran dalam negara dan sentiasa memastikan wujudnya perpaduan dalam kalangan rakyat. Perpaduan adalah amat penting dalam sesebuah negara untuk menjamin kedamaian dalam kalangan rakyat. Oleh itu, kita haruslah bekerjasama mengekalkan perpaduan di negara kita untuk kebaikan semua.
RUJUKAN
Ahmadi, Sidiq. (2015). Perjanjian Hudaibiyah Sebagai Model Kepatuhan Terhadap Perjanjian Internasional dalam Perspektif Islam. Jurnal Hubungan Internasional. 4. 162-170. 10.18196/hi.2015.0076.162-170.
Colquitt, J.A., Rodell, J.B., Zapata, C.D., Scott, B.A., Long, D.M., Conlon, D.E. & Wesson, M.J. (2013). Justice at the millennium, a decade later: A meta-analytic test of social exchange and affect-based perspectives. Journal of Applied Psychology 98(2): 199-236.
Faridah Jaafar. (2017). Peribadi politik Tun Hussein dan Dasar Luar Malaysia 1970- 1981. Jurnal Sejarah.
Kacmar, K.M., Andrews, M.C., Harris, K.J. & Tepper, B.J. (2013). Ethical leadership and subordinate outcomes: The mediating role of organizational politics and the moderating role of political skill. Journal of Business Ethic 115: 33-44.
Kamus Dewan Edisi Keempat. (2016). Dewan Bahasa dan Pustaka.
Khan, K., Abbas, M., Gul, A. & Raja, U. (2015). Organizational justice and job outcomes: Moderating role of Islamic work ethic. Journal of Business Ethics 126: 235-246.
Kimura, T. (2013). The moderating effects of political skill and leader-member exchange on the relationship between organizational politics and affective commitment. Journal of Business Ethics 116(3): 587-599.
Monica Gariup, (2017). European Security Culture: Language, Theory, Policy, Taylor & Francis Muniroh Abdul Rahman (2018). Kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad di Malaysia (1981-2003). Universiti Utara Malaysia.
Nor Azizan Idris. (1990). Peranan dan pengaruh Tun Abdul Rahman dalam sejarah dasar luar negara: Tahun-tahun awal. Jebat 18.
Nor Hasliza Mohamad Yahaya. (2020). Kepimpin dalam pengurusan awam: Kepimpinan Aminudin Baki.
Rozita Ibrahim, Muhammad Rahimi Hasan & Bahiyah Abdul hamid. (2018). Takrif kepimpinan, ciri-ciri pemimpin dan motivasi untuk memimpin menurut sudut pandang pemimpin wanita akar umbi. Jurnal Pengajian Umum Asia tenggara 19 (2018): 28-42.
Satish Chandra & Rahul Bhonsle (2015). National Security: Concept, Measurement and Management, Strategic Analysis, 39:4, 337-359,
No comments:
Post a Comment