Wednesday, June 10, 2020

Tugasan 2: Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Yang Sesuai Dilaksanakan Dalam Mata Pelajaran Pendidikan Moral

Nama dan Kod Kursus :

Pendidikan Moral di Malaysia

(HMS3013)

Tajuk:

Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Yang Sesuai Dilaksanakan Dalam Mata Pelajaran Pendidikan Moral

Pensyarah :

Dr Robe’ah Binti Yusuf

 

Nama

No Matrik

Program

Muhammad Muaz Bin Sazlan

D20181083925

ISMP Sejarah

Gloria Alderica George

D20181083936

ISMP Sejarah

 

 

 

 

 

 

 

 

1.0       Pengenalan

Pendidikan Moral merupakan satu subjek yang mendidik murid supaya menjadi insan yang bermoral dan berakhlak mulia dengan menekankan aspek perkembangan pemikiran, perasaan dan tingkah laku moral. Rasional Pendidikan Moral diperkenalkan adalah bertitik tolak daripada peristiwa sejarah hitam yang berlaku di Malaysia pada tahun 1969 iaitu Tragedi 13 Mei 1969 yang membawa kepada pertumpahan darah dan kerosakan harta benda. Kurangnya nilai dan pengetahuan yang cetekdalam kalangan masyarakat tentang pentingnya kesepaduan dalam masyarakat menyebabkan Pendidikan Moral diperkenalkan dan dilaksanakan bagi memupuk nilai-nilai murni dalam diri generasi muda agar dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian di samping mengelakkan sejarah hitam negara Malaysia daripada berulang. Namun begitu, untuk memupuk tujuh bidang nilai dalam Pendidikan Moral tidaklah semudah yang dijangkakan. Hal ini demikian kerana pelajar mungkin akan menjawab soalan berdasarkan jawapan yang betul untuk mendapat markah dalam peperiksaan tetapi ia tidak mengaplikasikan jawapan tersebut dalam kehidupan sehariannya.  Oleh itu, usaha memupuk nilai-nilai ini memerlukan beberapa strategi yang berkesan bukan  hanya secara teori di dalam bilik darjah tetapi ia juga dapat menyumbang kepada keharmonian masyarkat dalam realiti sebenar.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

2.0       Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Moral

2.1       Penggunaan Smart Mind Map

Penggunaan Mind Map (Peta Minda) sememangnya sudah diaplikasikan dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Pendidikan Moral sejak tahun 2017. Namun begitu, refleksi penggunaan Mind Map dalam PdP tidak begitu memberangsangkan kerana pelajar kebanyakannya lebih bergantung kepada modul yang disediakan oleh pihak sekolah. Bagi membendung masalah kebergantungan pelajar terhadap satu sumber bahan bacaan sahaja, penggunaan Quick Response Code (QR Code) dalam setiap helaian Mind Map telah digunakan untuk membantu pelajar mengakses lebih banyak bahan bacaan lanjutan mengenai isi-isi yang tertera dalam Mind Map tersebut. Idea penggunaan QR Code ini juga telah menukarkan ‘Mind Map’ kepada ‘Smart Mind Map’.

Pengaplikasian Smart Mind Map dalam PdP amat penting bagi menggalakkan pelajar untuk mengeluarkan isi penting di samping memudahkan mereka untuk bukan sahaja menghafal fakta malah meningkatkan kefahaman mereka terhadap topik yang dipelajari. Tambahan lagi, QR Code juga dapat memberikan kemudahan kepada pelajar untuk menjawab soalan-soalan pengukuhan interaktif dalam bentuk soalan subjektif atau pun objektif. Penggunaan QR Code dalam pelaksanaan Smart Mind Map ini juga dapat mengurangkan risiko kehilangan dan kerosakkan data berbanding dengan Mind Map biasa yang ditulis secara manual oleh pelajar diatas helaian kertas.

Penggunaan Smart Mind Map dalam PdP Pendidikan Moral tidak hanya relevan digunakan dalam waktu persekolahan sahaja tetapi juga relevan digunakan di luar waktu persekolahan. Pelajar boleh menjawab soalan atau kuiz yang disediakan secara berulang kali sehingga dapat membantu mereka untuk mendalami dan mahir topik tersebut. Hal ini demikian kerana setiap soalan yang dijawab akan dipaparkan keputusan yang betul atau salah serta penjelasan kepada jawapan yang dipaparkan. Di samping itu, pengaplikasian Smart Mind Map ini mampu mendorong pelajar untuk melakukan pembelajaran kendiri pada bila-bila masa sahaja terutama apabila mereka menghadapi kekeliruan mengenai isi-isi penting yang dibaca. Masalah ini dapat diatasi melalui bacaan langsung terhadap modul yang boleh diakses menggunakan QR Code.

Kesimpulannya, penggunaan Smart Mind Map lebih praktikal kerana guru bukan sahaja dapat menjimatkan masa untuk mencetak bahan rujukan dan soalan yang perlu diagihkan kepada pelajar, tetapi ia juga mampu memudahkan kerja guru untuk memantau tahap intelektual pelajar melalui kuiz yang disediakan dalam Smart Mind Map ini.

2.2       Penggunaan Dilema Moral

Fokus utama PdP adalah untuk mempelbagaikan kegunaan isu dan situasi dalam pembelajaran Pendidikan Moral agar pelajar bersedia menghadapi konflik atau dilema moral dan menyelesaikannya berasaskan kepada nilai dan prinsip moral. Perkembangan kemoralan seseorang individu dapat dilihat melalui alasan-alasan yang diberikan bagi kepentingan diri sendiri dan orang lain berdasarkan suatu situasi atau dilema yang dikaji. Antara jenis dilema yang menggalakkan pembentukan pemikiran yang kritis dalam kalangan para pelajar ialah Dilema Jenis Hipotikel dan Dilema Kehidupan Sebenar.

2.2.1    Dilema Hipotikel

Dilema Hipotikel adalah satu situasi di mana situasi tersebut mungkin benar, mungkin direka dan mengandungi konflik atau perbezaan moral di mana pelajar akan mengambil perspektif orang ketiga dalam membuat penaakulan kognitif. Persembahan dilema yang diberi itu boleh diakhiri dengan soalan ‘Apakah yang akan anda lakukan dalam situasi tersebut?’ bagi menggalakkan pelajar berfikir secara meluas iaitu meliputi alasan bagi dirinya sendiri dan bagi diri orang ketiga.

Dalam strategi penggunaan dilema hipotikel ini, guru berperanan untuk membekalkan dilema moral dan menggalakkan respon berserta dengan alasan yang rasional dan bukannya mengharapkan jawapan yang betul daripada pelajar. Contohnya, Dilema Heins yang direka oleh Kohlberg. Rata-rata pelajar yang diajukan soalan ketika berada dalam bilik darjah akan memberi jawapan yang dikategorikan dalam teori perkembangan Kohlberg pada peringkat remaja atau dewasa. Namun terdapat kajian yang dinyatakan oleh Vishalache (2004) bahawa pengakuan yang diperoleh daripada murid adalah berbeza di mana mereka akan menjawab soalan mengikut apa yang dibimbing oleh Guru Pendidikan Moral untuk mendapatkan skor yang maksimum dalam peperiksaan bertulis. Senario inilah yang mempengaruhi generasi muda sehingga tidak mampu mengaplikasikan nilai-nilai moral yang dipelajari dalam kehidupan seharian.

Walau bagaimanapun , pemikiran dan tahap kefahaman pelajar akan meningkat dengan adanya pengaplikasian dilema moral dalam PdP. Walaupun dalam peperiksaan bertulis mereka tidak memberikan jawapan yang sepatutnya ketika menghadapi konflik, sekurang-kurangnya mereka mampu memberikan alasan dan jawapan yang rasional ketika berada di dalam kelas. Hal ini juga akan sedikit sebanyak melatih pelajar untuk terus berfikiran rasional dalam membuat sebarang keputusan di samping menggalakkan pelajar untuk mengamalkan nilai murni secara perlahan-lahan.

2.2.2    Dilema Kehidupan Sebenar

Walau bagaimanapun, Giligan (1982) menyatakan bahawa penggunaan dilema kehidupan sebenar iaitu menggunakan situasi kehidupan sebenar yang berkonflik dalam perbincangan adalah lebih realistik dalam memahami perspektif moral para pelajar berbanding dengan penggunaan dilema hipotikel. 

Dengan penggunaan dilema kehidupan sebenar, pelajar akan membuat keputusan hanya untuk dirinya dan bukannya membuat keputusan bagi pihak orang ketiga seperti mana yang dilakukan oleh Kohlberg dalam dilema hipotikel. Hal ini demikian kerana dilema kehidupan sebenar adalah dalam lingkungan pengalaman para pelajar yang memungkinkan mereka untuk melakukan tindakan yang sama semasa berada dalam kelas dan ketika berada dalam dilema tersebut. Justeru, jawapan atau tindakan yang diberikan oleh pelajar boleh digunakan sebagai pengukur tepat perspektif moral mereka lebih-lebih lagi ketika mereka telah pun melalui fasa dilema yang diberikan oleh guru. Respon yang diberikan oleh para pelajar di dalam kelas boleh dibincangkan bagi meningkatkan lagi kefahaman murid lain ‘mengapa’ murid tersebut bertindak sedemikian. Penyataan ini juga diperakui oleh Wark dan Krebs (2000) di mana kandungan dilema kehidupan sebenar lebih bermakna dan berkesan untuk digunakan kerana mereka akan menghadapi dilema tersebut dalam kehidupan mereka seharian.   

Dalam strategi penggunaan dilema dalam PdP, guru juga perlu memainkan peranan dengan mencipta keadaan bilik darjah seakan-akan keadaan di luar bilik darjah dan dalam dunia sebenar agar pelajar dapat merasai apa yang dibincangkan untuk mengungkit rasa hati mereka di mana ia akan mengaktifkan pemikiran mereka dan mampu berfikir secara kritis sebelum membuat sesuatu keputusan yang bermoral.

Bukan itu sahaja, guru juga perlu menggalakkan murid untuk ‘memberikan alasan-alasan yang rasional dan munasabah’ bukannya ‘jawapan-jawapan yang betul’ kerana sekiranya pelajar hanya digalakkan untuk memberi jawapan yang betul, sudah pasti nilai-nilai murni yang dipelajari tidak mampu mereka aplikasikan dalam kehidupan seharian. Mereka hanya akan memperoleh keputusan akademik yang memuaskan tetapi akhlak mereka tidak setaraf dengan kecemerlangan akademik yang diperoleh.

2.3       Pengajaran dan Pembelajaran Yang Berpusatkan Pelajar

Bagi strategi ini pula, cara penyampaian ilmu di dalam kelas perlulah berdasarkan kemahuan dan kehendak pelajar. Guru perlu mewujudkan interaksi dua hala di samping memandu pelajar untuk menjalankan aktiviti secara individu atau berkumpulan manakala dalam proses pembelajaran, masa akan lebih banyak diperuntukkan kepada murid di mana mereka akan menjalankan aktiviti perbincangan, main peranan dan sebagainya.

Strategi ini juga mampu menggalakkan pembentukkan hubungan baik guru dengan pelajar yang mampu mendorong untuk meningkatkan motivasi murid untuk terus cenderung dalam mempelajari subjek tersebut dan meningkatkan minat mereka dalam pembelajaran. Walaupun begitu, guru juga perlu memiliki kemahiran untuk mengawal keadaan kelas agar ianya tidak huru-hara.

Guru seharusnya perlu lebih cekap dalam menyediakan pelbagai tugasan yang menggalakkan murid memberi tindak balas yang pantas dan memerlukan perbincangan dalam kelas agar intelek dan emosi mereka dalam pembelajaran dapat dipupuk dari masa ke masa. Sebagai contoh, dengan kecanggihan gajet wujud pada masa kini, guru boleh menggunakan aplikasi ‘Kahoot’ untuk kuiz sebagai latihan pengukuhan selepas sesi pembelajaran mengenai satu topik itu selesai. Bukan itu sahaja, Latihan Pengukuhan Aras Tinggi (KBAT) dan Pentaksiran Formatif juga amat digalakkan selepas sesi pembelajaran tamat agar murid dapat menyesuaikan diri untuk berfikir dan menjawab soalan dengan lebih matang.

Selain itu, strategi ini juga mampu menggalakkan hubungan kerjasama antara pelajar. Hasil kerja dan tugasan yang baik ialah pelajar perlu melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran agar kemahiran dapat dibentuk. Pembelajaran yang berkesan adalah pembelajaran yang datang melalui kerjasama antara pelajar bukannya usaha secara individu. Pembelajaran kolaboratif juga menggalakkan pelajar untuk bersama-sama menjana idea dalam kumpulan masing-masing untuk mengembangkan tahap intelek mereka di samping mengukuhkan kefahaman mereka mengenai sesuatu topik yang dibincangkan.

Dalam hal ini, aktiviti yang mampu mendorong kepada penjanaan idea secara berkumpulan ialah tugasan yang memerlukan pembentangan. Setiap pelajar boleh mengemukakan idea masing-masing dan membentangkan idea tersebut di dalam kelas mengikut kreativiti mereka tersendiri. Setelah selesai pembentangan, murid lain boleh mengajukan soalan bagi mengukuhkan lagi alasan atau sebab pembentang mengenai idea yang dipilih dan dari sebab itulah guru mampu menilai tahap pemikiran pelajar.

2.4       Pengajaran dan Pembelajaran Yang Berpusatkan Guru

Subjek Pendidikan Moral adalah kompleks, berfakta dan abstrak. Oleh itu, guru perlulah mempunyai pemahaman yang kukuh dan menguasai konsep-konsep asas moral, konsep utama Pendidikan Moral dan isi kandungan Pendidikan Moral itu sendiri sebelum mengajar muridnya. Guru yang menguasai pengetahuan kandungan mampu mengolah isi pelajarannya kepada bentuk yang mudah difahami oleh murid yang terdiri daripada pelbagai kebolehan.

Guru yang berjaya memahami isi kandungan Pendidikan Moral dipercayai akan lebih menarik minat pelajar dalam proses PdP. Murid akan lebih komited di dalam kelas sehingga mampu menunjukkan pencapaian yang positif terhadap subjek ini kerana memahami apa yang disampaikan oleh gurunya. Bukan itu sahaja, guru juga perlu menjalankan sesi pembentangan secara teratur dan tidak tergesa-gesa agar sesi soal jawab bagi setiap individu dapat dijalankan bagi memastikan bahawa mereka benar-benar memahami topik tersebut di samping dapat mengadakan perbincangan ringkas dengan murid selepas sahaja pembentangan berakhir.

Selain menguasai konsep asas moral, guru juga perlu memahami tentang konsep asas Pendidikan Moral yang merangkumi dimensi moral, justifikasi moral, baik, benar, patut dan dilema moral. Dimensi moral terdiri daripada penaakulan, perasaan dan tingkah laku moral. Menurut Kohlberg (1975), penaakulan moral seseorang dapat dikembangkan dan dinilai melalui pertimbangan yang dilakukan semasa membuat sebarang keputusan tanpa dipengaruhi perasaan dan pandangan orang lain. Oleh yang demikian, guru perlulah menekankan dimensi moral dari aspek penaakulan agar murid mampu membuat keputusan secara rasional. Bimbingan daripada guru juga amat dititikberatkan dalam proses menjayakan strategi ini.

Walaupun strategi ini mempunyai kaitan yang rapat dengan strategi menggunakan dilema moral dalam PdP, namun strategi ini lebih menekankan peranan guru dalam PdP. Komunikasi dan interaksi antara guru dan murid dalam konteks ini adalah sehala di mana guru akan lebih banyak bercakap dan murid akan lebih banyak mendengar. Namun begitu, cara penyampaian haruslah lebih kreatif agar murid tidak cepat bosan sehingga ianya akan menyebabkan murid malas untuk belajar.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

3.0       Kesimpulan

Tuntasnya, guru perlu mempunyai kemahiran yang lebih banyak untuk menyampaikan PdP dengan lebih kreatif untuk menarik minat pelajar agar terus komited di dalam kelas. Bukan itu sahaja, guru juga perlu berusaha untuk mewujudkan perasaan empati dalam diri para pelajar agar mereka mampu merasakan apa yang dilalui oleh orang lain ketika berada dalam suatu situasi konflik. Dengan cara itu, mereka boleh membuat pertimbangan secara rasional dan tidak membuat tindakan terburu-buru yang mungkin akan merugikan mereka di masa akan datang.  Penyampaian ilmu di dalam kelas sahaja tidak mampu untuk mengukuhkan nilai yang ada di dalam diri pelajar. Oleh sebab itu, guru seharusnya menjalankan lebih banyak aktiviti sukarelawan atau kemanusiaan seperti melawat rumah orang-orang tua, anak yatim piatu dan sebagainya untuk meningkatkan kesedaran dalam diri pelajar supaya sentiasa berusaha untuk mengelakkan perkara-perkara tersebut dalam kehidupan mereka. Pengaplikasian contoh dalam dunia sebenar dalam pelbagai aktiviti diluar kelas yang dilakukan sememangnya memberi impak yang sangat positif dari segi kefahaman murid mengenai Pendidikan Moral.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

4.0       Rujukan

Balakrishnan, V. (2012). Dilema Kehidupan Sebenar Dalam Kehidupan Sebenar. Kuala   Lumpur: Universiti Malaya.

Balakrishnan, V. (2004). Penggunaan Dilema Kehidupan Sebenar Real Life Dalam            Pengajaran Pendidikan Moral. Jurnal Pendidikan. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.   Diperoleh daripada             https://www.researchgate.net/publication/242127720_PENGGUNAAN_DILEMA_K            EHIDUPAN_SEBENAR_REALLIFE_DALAM_PENGAJARAN_PENDIDlKAN_     MORAL

Ettikan, K., Madhubalah Abdullah, N.S., & Abdul Manaf, U.K. (November, 2015). Guru             Cemerlang Pendidikan Moral: Keperluan Menguasai Aspek             Kandungan Dalam             Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Moral dan Implikasinya. International    Journal of Education dan Training (InJET). 1(2). Selangor: Universiti   Putra    Malaysia. Diperoleh daripada (Letak link)

Jasmi, K. A., Talip, O., & Ilias, M. F. (March, 2012). Strategi Pengajaran dan Pembelajaran           Pendidikan Islam Berpusatkan Pelajar. Seminar Antarabangsa Perguruan dan   Pendidikan      Islam [SEAPPI2012]. Universiti Teknologi Malaysia: Faculty of      Islamic Civilzation. Diperoleh daripada              https://www.researchgate.net/publication/293097639_Strategi_Pengajaran_dan_Pemb            elajaran_Pendidikan_Islam_Berpusatkan_Pelajar_Teaching_Strategies_and_Student-            Centered_Learning_in_Islamic_Education

Saili, J.  Penggunaan Smart Mind Map Dalam PdP Pendidikan Moral. National      Innovation       and Invention Competition Through Exhibition (icompEx’18). Sarawak: Institut            Kemahiran MARA (IKM). Diperoleh daripada     https://www.researchgate.net/publication/323986924_PENGGUNAAN_SMART_MI            ND_MAP_DALAM_PDP_PENDIDIKAN_MORAL_JAHIDIH_SAILI

 

 

 

 

No comments:

Post a Comment

HUBUNGAN ANTARA PENAAKULAAN MORAL, EMOSI MORAL DAN PERLAKUAN MORAL KE ARAH MELAHIRKAN INSAN BERAKHLAK MULIA

    NAMA KURSUS PENDIDIKAN MORAL DI MALAYSIA KOD KURSUS HMS3013 KUMPULAN   ...