Wednesday, June 10, 2020

TUGASAN 2. TAJUK NO.6: “MORAL IS CAUGHT NOT TAUGHT”. PERNYATAAN INI MERUJUK KEPADA MAKNA DAN CARA TERBAIK UNTUK MENANAM NILAI KEPADA MURID ADALAH SECARA TIDAK LANGSUNG.

TAJUK NO.6:

“MORAL IS CAUGHT NOT TAUGHT”. PERNYATAAN INI MERUJUK KEPADA MAKNA DAN CARA TERBAIK UNTUK MENANAM NILAI KEPADA MURID ADALAH SECARA TIDAK LANGSUNG. BINCANGKAN EMPAT (4) STRATEGI PENINGKATAN DAN PENGHAYATAN NILAI KEPADA PARA PELAJAR YANG MENGAMBIL MATA PELAJARAN PENDIDIKAN MORAL.

 

NAMA PELAJAR

NO. MATRIK

SAMSON KIDAU ANAK DZRANDIDI DESSON

D20181081575

CELINE ANAK DESTAN

D20181081595

 

 

 

!.0        PENGENALAN

Sistem negara memberi penumpuan terhadap mewujudkan insan yang baik dan berusaha sama dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek berlandaskan apa yang tercatat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pendidikan tidak akan bermakna dan sempurna tanpa penerapan nilai murni (Zakaria Kasa, Abdul Rahman Md. Aroff, Abdul Majid Mohd Isa, Rahil Hj. Mahyuddin, 1996; Wan Mohd. Zahid Mohd Noordin, 1994). Penekanan terhadap pelaksanaan kurikulum baru sekolah rendah (KBSR) mula diberi perhatian yang serius. Penerapan nilai dalam pengajaran dan pembelajaran merupakan salah satu cabaran untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang tahun 2020 iaitu melahirkan masyarakat yang berakhlak. Nilai-nilai dapat dipupuk secara formal dan tidak formal. Pemupukan nilai murni dan sahsiah individu yang positif secara tidak formal ialah peranan penting yang dimainkan oleh masyarakat dan anggota keluarga.

Program Pendidikan Moral di Malaysia bertujuan untuk membina individu yang menyeluruh dan seimbang, yang berupaya membuat pertimbangan dan penilaian dengan menggunakan akal, berperasaan dan bertingkah laku moral. Namun, seperti yang dikemukakan oleh Straughan (1988) masalah paling besar yang dihadapi oleh Pendidikan Moral ialah “terdapat jurang antara penaakulan moral dengan tingkah laku moral”, iaitu nilai-nilai yang dipelajari oleh pelajar tidak berjaya diaplikasikan dalam kehidupan mereka sehinggakan ianya telah menjadi satu kebiasaan.

Di peringkat nasional, peranan dan peri pentingnya nilai dan amalan murni dalam kalangan masyarakat Malaysia amatlah diutamakan. Oleh sebab itu, tidak hairanlah dalam 9 Cabaran Wawasan 2020 yang dibentangkan oleh mantan Perdana Menteri yang Kelima, Tun Dr. Mahathir Bin Mohammad pada 28 Februari 1991 di Majlis Perdagangan Malaysia, telah termaktub salah satu cabarannya iaitu sebagai mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didukung oleh nilai dan etika paling tinggi. Ini membuktikan bahawa, walaupun negara Malaysia akan melangkah ke arah negara maju iaitu Wawasan 2020, penerapan nilai murni dan amalan nilai yang lain tidak diabaikan sama sekali. Ini bermakna, walaupun sesebuah negara itu merupakan negara yang maju, amalan nilai murni dalam masyarakat akan terus memberi kepada kesejahteraan dan keutuhan negara agar kemajuan yang dikecapi akan diiringi dengan masyarakat yang tinggi nilai murni dan akhlaknya.

 

 

 

2.0       PERANAN SEKOLAH DAN GURU

Setiap strategi yang menerapkan nilai-nilai murni yang dilaksanakan oleh pihak sekolah haruslah dapat meningkatkan tahap penghayatan nilai-nilai murni dalam diri pelajar dan seterusnya dapat membina disiplin dalam diri agar tidak melakukan sebarang kesalahan yang bertentangan dengan nilai-nilai murni yang telah dipraktikkan. Penjiwaan nilai-nilai murni ini akan dapat membina kehalusan jiwa dan seterusnya akan dapat mengekspresikan peribadi seseorang pelajar yang lebih berdisiplin dan seimbang.

Abd Rahim Abd Rashid (200 I) juga menjelaskan pendidikan dan persekolahan perlu memainkan peranan yang berkesan bagi menyemai dan menanamkan nilai-nilai murni sebagai langkah membina dan mewujudkan masyarakat yang mempunyai kualiti moral, sosial dan kerohanian. Tanggungjawab bagi mendidik dan memupuk nilai-nilai murni tidak boleh diambil ringan. Nilai-Nilai murni perlu menjadi agenda utama dalam pembangunan negara, pembangunan pendidikan, penggubalan dan pelaksanaan kurikulum, polisi dan dasar pembangunan sekolah dan mencorakkan peranan dan tanggungjawab guru (Abd. Rashid Abd Rahim, 2001 ).

Matlamat mata pelajaran yang diajar penting untuk mencapai pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Pembentukan murid yang boleh berfikir secara kritis dan penyumpang kepada kejayaan murid dapat memberi kesan dalam pengajaran (Golob, 2012; Stronge, 2013). Dalam pada itu, faktor guru merupakan pendorong  kedua (Hattie,2003) kerana keberkesanan pengajaran dan pembelajaran guru amat berkait rapat dengan murid (Strong, 2013). Menurut Mohd Ismail (2006), guru memang boleh membawa perubahan ke arah tingkah laku yang baik kepada pelajar walaupun ada kalanya mereka kurang berjaya. Ramai pelajar berusaha untuk belajar dengan baik, bertanggungjawab dan mematuhi peraturan sekolah sebaliknya hanya segelintir sahaja yang melakukan kesalahan. Para pendidik memang menyedari bahawa mereka perlu menggunakan pendekatan yang mesra berbanding dengan menggunakan kekerasan.

Menurut Galajda (2012) sebagai pemudahcara guru bukan lagi orang utama dalam proses pembelajaran sebaliknya menjadi sebahagian daripada anggota yang mewujudkan bilik darjah yang kondusif. Untuk itu, guru perlu memainkan peranan sebagai penggerak dan pembimbing kepada kumpulannya, mewujudkan suasana perbincangan yang menggalakkan dan berjalan lancar, menyediakan maklumat bila perlu dan bertindak sebagai role model kepada ahlinya (Zuraidah, 2005). Dalam membantu ahlinya, proses pertukaran idea berasaskan keilmuan akan berlaku di samping membantu ahlinya menyelesaikan masalah yang dihadapi (Ortquist-Ahrens dan Torosyan (t.t). Oleh itu, guru berperanan mempermudahkan pelajarnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara berkesan.

Peranan guru bagi memotivasikan pelajar adalah penting kerana pelajar lebih mudah menerima pelajaran, membuatkan pelajar seronok untuk belajar serta dapat menerap sikap ingin belajar yang lebih baik (Rubio, 2009). Oleh itu, guru yang berkesan merupakan guru yang gigih memotivasikan pelajarnya dan melibatkan diri dalam pembelajaran pelajar dalam kelas (Rubio, 2009). Dailey (2009) menjelaskan motivasi merupakan faktor terpenting seseorang untuk belajar. Sehubungan dengan itu, Dailey (2009) mengketengahkan empat faktor utama memotivasikan seseorang dalam pembelajaran iaitu kesediaan guru untuk bersama dalam kelompok pembelajaran berkenaan, mewujudkan keseronokan untuk belajar, mewujudkan suasana yang berbentuk instrumental seperti seseorang kelihatan canggih, terpelajar dan seiring dengan kemajuan global dan memenuhi tuntutan faktor luaran seperti memenuhi kehendak ibu bapa, untuk mendapatkan sesuatu ganjaran ataupun mengejar sesuatu matlamat.

 

3.0       PERANAN IBU BAPA

Ibu dan bapa sebagai tulang belakang dalam rumah tangga mestilah sentiasa memelihara kebahagiaan tali percintaan mereka. Mereka perlu sentiasa ingat bahawa tugas mendidik dan mengajar anak-anak adalah perkara yang amat sukar. Namun semuanya akan berhasil dilaksanakan dengan kekuatan cinta dan tidak meyimpang dari garis kebenaran yang telah ditetapkan oleh agama masing-masing. Perlu diingatkan bahawa kelakuan dan peribadi anak-anak di masa hadapan banyak bergantung kepada darah keturunan dan pendidikan yang diterimanya hari ini.

Pendidikan anak-anak di rumah menjadi dasar utama pendidikan sebelum memasuki alam persekolahan. Sekiranya pendidikan dasar ini tidak kukuh, pendidikan di sekolah pun akan kurang manfaatnya. Untuk menjadi pendidikan jiwa yang berjaya, ibu dan bapa seharusnya memiliki ilmu pengetahuan bagi memastikan anak-anak mereka sentiasa berjaya dan maju ke hadapan. Dalam usaha menerap kesedaran pendidikan ini, ibu bapa juga perlu terlebih dahulu mengkaji dan melihat semula suasana pembelajaran yang telah disediakan kepada anak-anak di rumah. Mendidik jiwa ini bererti menanam adab atau pokok kesucian batin ke dalam hati anak-anak. Proses pendidikan jiwa ini juga memerlukan masa yang panjang dan berterusan. Hasil yang diinginkan juga tidak dapat dilihat dalam tempoh masa yang singkat.

Proses pembelajaran menjadi lebih berkesan melalui pengalaman. Ianya merupakan satu kaedah yang baik kerana sikap akan terbentuk melalui kematangan. Dengan melatih anak-anak untuk menerapkan sifat-sifat mulia, anak-anak akan menjadikan ia satu tabiat di masa hadapan. Tambahan pula, perkembangan akhlak terbentuk melalui sikap yang berulang-ulang sejak kecil (Siti Nurlina Muhamad et al., 2012; Musa, 2010), contohnya anak-anak yang belajar untuk mengulangi sikap jujur dan baik hati akan bersikap jujur dan baik hati apabila mereka meningkat dewasa.

Anak-anak perlu diberikan didikan sejak kecil lagi. Sepanjang proses pengamalan sikap dan nilai-nilai murni, ibu bapa memainkan peranan yang besar untuk membentuk akhlak mulia melalui sikap yang berulang-ulang. Anak-anak perlu dibiasakan untuk berakhlak baik, bersopan santun dan bergaul bersama orang lain (Abdullah Nasih Ulwan, 1998). Hal ini kerana, sikap yang dibina baik sejak kecil akan menghasilkan kemahiran pengaturan kendiri yang mantap apabila meningkat dewasa. Tambahan pula, peranan ibu bapa semakin berkurangan apabila anak-anak mula memasuki sekolah menengah. Seperti contoh, apabila anak-anak meningkat dewasa, mereka dijangkakan akan dapat mengatur sendiri sikap mereka terhadap pembelajaran (Zimmerman dan Cleary, 2009) dengan menyiapkan kerja sekolah, mencari maklumat melalui internet dan menyiapkan tempat untuk belajar bersendirian. Semua ini dapat dilakukan apabila anak-anak sudah dilatih sejak kecil dan ianya menjadi kebiasaan bagi mereka.

Kajian yang dijalankan oleh Bornstein et al. (2017) mendapati bahawa ibu bapa yang mempunyai tahap keagamaan yang tinggi apabila anak berusia 8 tahun meningkatkan efikasi keibubapaan apabila anak berusia 9 tahun, seterusnya memberi kesan positif terhadap kecekapan sosial dan prestasi persekolahan anak-anak. Malah, ia juga dapat mengurangkan masalah dalaman dan luaran. Hal ini menenjukkan bahawa faktor keagamaan ibu bapa mempengaruhi tingkah laku anak-anak dan ini menjadikan ibu bapa sebagai model yang baik untuk anakanak contohi.

 

4.0       PERANAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

       Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) haruslah memainkan peranan penting dalam membangunkan pendidikan di Malaysia dalam memfokuskan penerapan nilai kepada pelajar.Seperti yang telah disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia telah memberikan fokus kepada penerapan nilai kepada para pelajar dalam pembinaan kurikulumnya, iaitu KBSR dan KBSM. Amnya, empat fokus penerapan nilai yang menjadi matlamat KBSM adalah kerohanian, kemanusiaan, kemasyarakatan dan kewarganeraan (Pusat Perkembangan Kurikulum, 1992).

       KPM merangka pelbagai strategi untuk peningkatan dan penghayatan nilai dalam diri pelajar, Antaranya adalah memperkukuh subjek Pendidikan Moral serta menjadikan perkhidmatan komuniti sebagai prasyarat untuk tamat persekolahan. KPM juga telah merangka kurikulum pendidikan moral dengan memberi penekanan tentang nilai yang teras dalam semua agama di Malaysia. Selain itu, subjek Pendidikan Moral juga telah lama dijadikan subjek teras dalam peperiksaan SPM kerana subjek ini adalah satu mata pelajaran yang mengajar tentang penerapan nilai-nilai murni dalam diri untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Murid perlu fahami akan kepentingan nilai murni dalam kehidupan sebenar sebelum mereka menerapkan nilai-nilai murni tersebut dalam diri mereka. Apabila murid dapat menghayati erti nilai yang sebenar, maka proses penerapan nilai dalam diri dan kehidupan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan akhirnya dapat membentuk insan yang cemerlang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

       Selain itu, Pusat Perkembangan Kurikulum (1990) menegaskan bahawa walaupun pengetahuan tentang nilai diperlukan, ia mesti diperkukuhkan dengan kesedaran, keyakinan, penghayatan dan amalan. Dalam penegasan tersebut KPM juga telah menganjurkan aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan semua pelajar tanpa mengira bangsa dan umur untuk memberi perkhidmatan secara langsung seperti melakukan gotong-royong di kawasan tempat tinggal, membantu warga sekolah untuk membersihkan taman sekolah, aktiviti seperti jualan makanan, pertandingan bakat dan seni. Dalam konteks ini, khidmat masyarakat memberi definisi sebagai kerja-kerja kemasyarakatan yang dilaksanakan secara berkumpulan dan mempunyai matlamat serta beberapa tujuan yang tertentu. Dengan aktiviti secara langsung ini pelajar akan lebih menghayati nilai-nilai moral pada masa itu.

            Strategi seterusnya adalah mengukuhkan dan memperluas program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) bagi memudah cara interaksi antara jenis sekolah, kumpulan etnik dan sosio ekonomi. RIMUP merupakan satu program bagi tujuan mengalakkan pemuafakatan pintar antara masyarakat atau komuniti setempat, para guru dan murid dalam aktiviti khas yang dirancang oleh pihak sekolah melalui perkongsian bersama kemudahan, peralatan, penggemblengan tenaga dan kepakaran. Program ini telah diilhamkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa beliau menjadi Menteri Pelajaran (Utusan Malaysia, 2011). KPM telah menjalankan pelbagai program RIMUP di sekolah dengan sasaran penumpuan kepada sekolah yang mempunyai populasi murid yang homogen seperti sekolah jenis kebangsaan dan sekolah agama. Dalam program ini ia akan modal insan yang berkualiti yang sentiasa mengamalkan sikap persefahaman, tolak ansur, dan hormat menghormati dalam kalangan pelajar yang terdiri daripada pelbagai kaum.

 

5.0       PERANAN MULTIMEDIA

Dalam menempuh alam siber dan teknologi terkini, tidak dapat dinafikan penyerapan pendidikan juga haruslah berkembang serentak dengan kemajuan tersebut. Sistem pendidikan juga perlu kepada proses kemodenan agar generasi yang akan datang tidak ketinggalan dan mampu menerajui dunia dengan penuh berwawasan.Norkhairani (2004) yang menyatakan bahawa golongan kanak-kanak kini lebih cepat dan mudah terpengaruh dengan bahanbahan multimedia dalam proses pembentukan jati diri mereka sejak kecil. Keperluan kanak-kanak didedahkan kepada penggunaan bahan-bahan multimedia yang mempunyai unsur dan nilai-nilai positif turut disarankan oleh Muhammad Rasyid (2009). Beliau juga bersetuju bahawa pemilihan perisian perisian multimedia seperti topik akhlak, adab, tamadun dan cerita-cerita yang memaparkan nilai dan peribadi yang baik serta kepentingan menyayangi keluarga, masyarakat dan negara wajar diterapkan kepada golongan ini. Keperluan kanak-kanak didedahkan kepada penggunaan bahan-bahan multimedia yang mempunyai unsur dan nilai-nilai positif turut disarankan oleh Muhammad Rasyid (2009). Beliau juga bersetuju bahawa pemilihan perisianperisian multimedia seperti topik akhlak, adab, tamadun dan cerita-cerita yang memaparkan nilai dan peribadi yang baik serta kepentingan menyayangi keluarga, masyarakat dan negara wajar diterapkan kepada golongan ini.

Pendekatan  pengajaran  berasaskan  multimedia  mampu  memindahkan  sesuatu maklumat daripada buku teks yang statik kepada suatu corak pembelajaran yang menarik. Bahan-bahan yang didedahkan kepada kanak-kanak haruslah mempunyai elemen-elemen yang mampu mendidik mereka sekaligus memberi kesan yang positif bukan sahaja kepada minda kanak-kanak malahan kepada akhlak dan peribadi mereka. Nilai pendidikan yang difokuskan dalam bahan multimedia dapat dilihat contoh dalam filem animasi Upin dan Ipin. Nilai pendidikan yang difokuskan dalam bahan multimedia kartun animasi Upin dan Ipin adalah nilai murni dan ia dapat didefinisikan sebagai perlakuan yang baik, peradaban dan tatasusila individu manusia dalam hubungannya sesama manusia, alam dan tuhan. Wan Mohd. (1988). Dalam sehubungan itu, pihak pembuat filem haruslah merujuk kepada Nilai yang telah dikemukakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berdasarkan Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) adalah sebanyak 17 nilai.Dengan elemen-elemen itu pasti pelajar ataupun kanak-kanak lebih menghayati nilai.

 

6.0  KESIMPULAN

       Secara keseluruhannya, pendidikan moral merupakan pelajaran yang dapat membentuk pelajar menjadi insan yang berilmiah dan berkualiti. Semua pihak haruslah mengambil strategi dalam peningkatan dan penghayatan nilai kepada para pelajar yang mengambil mata pelajaran pendidikan moral ini agar mampu menerapkan nlai-nilai tersebut dengan secara langsung ataupun tidak secara langsung. Dengan adanya strategi ini manifestasi itizam Malaysia untuk mewujudkan generasi baru yang cemerlang, gemilang dan terbilang akan tercapai.

      

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

RUJUKAN

Ab Razak, Ratna Roshida, & Hussain, Nik Haslinda. (2007). Peranan Institusi Keluarga Dalam Penjanaan Bangsa Bertamadun. Jurnal Kemanusiaan, 9.

 

Piang, T., Wahid, R., & Jamil @ Osman, Z. (2015). Peranan Guru dalam Membina Iklim Moral dalam Bilik Darjah. Jurnal Perspektif, 7(3), 87-95.

 

Shukor, Khairunnisa, Safar, Jimaain, Jasmi, Kamarul Azmi, Noor, Ahmad Firdaus, Yusof @ Salleh, Mohd Yusry, Rahman, Mohd Farhan, Khalid, Nurul Khairiah, Basir, Mukhamad Khafiz, & Razak, Muhd Imran. (2019). Pemupukan Pengaturan Kendiri Akhlak Melalui Proses Pendidikan Islam yang Ditetapkan Oleh Ibu Bapa. Jurnal Ulwan, 4, 116-127.

 

Jantan, Yakcop, & Piaw, C. (2017). Kompetensi Guru Dalam Membentuk Sahsiah Pelajar Sekolah. Jurnal Kepimpinan Pendidikan, 4(3).

 

 

Piang, T., Wahid, R., & Jamil @ Osman, Z. (2015). Peranan Guru dalam Membina Iklim Moral dalam Bilik Darjah. Perspektif: Jurnal Sains Sosial Dan Kemanusiaan, 7(3), 87 - 95.

 

Sabilan, S., Lip, S. M., Ishak, M. F., Zdainal, S., & Abidin, S. H. S. Konsep           Penerapan Dan Penghayatan Nilai-nilai Murni Berasaskan Falsafah Pendidikan      Kebangsaan (FPK).

 

Nachiappan, S., Sinnasamy, B., & Suffian, S. (2017). Masalah dalam pengajaran dan       pembelajaran Pendidikan Moral di sekolah menengah dan penyelesaian masalah melalui kaedah Hermeneutik. Journal of Research, Policy & Practice of Teachers        & Teacher Education (JRPPTTE), 7(2), 58-68.

 

Hanapi,  M.  H. M.,  Zakaria,  N.,  &  Abdullah,  N.  (2019).  Nilai Pendidikan dalam  Pengajaran Multimedia Kartun Animasi dan Ipin untuk           Murid Sekolah Rendah. International Journal of Heritage, Art and Multimedia,     2(4), 12-23

 

Ariffin, R. B. (2014). Persepsi pelajar dan guru terhadap program rancangan       integrasi murid            untuk perpaduan di sekolah menengah, Kuala Lumpur.

 

 

 

 

No comments:

Post a Comment

HUBUNGAN ANTARA PENAAKULAAN MORAL, EMOSI MORAL DAN PERLAKUAN MORAL KE ARAH MELAHIRKAN INSAN BERAKHLAK MULIA

    NAMA KURSUS PENDIDIKAN MORAL DI MALAYSIA KOD KURSUS HMS3013 KUMPULAN   ...